Annuar berkata, ini kerana TRW mempunyai nilai komersial yang cukup tinggi mencecah RM14 juta lebih tinggi daripada persatuan-persatuan lain sehinggakan Kafa mendapat perhatian yang hebat daripada media terutama ketika pemilihan presiden baru-baru ini.

 

Beliau turut mengingatkan kedudukan Kafa yang tidak pernah mendapat bantuan penajaan terutama daripada kerajaan negeri untuk bernafas sebaliknya bergarap sepenuhnya kepada pakej iklan komersil yang sangat berpengaruh kerana gelaran TRW.

“Kelantan tidak ada penaja, di luar sana banyak orang tidak faham, tiap awal musim kita ambil risiko tandatangan dahulu pemain lepas itu baharu kita cari duit, sebab itu kalau ada yang tidak langsaikan bayaran iklan mengikut jadual, maka defisit kita akan bertambah dan menimbulkan masalah.

“Kita jual pakej komersil pengiklanan dan nama TRW mempunyai nilai komersil mencecah RM14 juta, lebih tinggi daripada orang lain sebab itu siapa yang jadi Presiden terus dapat tempias dan mendapat nama, walhal kalau pemilihan presiden persatuan lain tidak masuk surat khabar pun, kalau jersi pasukan lain orang tidak pakai tapi orang pakai jersi TRW sehingga semasa menggali kubur,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengurusan Masjid dan Surau 2017 anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Yayasan Persahabatan Malaysia (Permai) di sebuah hotel sini semalam.

Annuar yang juga bekas Presiden Kafa berkata, hasrat presiden baharu persatuan itu, Bibi Ramjani Ilias yang mahu menukar nama yang sangat popular itu akan membawa padah kerana perlu membina semula jenama lain yang tidak diketahui berupaya atau tidak menarik perhatian ramai sekali gus mengurangkan minat pembiaya baharu.

“Ini cabaran bagi Presiden baharu, dia tidak boleh salah letak keutamaan, apabila bincang soal nama, jersi atau warna ia tidak ada kena mengena dengan prestasi pasukan.

“Apa yang penting sekarang adalah soal dana, Bibi perlu ada sekurang-kurangnya RM5 juta dalam tangan baru kepala tidak sakit iaitu RM2 juta untuk bayar gaji pemain dalam tempoh tiga bulan ini, RM2 juta untuk kegunaan semasa dan RM1 juta untuk menandatangani pemain import baharu.

“Kita sudah elok-elok ada jenama dan pasaran tiba-tiba mahu tukar pula, penaja akan lari atau lebih tepatnya pembeli iklan akan lari kerana kita menjual pakej iklan komersil, sebab itu kalau orang bayar sedikitpun kita letak nama di baju (jersi pasukan),” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, syarikatnya Alhamra Group tidak akan lagi menjadi penjamin bon RM3 juta kepada skuad bola sepak Kelantan dan Kafa mesti mencari penjamin baharu bagi membolehkan pasukan itu terus berada dalam kancah liga musim hadapan.

Sementara itu, Annuar yang mengakui sering dihubungi Bibi Ramjani untuk mendapatkan pandangan berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan Kafa namun menasihatkan agar pasukan itu menukar kesemua pemain importnya musim hadapan di samping masih menaruh harapan agar pasukan itu tidak tersingkir dari saingan Liga Super.

“Bola sepak profesional ini benda yang ‘straight forward’, apabila kita ada dana dan sumber yang cukup kita bina pasukan yang kuat, saya sudah dapat lihat saat kehancuran kita musim ini apabila kita mengambil jurulatih tempatan sedangkan kita tahu jurulatih tempatan masih tidak setara jurulatih import dan akan menghadapi masalah mendapatkan penghormatan pemain serta diganggu campurtangan pihak lain,” katanya.

 

 

 

Sumber: UTUSAN ONLINE