Hi! Welcome Back and Stay Tune! 10 Fakta Menarik Mengenai Nintendo Switch - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

10 Fakta Menarik Mengenai Nintendo Switch

Nintendo Switch dilancarkan secara rasmi hari ini dan ia adalah konsol yang paling unik pernah dihasilkan dalam sejarah. Kami katakan begini kerana tidak seperti konsol tradisional yang hanya boleh dimainkan pada televisyen, ia boleh berubah menjadi sebuah konsol mudah alih. Dengan ini pemilik boleh memainkan permainan kegemaran mereka di mana sahaja mereka berada.

Jelas sekali Nintendo melihat kepopularan permua pada peranti pintar dan melihat ia peluang bagi mereka untuk mengisi kekosongan yang tidak pernah dilakukan oleh Sony, Microsoft, Sega dan Atari sebelum ini. Berikut ialah 10 fakta menarik mengenai konsol terkini ini.

01 – Rekaan Nintendo Switch

Nintendo Switch sebenarnya ialah sebuah tablet yang dilengkapi skrin 6.2″ 720P dengan sokongan sesentuh. Ia diperkasakan pemproses Nvidia Tegra  dan storan terbina Switch hanya sebesar 32 Gigabyte tetapi boleh ditambah dengan menggunakan kad MikroSD XC pada bahagian belakang konsol.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian atas bersama dengan slot untuk Game Card, bicu audio 3.5mm dan lubang udara untuk penyejukan. Permainan yang dibeli adalah dalam bentuk katrij mini Game Card. Terdapat sepasang pembesar suara stereo pada bahagian hadapan untuk memberikan kualiti audio yang jelas. Pada sisi kiri dan kanan terdapat alur untuk menyambungkan pengawal permainan Joy-Con


02 – Apa Ada Di Dalam Kotak?

Dengan setiap pembelian pemilik akan menerima kesemua barangan di bawah. Dua model akan dihasilkan dengan Joy-Con berwarna kelabu atau kombinasi warna biru dan merah. Tiada perbezaan harga untuk warna berbeza.

  1. Konsol Nintendo Switch dengan skrin terbina.
  2. Nintendo Switch Dock untuk sambungan ke televisyen.
  3. Dua pengawal permainan Joy-Con (Joy-Con R dan Joy-Con L)
  4. Joy-Con Grip
  5. Dua tali pergelangan tangan Joy-Con
  6. Kabel HDMI cable
  7. Kabel kuasa

03 – Bateri Bertahan Sehingga 6 Jam

Antara kerisauan awal apabila Switch diperlihatkan tahun lalu ialah tentang tempoh ketahanan bateri. Nintendo mengesahkan bateri yang disertakan mampu memberikan tempoh permainan sehingga enam jam. Tetapi ia boleh berkurangan sehingga tiga jam sekiranya permainan memerlukan kemampuan grafik yang tinggi seperti The Legend of Zelda: Breath of the Wild. Pengecasan dilakukan menggunakan sambungan USB-C. Ini sekaligus menjadikan Switch konsol pertama yang menyokong I/0 USB yang semakin popular digunakan pada komputer riba dan peranti pintar.


04 – Tiga Mod Permainan

Switch boleh dimainkan dalam tiga mod berbeza;

TV Mode – Seperti konsol tradisional, Switch dimasukkan ke dalam Switch-Dock dengan gambar dipaparkan pada kaca TV. Dua Joy-Con disambungkan ke dalam Joy-Con Grip dan mengubahnya menjadi sebuah pengawal permainan yang besar.

Handheld Mode – Mod mudah alih dengan dua Joy-Con disambungkan pada sisi Switch. Skrin Switch kini aktif dan ia berubah menjadi sebuah konsol mudah alih seperti Nintendo DS.

Tabletop Mode – Dua Joy-Con ditanggalkan dan berubah menjadi dua pengawal permainan mini untuk permainan multiplayer di antara dua individu. Terdapat sebuah tongkat pada panel belakang Switch yang membolehkannya didirikan di atas permukaan rata.


05 – Fungsi NFC, Berkongsi Gambar, Kamera IR, Accelerometer, Girometer Dan HD Rumble

Satu keistimewaan Nintendo ialah rekaan pengawal permainan yang unik. Mereka mempopularkan alat kawalan yang boleh mengesan pergerakan tangan sebelum mengubahkan kepada aksi di dalam permainan. Ini membuatkan Nintendo Wii menjadi antara konsol paling tinggi jualannya dalam sejarah permainan komputer.

Joy-Con meneruskan inovasi dan kali mempunyai kemampuan membaca NFC pada figura Amiibo. Pada Joy. Pada Joy-Con R terdapat kamera infra merah yang boleh membaca pergerakan jari pengguna. Butang Capture yang disertakan membolehkan rakan screenshot dan video diambil. Ini kemudiannya boleh dikongsi ke media sosial seperti pada konsol PlayStation 4. Seperti pengawal Wii, setiap Joy-Con mempunyai girometer dan accelerometer bagi mengesan pergerakan pemain.

HD Rumble pula ialah sistem timbal balas haptik terkini ciptaan Nintendo. Menurut mereka JHD Rumble boleh memberikan gegaran kecil seperti ais di dalam gelas kaca dan gegaran besar letupan setiap kali pistol ditembak. Ini membuatkan permainan boleh dinikmati dengan lebih realistik.


06 – Kawalan Menerusi Aplikasi Peranti Pintar

Nintendo ialah syarikat yang mesra kanak-kanak. Permainan yang dihasilkan sesuai untuk semua peringkat umur. Tetapi ibu bapa masih boleh menetapkan had pengkelasan permainan yang boleh dimainkan. Ini dilakukan menerusi aplikasi peranti pintar. Selain menghalang sesetengah permainan diakses, ibu bapa juga boleh mengunci konsol dari dimainkan menerusi aplikasi yang sama.

 


07 – Multiplayer Dengan Lapan Unit Switch Berhampiran

Permainan komputer lebih seronok apabila dimainkan bersama rakan-rakan. Switch membenarkan lapan unit Switch berhampiran berhubung untuk sesi permainan multiplayer. Lebih nikmat melihat wajah rakan yang berjaya dikalahkan ketika duduk bersua muka.

 


08 – Permainan Atas Talian Berbayar

Mungkin anda tidak mempunyai rakan berhampiran untuk bermain secara multiplayer. Masih terdapat fungsi multiplayer atas talian untuk mengeratkan silaturahim di medan perang. Tetapi anda perlu membayar yuran bulanan untuk menikmatinya. Tiada harga diumumkan setakat ini tetapi ia percuma untuk bulan pertama. Nintendo akan mengikut langkah Sony dan Microsoft memberikan permainan percuma kepada pelanggan setiap bulan.


09 -Permainan Bebas Dimainkan Tanpa Halangan Kod Kawasan

Untuk pertama kalinya Nintendo tidak meletakkan halangan kod kawasan (region code) pada konsol mereka. Permainan dari Jepun boleh dimainkan oleh pemilik konsol di Amerika Syarikat dengan bebas. Ini fungsi yang terbaik bagi mereka yang menggemari permainan JRPG dan simulasi berpacaran Jepun yang jarang dijual di pasaran luar.

 


10 – Harga Jualan Konsol Dan Aksesori

Harga jualan set Lengkap Nintendo Switch, pelbagai aksesori serta dan alat ganti adalah seperti berikut

  1. Set Lengkap Nintendo Switch – $299.99 (~RM 1340)
  2. Sepasang Joy-Con – $79.99 (~RM 360)
  3. Sebelah Joy-Con (Joy-Con R atau L) – $49.99 (~RM 225)
  4. Switch Dock – $89.99 (~RM 401)
  5. Joy-Con Charging Grip- $29.99 (~RM 134)
  6. Nintendo Switch Pro Controller – $69.99 (~RM 313)
  7. Joy-Con Wheel – $14.99 (~RM 67)

 

 


 






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2in4sGg

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.