Nelayan hilang, bot terbalik di Tanjung Po, rakan berenang ke Kampung Sambir, Asajaya
KUCHING: Seorang nelayan dilaporkan hilang di perairan Tanjung Po malam tadi, setelah bot yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak.
Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Ismaily Bujang Pit berkata, kehilangan lelaki itu dilaporkan oleh rakannya yang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai di Kampung Sambir, Asajaya.
“Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 11 malam dan rakan mangsa, Hamdie Jarawie, 47 tahun, sempat berpaut pada batu di kawasan kejadian manakala mangsa hanyut.
“Bot kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Muara Tebas itu kemudian dijumpai berhampiran beting Batu Mandi dan telah ditunda pulang oleh penduduk kampung,” katanya lagi.
Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Razali Pit, 36 tahun.
Kata Ismaily, ketika ini pihaknya telah menggerakan dua buah kapal dari APMM di pangkalan di Muara Tebas untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Sementara itu, pusat gerakan operasi Bomba dan Penyelamat Negeri dimaklumkan tentang kejadian sekitar jam 8.22 pagi tadi dan dan mendapat pengesahan daripada APMM sekitar jam 9.41 pagi.
Kata Penolong Pegawai Operasi Negeri, Farhan Sufyan Borhan, dua kenderaan utiliti teah dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Batu Lintang.
“Manakala sebuah kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan turut dikejarkan ke Kampung Sambir, Asajaya untuk tinjauan dan mengumpul maklumat,” katanya lagi.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, gerakan SAR masih dilaksanakan bagi mengesan mangsa. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment