Akur trend semasa industri seni
PELAKON dan penyanyi, Nadia Aqilah mengakui tidak mudah untuk dia menempatkan diri dalam bidang seni biarpun bakat yang menjadi sandaran utamanya.
Hampir 15 tahun bergelar anak seni, Nadia semakin memahami permainan dan trend semasa industri yang lebih mementingkan aspek komersial termasuk bilangan pengikut di laman sosial dalam mengetengahkan seseorang artis.
Biarpun begitu, pelakon yang pernah membintangi filem biografi Zaiton Sameon, Zaiton Ceritaku ini tidak pernah jadikan ia sebagai halangan untuk meneruskan minat dalam bidang ini.
“Ketika awal penglibatan dulu, selalu juga saya tertanya-tanya kenapa susah sangat nak ke depan walaupun sudah tampil memberikan yang terbaik, namun bila semakin lama dalam industri saya semakin memahami situasi ini.
“Apa pun saya tidak pernah kecewa, sebaliknya terus cari ruang dengan cara saya sendiri kerana bidang seni adalah minat dan kerjaya sepenuh masa saya.
“Alhamdulillah sehingga hari ini saya masih lagi di sini dan berpeluang bekerja dengan orang hebat dalam industri,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran program Semarak Bangsawan, baru-baru ini.
Berkongsi perkembangan terbarunya, kata Nadia, dia kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem Menantu Malam Raya, tele komedi yang memberikan sisi lain buat lakonannya yang sebelum ini cukup dikenali dengan watak antagonis.
“Saya sendiri kurang pasti kenapa orang suka sangat beri saya watak serius dan antagonis di mana kebanyakan watak saya sebelum ini menjurus kepada itu walaupun dengan karakter berbeza.
“Bagaimanapun, saya tiada masalah tentang itu cuma sebagai pelakon semestinya saya mahu cuba pelbagai watak terutamanya romantik komedi yang saya rasakan mampu beri cabaran berbeza dalam lakonan saya,” katanya jujur.
Mengakui dirinya bertuah kerana dikelilingi ramai rakan-rakan di dalam industri yang banyak membantu dan berkongsi ruang untuk bekerja bersama-sama, Nadia melihatnya sebagai perkembangan positif.
“Saya akui banyak bekerja dan terlibat dengan produksi kawan-kawan kerana mereka tahu tahap lakonan saya dan sentiasa beri cabaran baru kepada saya dalam melakonkan sesuatu watak.
“Watak saya mungkin tidak dapat dengan produksi lain, tetapi dapat dilaksana ketika bekerja dengan mereka kerana kami sentiasa terbuka untuk berbincang dalam memastikan apa yang dilakukan itu memberikan hasil terbaik.
“Bagaimanapun itu tidak bermakna saya menolak kerjasama dengan produksi lain kerana pada asasnya kita tetap akan melihat kepada kualiti sesuatu karya itu sebelum menerima sesuatu tawaran yang datang,” katanya yang bakal sekali lagi bergabung dengan rakan-rakannya menerusi drama Playboy Di Mindaku.
Masih menyanyi
Bukan hanya di kaca TV, tetapi Nadia juga aktif lakonan pentas di mana sebelum ini dia pernah terlibat pementasan teater.
Antara teater lakonannya adalah Puteri Gunung Ledang The Musical, P Ramlee The Musical, Cinta The Musical, Terima Kasih Cinta, Chow Kit Road The Musical, Sekuntum Mawar Merah, Mencari Sumaiyah dan lain-lain.
“Saya memang minat lakonan pentas terutama persembahan muzikal di mana sebelum ini saya banyak diberikan peluang untuk bekerja dan menimba pengalaman bersama infiniti Production, milik Datin Sri Tiara Jacquelina.
“Setiap tahun saya cuba pastikan sekurang-kurangnya terlibat satu pementasan teater biarpun sibuk aktiviti seni lain,” katanya yang pernah dinobatkan Pelakon Utama Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian sebelum ini.
Terbaru, pelakon serba boleh ini bakal tampil pementasan Teater Bangsawan Dendam Laksamana, arahan Pat Ibrahim Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada November depan.
The post Akur trend semasa industri seni appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2qxqDRX
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment