Penyewa Ampang Park tunggu langkah seterusnya setelah gagal di mahkamah
Seorang penyewa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata beliau sedang menunggu arahan seterusnya daripada tuan punya sebuah kedai serbanika, yang dikendalinya.
"Saya tidak boleh bercakap banyak kerana masih tidak pasti tentang masa hadapan kami. Sama ada akan mendapat pampasan... belum diputuskan," katanya kepada Bernama.
Mengimbau perniagaan masa lampau yang lumayan, beliau berkata pusat beli-belah itu sering dikunjungi pelanggan kerana lokasinya yang strategik di Jalan Ampang yang sibuk.
"Tetapi bila khabar angin tersebar bahawa pusat itu akan diroboh, pelanggan berpendapat perniagaan akan terjejas. Sekarang, perniagaan kami tidak begitu baik," kata beliau sambil menyatakan jualan merosot dalam beberapa tahun lalu.
"Kini, saya akan tutup kedai dalam masa dua bulan lagi, ke mana harus saya pergi?" kata lelaki berusia 60 tahun itu.Seorang lagi penyewa, Ida, yang menjual produk kecantikan, berkata beliau akan membawa bersamanya ingatan indah ketika berniaga di kompleks beli-belah itu.
"Saya telah berniaga di sini selama 16 tahun, dan paling berat perasaan bila terpaksa menutup perniagaan. Saya dapat menghimpun ramai pelanggan setia di sini. Di mana pula mereka akan dapatkan produk kami selepas ini?," kata beliau.
Ida berkata mendapatkan tempat baharu yang hampir serupa dengan sewa yang hampir sama tentu sukar.
Katanya, ketika mereka berusaha menyelamatkan Ampang Park, ramai pelanggannya menandatangani petisyen untuk mengekalkan tempat itu.
Tinjauan Bernama mendapati banyak kedai telah kosong, sementara kebanyakan yang masih menjalankan perniagaan memasang pelekat "Selamatkan Ampang Park".
Pada 8 Januari tahun lepas, 39 pemilik perniagaan dan penyewa Ampang Park memfail tindakan undang-undang bagi pembatalan arahan merobohkan mall berkenaan untuk membolehkan pembinaan laluan bawah tanah menghubungkan stesen MRT baharu ke stesen LRT Ampang Park.
Permohonan itu ditolak di peringkat mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.
Khamis lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan pemilik strata dan tuan punya serta penyewa pusat beli belah itu bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap penolakan semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Berikutan keputusan itu, tidak ada lagi jalan perundangan bagi mereka mencabar pengambilan tanah berkenaan.
-- BERNAMA
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rmUZqe
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment