Lagi-Lagi Senario – Legasi Kumpulan Lagenda
Siapa masih ingat babak apabila Wahid (lakonan Wahid Senario) menebar baju di bilik air rumahnya? Detik itu adalah antara detik-detik yang paling berkesan dalam filem Lagi-Lagi Senario, di mana keesokan harinya Wahid kembali ke gerai Azlee (lakonan Azlee Senario) dengan semangat baru dan memperkenalkan roti canai versi baharu – Roti Canai Terbang Rock and Roll.
Filem komedi keluarga arahan Aziz M Osman ini pada asalnya telah menelan belanja sebanyak RM 1.6 juta. Menjadi salah satu filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman (2001-2009) dengan memperoleh kutipan mencecah RM 6.33 juta, filem Lagi-Lagi Senario ini kemudiannya tewas kepada filem Adnan Sempit pada tahun 2010, dan kini menduduki tangga ke 22 di dalam indeks Filem Cereka Top 50 Finas.
Relevan terhadap Isu Masyarakat
Antara sebab kenapa filem ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton adalah kerana Aziz berjaya mengupas isu-isu yang berlaku kepada masyarakat zaman 90-an dengan amat baik. Watak utama filem Lagi-Lagi Senario, Wahid, pada asalnya adalah pelayan di sebuah restoran terkemuka. Namun begitu, hasil dari kesilapan pelanggannya (lakonan allahyarham Osman Kering dan Syanie) yang mengkritik masakan ketua chef dengan alasan masakan tersebut “kurang pedas”, Wahid kemudiannya dibuang kerja kerana membenarkan pelanggan tersebut masuk ke restoran.
Situasi yang terjadi di awal filem tersebut sebenarnya adalah suatu isu budaya. Sebagai contoh di Perancis, sesetengah restauran akan memberitahu lebih awal bahawa mereka tidak akan menghidangkan steak secara “bien cuit” (well done steak) kerana mereka percaya memasak steak secara berlebihan akan merosakkan rasa dan tekstur daging tersebut. Budaya yang dibawa dalam bentuk “Ini adalah apa yang kami hulurkan, dan kami rasa sebagai terbaik. Sekiranya anda tidak bersetuju, ada banyak lagi tempat lain yang sesuai untuk anda” ini sebenarnya adalah sedikit berlawanan dengan konsep kepenggunaan yang dibawa oleh Amerika – Customer is always right.
Wahid juga kemudiannya menjadi contoh survivability anak muda pada zaman beliau – di zaman kejatuhan ekonomi Malaysia. Meskipun dengan pengalaman bekerja di restoran eksklusif, dia akhirnya terpaksa bekerja sebagai patung maskot Sesumpah di sebuah pasaraya, satu gambaran bahawa kadangkala kita perlu menerima apa sahaja peluang yang diberikan kepada kita demi kelangsungan hidup.
Jika dilihat kepada situasi Wahid dan diterjemahkan kepada graduan masa kini, boleh dikatakan ramai sebenarnya “Wahid baru” yang terhasil di era moden. Menurut statistik Kajian Pengesanan Graduan 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, daripada 255,099 graduan pada tahun 2017, hanya separuh (55.4%) sahaja graduan yang diserap semula ke alam pekerjaan, dan 20.9% daripada graduan yang lainnya tidak bekerja.
Permasalahan survivability graduan ini sebenarnya sudah menjadi antara topik hangat dalam perbincangan ekonomi negara, dan penulis berpendapat bahawa pihak kerajaan, dapat membantu dengan mengambil contoh negara-negara maju yang mempunyai kadar pengangguran belia yang rendah seperti Jerman dan Jepun, masing-masing dengan 4.4 dan 4.7 peratus dari peratusan tenaga kerja negara terbabit.
Sikap Skeptisme Lapuk
Setelah meneroka watak utama, pengarah kemudian mula fokus kepada perkembangan watak sampingan dan latar masyarakat yang berlegar di sekitar warung Azlee. Setelah dibuang dari kerja sebagai Sesumpah, Wahid kemudiannya bertemu semula dengan Yassin dan Saiful (lakonan Saiful Apek) di warung tempat Saiful bekerja. Sikap suka merendahkan orang lain Wahid sebenarnya sedikit sebanyak menggambarkan realiti masyarakat Melayu – sewaktu Wahid ditawarkan bekerja dengan Azlee, Wahid mengetuk meja kayu di warung Azlee. Soalan Wahid yang berbunyi “Warung ni ada insurance?” menunjukkan bahawa Wahid sebenarnya sedikit skeptikal terhadap warung Azlee, jika dibandingkan dengan restoran eksklusif tempat dia bekerja sebelumnya.
Sikap skeptikal Wahid juga diserlahkan sewaktu dia sampai ke rumah sewa Saiful dan Yassin. Dialog “Luar macam setinggan, dalam macam kondo” yang dilontarkan oleh Wahid sewaktu masuk ke dalam rumah tersebut menunjukkan bahawa Wahid sebenarnya tidak percaya bahawa kerja-kerja berniaga di gerai atau warung mampu membuahkan hasil yang lumayan. Soalan san kesimpulan Wahid kemudiannya, seperti barangan dalam rumah tersebut adalah ihsan dari Azlee, Saiful dari keturunan orang kaya atau Saiful bekerja sebagai pelayan adalah satu bentuk penafian – dia tidak percaya bahawa pekerjaan sebagai penebar roti canai yang Saiful lakukan mampu menjadi punca rezeki beliau dalam bentuk barang-barang yang mewah.
Keharmonian Malaysia yang ditonjolkan dalam Lagi-Lagi Senario juga sebenarnya adalah tunjang kekuatan filem ini. Kepelbagaian bangsa yang muncul dalam filem ini, seperti watak Muthusamy (Accapan) dan Lee Ah Cai (Robert Kong) menjadi penyeri dalam filem ini sebagai ganti terhadap gejala-gejala melepak yang dapat kita lihat di kampung-kampung. Tidak dapat dinafikan, watak ini juga mempunyai aura yang tersendiri, dengan satira ringan seperti berita akhbar tidak boleh dipercayai, melainkan bahagian nombor ekor.
Persaingan Mazlan: Sihat atau Tidak?
Kisah filem ini mula berkembang dengan pengenalan watak antagonis yang diperkenalkan sebagai Mazlan (Lan Pet Pet), seorang peniaga yang baru membuka kafe di sebelah warung Azlee. Taktik jahat Mazlan yang membuka kafe betul-betul di sebelah warung Azlee ini membuka satu persoalan umum kepada penonton: Apakah salah jika persaingan perniagaan terjadi, ataupun perkara ini dianggap sebagai usaha ‘mencantas’ rezeki orang lain?
Di dalam teori ekonomi moden, persaingan didefinasikan sebagai percubaan untuk mendapatkan sebahagian saham bagi sesuatu perniagaan. Sebagai contoh, dalam kes Azlee dan Mazlan, Mazlan cuba untuk mendapatkan pelanggan daripada perkhidmatan makanan di kawasan tersebut yang asalnya dimonopoli oleh Azlee. Dalam aspek ekonomi ini, Mazlan tidak boleh dikira sebagai bersalah, kerana persaingan itu sendiri sebenarnya adalah antara adat dalam perniagaan, dan telah diterima pakai sebagai salah satu cara untuk mengembangkan pasaran produk mereka dengan pertarungan produktiviti yang seharusnya berlangsung secara adil antara mereka. Dalam kes ini juga, pengguna adalah pihak yang sepatutnya bergembira kerana pilihan produk dan citarasa mereka semakin bertambah dan meluas, seperti kata Ah Cai, “Kita juga untung. Kalau sini layanan tak bagus, kita lari sana (kedai Mazlan). Kalau sana tak bagus, kita lari sini (kedai Azlee)”.
Namun begitu, perkara yang pastinya membuat Mazlan menjadi watak antagonis berkesan dalam filem ini adalah plot Mazlan dalam usahanya untuk menjatuhkan warung lawannya dalam keadaan tidak adil. Taktik jahat Mazlan yang mencuri pekerja dari kedai Azlee sebenarnya menunjukkan yang Mazlan sebenarnya tidak mempunyai niat untuk berniaga secara sihat, dengan watak Maya digunapakai sebagai watak penggoda, menggoda Saiful untuk meninggalkan majikannya yang telah menjaganya selama bertahun-tahun.
Klimaks dan Penutup Yang Menarik
Dari pengembangan jalan cerita yang menghiburkan, di mana Mazlan dan Azlee sama-sama bersaing, kehilangan Saiful pastinya menjadi cabaran bagi Azlee kerana dia telah kehilangan penebar roti canai yang penting bagi warungnya. Kemunculan watak Majid (lakonan Nasir Ali) juga pastinya diingati penonton sebagai satu watak peringatan kepada penonton untuk menyemak dan menjaga kebersihan makanan yang kita makan.
Menuju ke klimaks filem ini, perubahan watak Mazlin (Wardina) dari berpihak kepada Mazlan yang merupakan pakciknya ke warung Azlee menjadi penanda aras kepada kisah komedi ini, dengan haluan filem ini kemudiannya diteruskan dengan watak Lin dan Wahid kemudiannya mula rapat. Watak Wahid kemudiannya dilihat mula membesar dan berkembang menjadi watak yang lebih matang dengan Wahid mula bersungguh-sungguh dalam mencari kerja lain, dan dia akhirnya ditawarkan jawatan pengurus restauran di Johor Baharu. Babak Wahid yang pastinya terus lekat dalam ingatan penonton dan peminat roti canai pastinya sewaktu Wahid di dalam tandas dan belajar menebar bajunya, dan dari itu, Wahid kemudian menunjukkan evolusi roti canai baharu, roti canai terbang, yang dari perspektif penulis (yang pada itu masih berumur 13 tahun) sebagai amat hebat.
Konklusi filem ini, dengan Mazlan dilihat cuba mengelat setelah kalah dalam persaingan terbukanya dengan Azlee, dia mencuba cara lain iaitu dengan membuka kedai secara tidak sah di luar waktu di bulan puasa. Bagaimanapun, penulis merasakan bahawa penamat filem ini dilakukan dengan agak terburu-buru, apabila warung Azlee dan Mazlan dirobohkan serta merta pada hari yang sama mereka diberi notis penukaran hak milik tanah oleh peguam Muthu dan Ah Cai. Satu lagi bahagian penamat yang mungkin bagi penulis adalah tidak adil apabila Mazlan dan Azlee bersetuju untuk bekerja bersama dalam memajukan perniagaan mereka kerana berdasarkan prinsip moral yang Mazlan telah tunjukkan di sepanjang filem ini, keputusan itu mungkin berat sebelah atau dijadikan sebagai satu bentuk happy ending yang dipersembahkan oleh pihak produksi.
Sebagai penutup kepada artikel ini, penulis amat berterima kasih kepada pihak produksi Lagi-Lagi Senario yang telah melahirkan filem yang mampu menerjemahkan banyak aspek dan sisi harmoni masyarakat Malaysia yang unik.
Rujukan dan Kredit
Filem asal – Lagi-Lagi Senario, Aziz M. Osman (2001). Grand Brilliance Sdn. Bhd.
Filem Cereka Top 50 Finas – https://ift.tt/2g9oTY8
Statistik Kajian Pengesanan Graduan – https://ift.tt/2up24HY
Isu Menambah Sos ke Dalam Hidangan – https://ift.tt/2uw688k
✍ Sumber Pautan : ☕ Macam Macam hal laaaa... Anda patut tahu!!!
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2zI90oG
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment