Penubuhan Malaysia kembalikan maruah kita sebagai manusia – Tok Nan
“16 September 1963 adalah hari yang bermakna. Teramat bermakna,” imbas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam pertemuan dengan sarawakvoice.com beberapa hari lalu.
Menurutnya, pada tarikh keramat itu, Sarawak mencapai kemerdekaan.
“Sebelum itu kita telah dijajah oleh kuasa-kuasa asing seperti Jepun dan British. Tetapi pada tahun 1963, kita telah bebas daripada belenggu imperialis dan memerintah negeri ini sendiri. Itulah kenangan yang begitu manis untuk kita,” katanya yang kini berusia 72 tahun.
Adenan berkata, ketika detik itu disambut, beliau masih lagi di bangku sekolah.
“Saya berumur sekitar 16 ke 17 tahun. Apabila orang berhimpun di Central Padang (sekarang Padang Merdeka), Tun Abang Openg mengangkat sumpah sebagai Gabenor, saya ada di sana. Saya duduk berhampiran dengan Poliklinik sekarang memerhati kebanjiran orang ramai. Saya bersama-sama dengan orang ramai duduk meraikan sambutan istimewa itu.
“Dan selepas itu, saya membaca surat khabar, apa ertinya merdeka dan mendengar ucapan Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Itu yang saya ingatlah,” katanya lagi yang tidak menyangka selepas 50 tahun, beliau sendiri berada di kerusi yang sama.
Kata Adenan, penyertaan Sarawak dalam proses pembentukan Malaysia adalah tindakan yang tepat.
“Malah kita memiliki gabungan pemimpin yang hebat. Saya sendiri mengagumi dan pandang tinggi akan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail kerana kejayaan dan kesungguhan mereka membela akan kemerdekaan Malaya,” katanya.
Adenan, seorang penggemar novel dan filem bercorak sejarah dan perang berkata, kerana kemerdekaan masa itulah , kita dapat membangunkan negeri dan negara kita dengan cepat.
“Dan kerana kemerdekaan itulah kita dapat membangunkan orang kita sehingga sedar akan potensi mereka.
“Dan kerana kemerdekaan itulah juga kita dapat mengembalikan maruah kita sebagai manusia dan bukan dijajah oleh orang lain seperti Jepun dan British.”
Jelasnya, pengalaman hidup pada era koloni dan zaman merdeka banyak menghadirkan pengajaran dan keinsafan kepadanya.
“Pada zaman koloni dahulu , kita pandang rendah akan kemampuan orang kita sendiri.
“Orang putih, orang imperialis memang sengaja mengajar kita supaya pandang rendah akan diri sendiri. Kita tidak dapat buat itu dan buat ini, kecuali dengan pertolongan mereka.
“Tetapi sesudahnya kita merdeka, kita telah membuktikan bahawa kita boleh membuat itu dan ini, bahkan lebih daripada apa yang dapat dibuat oleh British. Ini adalah satu semangat yang seharusnya menggalakkan kita untuk terus berjaya,” jelasnya.
Kata Adenan, menilai dari sudut pandang sejarah ini, seharusnya rakyat kini berasa syukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini.
“Jika kita bandingkan Sarawak dengan Johor, Negeri Sembilan dan sebagainya … memang tidak cukup jalan raya, tidak cukup sekolah dan sebagainya, tetapi ia masih ada … bukan tidak ada.
“Pada zaman British…langsung tidak ada kemudahan-kemudahan ini.
Biarpun masih terkebelakang berbanding negeri-negeri lain, namun kita masih dapat menikmati dan sentiasa menambah baik kemudahan-kemudahan ini.
“Mungkin tidak cukup … itulah kadang-kadang saya marah dengan kerajaan pusat kerana tidak memberi kita cukup kemudahan. Tetapi ia tetap adalah,” tegasnya. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment