"Politik Fitnah Pembangkang" Oleh Najib Razak
Saya telah berkali menulis mengenai perkara ini, bahkan saya dan keluarga sering menjadi mangsa politik fitnah pembangkang yang tidak langsung kenal akan erti kehormatan atau rasa bertanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat, yang mereka tahu hanyalah berebut kuasa tanpa menghiraukan cara bagaimana untuk mendapatkannya.
Tetapi saya terpanggil untuk menulis sekali lagi berkenaan perkara ini, kerana semakin dekat kita dengan pilihan raya, semakin berleluasa dan dahsyat fitnah yang dilontarkan pembangkang hingga saya gelarkan sebagai #TsunamiPHitnah, yang berupaya memporak perandakan dan mampu membinasakan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia sejak sekian lama.
Sebenarnya, sejak pilihan raya yang lepas sehingga kini, jika saya menyenaraikan setiap satu lemparan fitnah yang dibuat pembangkang, boleh jadi setebal Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka jumlah muka surat yang perlu diperuntukkan.
Dalam catatan blog ini, saya kali ini akan menyentuh beberapa fitnah jahat pembangkang yang membawa kesan begitu mendalam, bukan sahaja kepada individu atau entiti yang difitnah, malah juga kepada masyarakat dan hala tuju negara sendiri.
Pada Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu, fitnah paling dahsyat yang mereka lontarkan ialah 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh yang kononnya dibawa masuk ke Malaysia menggunakan penerbangan khas untuk membuang undi di kawasan-kawasan tertentu, dan juga bahawa berlakunya putus bekalan kuasa atau blackout di pusat mengundi.
Saya percaya ramai ingat perkara ini, malah lebih menyedihkan, saya juga maklum bahawa ramai yang sehingga hari ini masih percaya dakyah ini walaupun bukti menunjukkan sebaliknya dan ramai pemimpin pembangkang sendiri mengakui ia tidak berlaku.
Yang menghairankan saya, fitnah ini – seperti fitnah-fitnah lain – hanya memerlukan sedikit kajian dan pemikiran logik untuk dibuktikan palsu, namun akibat keghairahan berpolitik, ramai yang mempercayainya, ditipu bulat-bulat oleh pembangkang.
Akibatnya, rakyat Malaysia yang lahir dan dibesarkan di negara ini, jika berkulit gelap sedikit, dituduh sebagai warga asing, dipaksa menyanyi lagu Negaraku di khalayak ramai, ada yang kad pengenalan mereka juga diviralkan di media sosial dengan pelbagai kutukan dan cacian dilemparkan kepada mereka.
Pada masa sama, komuniti pekerja asing Bangladesh yang datang ke sini mencari rezeki halal dihambat dan dicerca, diperlekeh dan dijadikan mangsa kebencian akibat politik fitnah.
Seterusnya, sesudah pilihanraya, pembangkang terus menabur fitnah. Tiada individu atau institusi yang terselamat daripada sasaran politik fitnah mereka. Satu fitnah yang begitu dahsyat dan keji yang mereka lakukan adalah terhadap institusi yang menjaga kebajikan jemaah Haji Malaysia, bakal tetamu Allah di Tanah Suci.
Bertahun lamanya Lembaga Tabung Haji mencatat dividen pelaburan yang kompetitif, sering dipuji sebagai pengurusan jemaah Haji contoh, malah hubungan baik yang terus terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi, antara saya dan Raja Salman, telah membuka banyak peluang dan juga penambahan kuota haji untuk rakyat Malaysia.
Semua ini langsung tidak diambil kira mahupun dipedulikan apabila pembangkang melempar fitnah Tabung Haji mengalami kerugian dan tak mampu membayar semula wang pendeposit.
Akibatnya, lebih 3,000 pendeposit yang terpedaya dan termakan hasutan dan fitnah jahat pembangkang bertindak menutup akaun mereka. Kesannya, mereka hilang kelayakan dan giliran Haji. Tergamaknya pembangkang memfitnah sebegini rupa, yang teraniaya adalah pak cik dan mak cik berumur, yang telah menunggu giliran ke Tanah Suci bertahun lamanya musnah dan harapan mereka kerana politik fitnah pembangkang.
Dua contoh ini hanyalah sebahagian fitnah yang dilemparkan pembangkang, termasuklah fitnah mereka terhadap saya dan keluarga, Kerajaan, institusi-institusi dan dana-dana pelaburan. Malah kejadian kemalangan yang meragut nyawa pun sanggup mereka fitnah dan politikkan.
Kita sekali lagi berada di musim pilihan raya, musim yang bersamanya akan membawa #TsunamiPHitnah dahsyat. Kita sendiri dapat lihat seminggu dua ini betapa banyak berita palsu dan fitnah disebarkan menerusi laman media sosial dan juga medium komunikasi seperti Whatsapp dan sebagainya.
Janganlah kita menjadi ejen kemusnahan dengan membenarkan politik fitnah mereka berleluasa, kerana yang akan rugi adalah kita, masyarakat, dan negara Malaysia.
DATUK SERI NAJIB RAZAK adalah pengerusi BN dan perdana menteri Malaysia.
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2HuUaW1
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment