Tahun 2018 Tahun Kejayaan & Keberhasilan Yang Mengagumkan
Dalam seminggu dua di awal tahun ini, ada sebahagian daripada kita, khususnya bagi mereka yang bergelar ibu-bapa, tentu sekali sedang sibuk menguruskan hal ehwal persekolahan anak-anak, terutamanya, bagi anak-anak yang pertama kali menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Saya sangat faham, pada zaman digital sekarang, semua ibu bapa mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik, cemerlang lagi sempurna.
Bagi pihak Kerajaan, kita amat menitikberatkan bidang pendidikan. Sebab itu, Kerajaan telah membelanjakan secara purata RM8,900 setahun bagi setiap pelajar sebagai usaha menyediakan pendidikan percuma pada peringkat rendah dan menengah.
Ini menjadikan purata perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah lebih dua kali ganda, berbanding perbelanjaan negara ASEAN lain.
Dipendekkan, kesemua yuran sekolah telah dimansuhkan. Kini, ibu bapa cuma harus menyumbang mengikut keperluan sekolah.
Selain itu, saya dimaklumkan hari ini para penjawat awam akan menerima RM1,000, sebahagian daripada jumlah keseluruhan Bayaran Khas sebanyak RM1,500.
Malah, bukan setakat itu sahaja, sebagai Kerajaan yang sentiasa prihatin tentang kebajikan para penjawat awam, telah diumumkan 12 lagi inisiatif dan insentif seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2018.
Sampaikan, penjawat awam wanita yang mengandung 5 bulan ke atas dibenarkan pulang awal sejam daripada waktu pejabat dan jika bekerja di lokasi yang sama, suaminya pun turut diberi kebenaran balik awal sejam.
Tidak terhenti di situ, kepada para penjawat awam yang bakal menimang cahaya mata pada tahun ini sehingga 31 Disember 2022 pula, anak mereka juga akan turut menerima sebanyak 200 ringgit melalui Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau ADAM50, bagi memupuk budaya menabung untuk masa depan.
Sesungguhnya, banyak lagi inisiatif dan insentif untuk kepentingan dan kebajikan rakyat, yang Kerajaan umumkan dalam Bajet 2018, malah, sebenarnya, sepanjang tahun 2017, telah meninggalkan pelbagai kenangan pahit dan manis serta tak kurang juga membawa pencapaian demi pencapaian yang boleh sama-sama kita banggakan.
Bahkan, Alhamdulillah, dalam Akujanji Kerajaan Barisan Nasional, melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik, setakat ini sahaja, kita sedang serta telah berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya. Tahniah kepada semua khususnya warga penjawat awam!
Sudah tentulah, di permulaan Tahun 2018 ini, saya mahukan kita semua khususnya para penjawat awam, untuk sama-sama berniat, berazam dan bertekad bagi memberikan perkhidmatan yang paling terbaik serta berfikir kreatif lagi inovatif di luar kotak kelaziman, bagi menghasilkan perkhidmatan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.
Sebab itulah, jika pada tahun 2017 lalu, saya telah menjadikannya sebagai Year of Delivery atau Tahun Penyampaian.
Maka pada tahun ini pula, saya berhasrat untuk menjadikan TAHUN 2018 SEBAGAI TAHUN KEJAYAAN DAN KEBERHASILAN YANG MENGAGUMKAN atau YEAR OF SUCCESS AND IMPRESSIVE RESULT.
Apa yang saya mahukan adalah, kerajaan terus berjaya dalam penyampaian perkhidmatan, kita cemerlang dalam meningkatkan nilai dan kemahiran, termasuklah kualiti kerja yang bertaraf global, produktiviti yang sentiasa bertambah, budaya kreatif serta inovatif dan berjaya dengan cemerlang dalam semua aspek pekerjaan serta perkhidmatan kepada rakyat.
Kita sama-sama pastikan bahawa Kerajaan ini mesti menang besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti kerana kita ingin terus berbakti dan kekal melaksanakan pelbagai agenda murni serta inisiatif yang mendatangkan kebaikan dan manfaat, demi kemaslahatan rakyat serta negara keseluruhannya. Insya-Allah.
Lebih daripada itu, saya juga mahukan Kerajaan ini, negara Malaysia dan rakyatnya pula, berjaya dengan cemerlang serta seimbang, mencapai Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi.
Hakikatnya, 2017 adalah tahun yang banyak membawa pencapaian kepada Malaysia. Ekonomi kita melangkaui segala jangkaan, iaitu pada 6.2 peratus untuk suku ketiga tahun 2017, berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada suku ketiga tahun sebelumnya. Bank Dunia juga turut menyemak semula anggarannya untuk pertumbuhan Malaysia bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali – 4.9 peratus kepada 5.8 peratus.
Seterusnya, banyak institusi global yang dihormati seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, telah memuji pertumbuhan ekonomi Malaysia yang begitu memberangsangkan serta pengurusan ekonomi berhemat oleh Kerajaan, selain mengakui bahawa, daya tahan dan daya saing ekonomi telah dikukuhkan. Sentimen ini diperkukuhkan lagi dengan keyakinan yang ditunjukkan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia sepanjang tahun lalu.
Sememangnya juga, 2017 merupakan tahun pemulihan bagi ringgit, yang menyaksikan ia kembali mengukuh secara perlahan-lahan.
Pada awal tahun 2017, Ringgit memulakan dagangan rendah pada paras 4.4900 berbanding dolar AS dan terkini, Ringgit mencecah paras tertinggi pada kadar RM3.9980, berbanding dolar Amerika Syarikat, melepasi tahap psikologi 4.0 apabila ditutup beberapa hari lalu, sekaligus menjadikannya pada kedudukan terbaik sejak Ogos 2016 dan ringgit juga muncul mata wang terbaik di rantau ini pada November lalu. Peningkatan nilai mata wang ini, mencerminkan asas ekonomi kita yang kukuh dan berdaya tahan.
Antara Sorotan Pencapaian 2017
Selanjutnya, pelancaran Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di Malaysia yang memberi manfaat kepada lebih 2,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana yang bakal mendapat akses lebih mudah ke pasaran global, terutamanya pasaran China melalui DFTZ.
Pada bulan Februari lalu, Saudi Aramco mengumumkan pelaburan AS$7 bilion di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor, yang menjadikan ianya pelaburan hiliran terbesar Aramco di luar Arab Saudi.
Manakala laluan MRT pertama negara jajaran Sungai Buloh-Kajang telah mencipta 130,000 pekerjaan baharu, yang mana 70,000 daripadanya adalah pekerjaan langsung.
Begitu jugalah dengan Projek Infra-Rakyat seperti, East Coast Rail Link di Pantai Timur, dan High Speed Rail yang merentasi Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya/Kuala Lumpur/Selangor, yang bakal dibina. Di Sabah dan Sarawak pula, projek Lebuhraya Pan Borneo sedang rancak dijayakan.
A new milestone for export performance direkodkan pada Mac 2017, yang mana nilai eksport telah mencecah RM80 bilion untuk pertama kalinya. Peningkatan eksport yang teguh dicerminkan oleh momentum yang lebih baik dalam sektor barangan dan perkhidmatan.
Sungguhpun begitu, saya sedar ada antara kita masih menghadapi cabaran, tetapi langkah-langkah yang telah dan akan terus kita ambil bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kita terus mampan dan inklusif, meluas serta memanfaatkan setiap segmen masyarakat.
Inilah sebabnya dalam Bajet 2018, saya telah mengumumkan pengurangan cukai, peruntukan untuk petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah, diskaun pembiayaan pengajian buat para pelajar, waktu kerja lebih mudah bagi wanita mengandung dalam perkhidmatan awam dan banyak lagi langkah-langkah lain yang telah diumumkan, untuk membantu meringankan beban rakyat.
Bahkan, Bank Dunia melaporkan bahawa, “Ekonomi Malaysia berkembang dari kedudukan kukuh” dan kita menjangkakan pertumbuhan sihat bagi tahun 2018 dan lebih banyak pengurangan defisit apabila kita terus mengambil segala langkah yang perlu untuk membangunkan negara dan memastikan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan rakyat Malaysia.
Kerajaan menjangkakan, Insya-Allah, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2018, dengan KDNK sebenar berkembang antara lima peratus dan 5.5 peratus, diterajui permintaan dalam negeri.
Para penjawat awam mestilah lebih bekerja keras dan gigih bersama barisan kepimpinan, bukan setakat untuk mengekalkan status Malaysia sebagai role model atau negara Islam contoh kepada negara-negara Islam lain, tidak juga sekadar berbangga apabila digelar sebagai antara model negara berbilang kaum yang paling berjaya di dunia, bahkan, lebih jauh daripada itu, sudah sampai masanya Malaysia membuktikan kewibawaannya untuk menjadi ‘global player’ yang berjaya dalam segenap dimensi dan sudut.
Contohnya, kita juga lantang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan sejagat seperti di Syria, Rohingya serta Palestin. Malah dengan tegas dan lantang menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitul Maqdis Sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.
Selain Malaysia turut berperanan aktif di peringkat ASEAN dan dalam kalangan negara-negara Islam, kita juga mempunyai hubungan baik dengan negara-negara besar dunia seperti China, Jepun, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan India.
Sehinggakan, dengan pelancaran DFTZ, menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia di luar negara China, dijangka mampu mewujudkan lebih 60 ribu peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu kepada anak-anak muda.
Kerajaan ini merupakan sebuah Kerajaan yang ada proven track record, ada visi dan misi yang sangat jelas serta jauh, diikuti dengan perancangan dan perencanaan yang inklusif serta komprehensif.
Misalnya, Malaysia sudah terkehadapan dan sedang disiapkan untuk menjadi High Income Advanced Economy pada tahun 2020; Nilaian ekonomi dan dagangan semasa disasarkan menjadi 2 trilion ringgit pada tahun 2025; persediaan menghadapi impak Revolusi Perindustrian Keempat pada tahun 2030; sekaligus membawa Malaysia tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju dan terbaik di dunia, menjelang Transformasi Nasional 2050 atau TN50.
Ini menunjukkan bahawa, kita adalah sebuah Kerajaan yang terus bertransformasi, menjadi harapan pasti untuk masa depan rakyat dan negara. Janganlah sesekali dibiarkan negara ini, kembali semula ke zaman silam atau purba, yang bersifat kuku besi dan autokratik.
Saya mahukan negara dan Kerajaan ini terus kukuh dan mantap, stabil serta berpadu dan maju berjaya dalam semua aspek serta bidang utama, baik di sudut ekonomi, keselamatan, politik, agama, pendidikan, budaya dan sosial, yang membawa kepada limpahan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyatnya.
Kita bersama-sama menyebarkan kebaikan, mencapai delivery dan usaha-usaha murni yang telah sekian banyak dilakukan oleh Kerajaan demi kemaslahatan rakyat, selain, menangkis segala ‘perang persepsi’, propaganda dan tohmahan songsang yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di media-media sosial.
Mudah-mudahan tahun 2018 ini, akan memberikan lebih banyak kejayaan dan keberhasilan yang mengkagumkan kepada Malaysia. Didoakan, semoga majulah Malaysia, Rahmatilah rakyat dan negaranya, di bawah keberkatan serta lindungan Allah SWT sampai bila-bila. Insya-Allah.
Ditulis oleh : Najib Razak
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2D0PWlT
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment