Hi! Welcome Back and Stay Tune! Rumah sewa berhantu dan Pak Cik Harun - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Rumah sewa berhantu dan Pak Cik Harun

Al-kisahnya bermula pada waktu Ajwad baru sahaja berjaya menamatkan pelajarannya di sebuah Universiti di Ipoh, Perak. Dengan keputusannya yang agak cemerlang baik akademik mahupun kokurikulum, Ajwad berjaya mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat yang agak ternama di Ipoh, Perak.

Ajwad adalah seorang yang baik dan agak pendiam. Dia ini jenis yang tidak suka dengan suasana yang bising. Dengan gaji yang ditawarkan oleh syarikat tersebut, dia membuat keputusan untuk menyewa sebuah rumah dan tinggal seorang diri supaya senang tidak timbul masalah antara rakan-rakan rumah berkenaan bayar sewa, bayar bil air, elektrik, astro dan sebagainya.

Lagipun Ajwad adalah seorang yang anti-rokok. Khabarnya Ajwad akan mengalami sakit kepala seakan-akan migrain sekiranya dia terbau asap rokok dalam jangka masa yang panjang.

Dipendekkan cerita, dia pun jumpa lah sebuah rumah yang dirasakannya amat puas hati kerana keselesaan rumah itu dan juga berbaloi dengan harga. Selepas bertemu tuan punya rumah dan dia pun dah lihat semua keadaan rumah itu yang dilengkapi semua peralatan-peralatan asas seperti TV, kuali, peti sejuk, kipas dan sebagainya, dia pun
tanpa berfikir panjang, terus bersetuju dan terus membuat bayaran deposit serta bayaran untuk sewa pada bulan itu.

Setelah membuat persetujuan, dia pun cepat-cepat mengangkat barang-barang dari kereta untuk diangkut ke rumah tersebut supaya selepas ini dia boleh rehat-rehat dan tidur. Setelah selesai mengangkat barang dan mengemas rumah, dia berfikir tentang apa yang akan dia nak buat lepas ni.

Oleh kerana rumah teres yang disewakan ini agak terasing dengan rumah yang lain, dia pun berfikir untuk memasang CCTV dan alat penggera untuk keselamatan sekiranya ada pencuri atau perompak. Al-maklum, malam-malam di rumah itu, Ajwad dapat jangkakan memang gelap gelita. Namun, duit masih belum cukup. Dia terpaksa tunggu untuk dapat gaji pertamanya dahulu. Sambil-sambil berbaring memikirkan macam-macam benda tu, tiba-tiba Ajwad terlelap di atas sofa yang sudah tersedia di rumah tersebut.

Sebaik sahaja dia sedar, hari sudah malam, dia langsung tak nampak apa-apa. Rumahnya sangat gelap gelita.
Dia lupa nak pasang lampu tadi. Tapi dia tak jangka pulak rumahnya akan gelap sampai tak nampak apa-apa langsung macam ni!

Ajwad pun bangun, menyeluk poketnya mengambil telefon pintarnya. Sambil dia membelek-belek telefonnya mencari ‘apps’ untuk lampu suluh, tiba-tiba dia terdengar bunyi seakan-akan ada seseorang sedang mandi di bilik air. Ajwad yang sentiasa berfikiran positif ini, dia langsung tidak menganggap bunyi air itu adalah hasil daripada bunyi daripad hantu atau makhluk halus. Tetapi, dia menganggap ada orang lain di dalam rumahnya (seperti cerita seram ‘Night Vision’ pada zaman dahulu kala yang mengisahkan tentang sebuah rumah sewa dikongsi berdua TANPA DISEDARI!), itulah yang difikirkan oleh Ajwad.

Oleh kerana itu, dia mengambil langkah supaya tidak menyalakan lampu suluh dan bergerak secara perlahan-lahan
dan secara senyap. Dia cuba mendekati bunyi seakan-akan orang mandi itu. Semakin lama, bunyinya semakin dekat.
Beberapa minit kemudian, dia ternampak dari jauh sebuah bilik yang menyalakan lampu, dan dia yakin bilik itu
adalah tandas bunyi air tersebut. Dia pun meneruskan langkah mendekati bilik air tersebut.

Dalam hati Ajwad, ‘adakah patut aku tanya siapa di dalam?’.

Sedang dia berfikir, dari jauh kelihatan pintu bilik air itu terbuka. Dia membuat keputusan untuk mengintai siapakah di dalam bilik air tersebut.

Sebaik sahaja dia sampai di pintu bilik air tersebut. Dia terus hidupkan telefon, dan menghulurkan telefonnya di celah-celah atas pintu untuk merakam siapakah yang berada dalam tandas bilik air.

Selesai sahaja merakam dalam 10 saat video, dia meloloskan diri ke tempat yang dirasakan tempat yang selamat untuk bersembunyi. Terus dia hidupkan telefon dan mainkan video tersebut.

Alangkah terkejutnya Ajwad apabila di dalam video itu menunjukkan paip air langsung tak berbuka, langsung tiada orang yang mandi dalam tu!

Ajwad pun terus berlari ke arah bilik air yang masih lagi berbunyi air itu, lalu  melihat ke arah bilik air itu. Sebaik sahaja pandangan matanya ingin melihat di dalam bilik air tersebut, tiba-tiba sahaja bunyi orang mandi itu hilang!.

Ajwad terjatuh seketika kerana terkejut.

Namun, Ajwad bangkit kembali dan terus berlari mencari pintu keluar untuk tenangkan diri. Sambil dia berlari, tersepak pulak penyapu di tengah jalan yang digunakannya untukkemas rumah tadi.

Ajwad terjatuh dalam keadaan berbaring dan dia seakan-akan lumpuh sementara. Di dalam posisi Ajwad yang terbaring itu, pandangan Ajwad betul-betul tepat ke bawah meja makan. Alangkah terperanjatnya apabila Ajwad ternampak seakan-akan wanita strok berada di bawah mejanya.

Dalam keadaannya yang sakit dan tidak mampu bergerak, Ajwad hanya mampu menjerit sekuat hatinya sambil menutup mata.

Sehingga lebih kurang 15 saat dia menjerit tanpa henti, tiba-tiba dia terasa tamparan yang sangat kuat di pipinya..

‘Woi woi, ko ok tak ni?’

Ajwad dengan perlahan memperlahankan jeritannya dan membuka matanya.

Kelihatan rumahnya sudah cerah dipasang lampu. Dan ada seorang pak cik yang tidak la tua sangat (umur dalam 40an), berkupiah, berjanggut dan bermisai nipis, berada di depannya seraya bertanya,

‘Ko kenapa ni? Nampak hantu?’..

Ajwad mengangguk kepalanya dan menunjukkan jarinya ke bawah meja…

Ajwad agak terkejut kerana benda tu dah takde…’Tadi,, tadii, benda tu ada bawah meja tu, pak cik!’, ujar Ajwad.

Pak Cik tu berkata, ‘takde apa lah tu. Ko je yang pikir bukan-bukan…’

Ajwad hanya mampu ‘Ooohh.. err okay’, dengan mukanya yang kelihatan agak pucat dan ketakutan.

‘Macam ni lah, nama pak cik, Pak Cik Harun. Pak Cik tinggal diseberang sana..’, sambil menunjukkan sebuah rumah
yang tidaklah jauh sangat (dalam 100meter-200meter).

‘pak cik ada kerja ni, kena balik…kalau ada apa-apa masalah, kamu boleh panggil pak cik. Ataupun ambik no telefon pak cik ni. Kalau nampak apa-apa lagi, contact pak cik’, sambung Pak Cik Harun sambil menghulurkan bisnes kadnya.

Pak Cik Harun pun berlalu meninggalkan rumah tersebut.

Ajwad pun dengan mukanya yang agak ketakutan, bangun, berjalan perlahan-lahan, mengintai-intai di sekeliling kalau ada apa-apa lagi. Kelihatan seperti tiada apa-apa lagi benda yang menyeramkan. Dia berfikir mungkin itu hanya ilusi sahaja kerana maklumlah dia baru sahaja bangun tidur dan keletihan.

Dia pun tersenyum sendiri.. Sambil itu, dia baca bisnes kad yang berada di tangannya.

‘Pengurut Zahir & Batin pun ada kad bisnes? Hebat pak cik ni. Kad pun boleh tahan lawa’, katanya dalam hati.

Ajwad pun pergi ambil tuala yang masih lagi ada dalam beg besarnya itu dan terus menuju ke bilik air untuk mandi…

Masuk je bilik air, dia terus pasangkan ‘air hujan’ dan mandi…

Dalam beberapa minit, tengah-tengah seronok dia mandi, tiba-tiba dia teringat akan kejadian tadi.. menyebabkan dia berasa agak takut. Dia pun memperlajukan kemandiannya sambil melihat atas kiri kanan belakang depan. Siap je mandi, terus dia pecut berlari masuk ke biliknya.

Tengah-tengah dia berlari menuju ke bilik, dia terasa seakan-akan ada seseorang mengikutinya.

Sampai je di bilik, dengan lajunya badannya berpusing menghadap ke belakang (dengan posisi siap sedia untuk berlawan). Kelihatannya langsung takde apa-apa. Dia pun mula yakin bahawa ini semua hanya mainan perasaan yang memperbodohkan dia.

Oleh kerana hari itu dia tersangat letih, dia mengambil keputusan untuk terus tidur. Dia pun terus memakai boxernya, kemas-kemas sedikit katil dan biliknya.

Dan terus dia mendaratkan dirinya ke atas katil besarnya itu. Dia pun mematikan lampu dengan menekan suis yang berada hanya di katilnya iaitu di atas kepalanya. ‘ketakkkkk’.. Biliknya sekarang gelap gelita. Dan Ajwad pun menutup matanya cuba untuk tidur kerana hari esok, dia akan memulakan hari pertama bekerja di sana.

Dalam hatinya ‘Ahhh sedapnya tidur atas katil besar dan empuk ni. Bilik pun sejuk. Beruntung aku sewa rumah ni. Dah la murah. Berbaloi baloi’, sambil tersenyum sendiri…

Beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi angin yang sangat kuat di luar secara tiba-tiba. Kedengaran juga seperti pokok di luar rumahnya yang bergoncang mengenai tingkap biliknya. Bunyi bising ini menyebabkan Ajwad membuka matanya dan melihat ke arah tingkap. Memang betol ada pokok yang bergoncang di luar rumahnya.

Dia buat tak tahu je. Dan terus sambung tidur.

Namun, bunyi bising tersebut memang menganggu tidurnya.

Lalu dia bertindak mengambil parang yang berada di dalam biliknya dan terus menuju ke tingkap.

Sambil menuju ke tingkap tersebut, terdetik dalam hatinya ‘Eh, bila masa parang ni ada dalam bilik aku?’..

Ajwad merasa agak hairan kerana dia sendiri tidak pasti adakah parang tersebut sudah sedia ada dalam biliknya atau tidak.

Namun, oleh kerana mengantuk, Ajwad abaikan mengenai hal itu dan terus ingin membuka tingkap untuk menebas dahan-dahan pokok yang terkena tingkap bilik Ajwad…

Sebaik sahaja Ajwad membuka tingkapnya, tiba-tiba muncul satu lembaga berupa seperti seorang perempuan gila sambil gelak-gelak halus macam orang gila yang menakutkan.

Ajwad terkejut lalu terjatuh ke belakang.

Kelihatan hantu tersebut terbang memasuki bilik Ajwad.. Ajwad pun apa lagi!!! Terus Ajwad buka pintu bilik dan pecut lari..

Dalam berlari itu, sempat Ajwad menoleh ke belakang.. Kelihatan hantu itu masih mengejarnya seperti seorang perempuan gila yang berlari anak dan senyum macam orang gila tahap kronik dengan matanya yang bulat dan menyeramkan.

Melihat hantu seperti orang gila yang mempunyai ciri-ciri orang gila cukup lengkap itu menyebabkan Ajwab bertambah takut yang teramat,,

sehinggakan Ajwad menjerit dan pada masa sama rasa macam nak pengsan…

Tiba-tiba sahaja,,, Ajwad seolah-olah tersedar dari mimpi..

dan ternyata ianya memang cuma mimpi…kerana apabila Ajwad bangun, Ajwad dapati dia sekarang berada di atas katilnya, bukannya di luar.

‘Ohh, patut la tiba-tiba ada parang dalam bilik aku…padahal aku tak ada parang pun’, kata Ajwad dalam hatinya.

Tetapi Ajwad tetap merasa hairan kerana mimpi tersebut seperti bukan mimpi…

Rasanya seperti real…

Namun, Ajwad abaikan sahaja…Selepas mengelamun beberapa minit, Ajwad lihat di tingkap biliknya, kelihatan seperti sudah subuh..

Ajwad pun melihat telefonnya. Ajwad terkejut apabila jam pada telefonnya menunjukkan sudah pukul 7.30 pagi. Ini hari pertama Ajwad pergi kerja. Dia tahu dia tak sepatutnya lewat!

Ajwad pun cepat-cepat pergi mandi, dan blah.

Dengan menaiki kereta Perodua Viva barunya itu, akhirnya tepat pukul 8, Ajwad sampai di tempat kerjanya yang tidak lah jauh mana dari rumahnya. Sebab itu lah Ajwad berasa sangat beruntung dapat rumah sewa murah tu.

Sampai je di tempat kerja, dia bersyukur kerana bosnya takde lah berlagak macam dalam TV selalu kita tengok.
Dalam TV, kalau bos je, mesti berlagak. Tapi bos Ajwad menyambut kedatangan Ajwad dengan senyuman dan dengan baik sekali. Nama bos Ajwad adalah Encik Nazri.

Macam biasa, bos perkenalkan Ajwad kepada rakan sekerjanya, mereka bersalaman. Selepas selesai semua, bos menerangkan tentang kerja Ajwad apa perlu dia buat. Selepas semuanya selesai. Ajwad terus mulakan kerja.

Sampai je pukul 1 petang, bos ajak Ajwad lunch sama-sama di kedai berdekatan. Al-maklum, hari pertama. Dan Encik Nazri ni memang seorang yang suka mengambil tahu dan prihatin terhadap pekerjanya. Bagi Encik Nazri, penting untuk mengenali ciri-ciri dan perangai setiap seorang pekerjanya supaya setiap pekerjanya selesa membuat kerja. Sambil-sambil makan, bos bersembanglah.

‘Ada sedara-mara ke kat sini? ke kamu menyewa, Ajwad?’, tanya Encik Nazri pada Ajwad.

‘Eh, takde tuan. Saya sewa rumah dekat hujung tu haa.. Tak jauh pun.’, jelas Ajwad.

‘Dalam lorong sebelum 7-Eleven tu ke?’, tanya Encik Nazri lagi.

‘Yep tuan’..

‘Rumah kamu yang paling hujung belah kanan?’, tanya Encik Nazri seperti kehairanan.

‘Ha’ah, yang itulah… Kenapa tuan? Macam pelik je gaya tuan tanya soalan tu?’, sambung Ajwad.

‘Err tak.. Jap. Kamu tidur di rumah tu la semalam?’, tanya Encik Nazri lagi.

‘Ye tuan.. Bimbang datang lewat. Tu yang terus datang tido sana.’, jelas Ajwad.

‘Err.. Eh dah lewat ni, jom sambung kerja. jom jom..’, kata Encik Nazri.

Ajwad berasa agak hairan. Kenapa dengan Encik Nazri ni. Jam di telefonnya masih menunjukkan pukul 1.30. Belum pukul 2 petang. Bermakna belum lewat la.

Tapi mampus dia lah. Ajwad pun hanya menuruti sahaja, ‘ok ok baik bos’.

Dia pun menyambung kerjanya.

Sehinggalah pukul 5 petang.

Sebaik sahaja dia ingin pulang, tiba-tiba bos menyapanya, ‘Ajwad, seeloknya kamu pindah la rumah lain’….

Itu sahaja nasihatnya..

Ajwad pun pulang menaiki kereta Viva comelnya itu.

Dalam perjalanan ke rumah, dia masih lagi memikirkan berkenaan nasihat bos tadi..

‘Kenapa bos suruh pindah?’, Ajwad masih lagi kehairanan.

Namun, Ajwad hanya endahkannya sahaja.

Sebaik sahaja Ajwad tiba di rumah, Ajwad terperanjat kerana semua pintu dan tingkap rumahnya terbuka luas seperti ada seseorang yang memasuki rumahnya.

Ajwad pun berhentikan keretanya agak jauh dari rumahnya dan ingin masuk.

Ajwad berjalan perlahan-lahan menuju rumahnya. Dari jauh, Ajwad nampak seakan-akan ada seorang wanita. Wanita tersebut seperti wanita gila yang dalam mimpi Ajwad semalam.

Ajwad pun apa lagi!! Terus berlari masuk kereta.

Tanpa fikir panjang, dia terus ke rumah Pak Cik Harun yang pernah masuk rumahnya kelmarin.

Lebih kurang selepas 5 minit, dia pun sampai di rumah Pak Cik Harun.

Rumah Pak Cik Harun kelihatan agak menyeramkan.

Namun Ajwad memberanikan diri pergi ke rumah Pak Cik Harun dan memanggil-manggil namanya.

Namun, rumah Pak Cik Harun sebenarnya telah usang, kosong, sunyi, dan langsung tidak berpenghuni.

Tamat…



✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2OEtalY

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.