POLITIK KUCAR-KACIR PH
Perdebatan terkini adalah mengenai ijazah palsu yang dimiliki sesetengah anggota Kabinet.
Setakat ini, tiada seorang anggota Kabinet yang dituduh dicabar untuk membuat laporan polis dan membuat saman fitnah terhadap penuduh mereka.
Contohnya, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya sepatutnya dicabar untuk menyaman Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang memberikan gambaran beliau mengedit transkrip yang dianugerahkan kepada beliau oleh Cambridge International University.
Mengikut sifir Pakatan Harapan (PH) secara amnya terhadap kes tuduhan RM90 juta terhadap PAS, kegagalan menyaman penuduh yang mencalar imej seseorang atau parti adalah pengakuan tidak langsung bahawa ia bersalah.
Oleh itu, mahu tidak mahu, Marzuki wajib menyaman Wee di mahkamah untuk mempertahankan ketulenan transkripnya. Bukan itu sahaja, tindakan Marzuki ini juga dapat menghindari PH daripada dituduh bersikap hipokrit.
Jika tidak, beliau akan dianggap bersalah di dalam sistem lojik yang digunapakai oleh PH.
Tindakan yang sama juga harus diambil Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut difitnah kelayakan akademik mereka.
Mereka kini dilihat rakyat sebagai ahli politik yang tidak jujur gaga-gara tindakan stesen TV, Wikipedia, media maya dan pembuat poster yang menggunakan matlumat kelayakan akademik yang salah semasa memperkenalkan mereka “selama ini” sebelum isu ijazah Marzuki meletup-letup.
Oleh itu, mereka perlu menyaman pihak yang selama ini memberikan tanggapan yang salah kepada rakyat jelata terhadap kelayakan akademik mereka. Mereka tiada ijazah, tapi stesen TV, Wikipedia, media maya dan pembuat poster tulis ada. Bukan itu satu fitnah yang besar, walaupun mereka membiarkan kepalsuan itu hidup bertahun-tahun lamanya? Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, itu rahsia di hati mereka.
Hanya dengan menyaman pihak yang menfitnah mereka untuk membersihkan nama masing-masing, barulah mereka dapat memenuhi prinsip keadilan PH sebagaimana tegasnya mereka meminta PAS untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan RM90 juta Sarawak Report.
Kucar-kacir kompas PH juga dapat dilihat rakyat melalui perbezaan sikap sesetengah ahli politik PH di dalam soal ijazah ini ketika mereka membangkang dan ketika mereka mentadbir.
Ketika mereka di kerusi pembangkang, PH sibuk mengkritik kelayakan akademik anggota Kabinet Barisan Nasional (BN) bagi tujuan untuk “membersihkan” Kabinet BN. Antara pengkritik yang lantang ialah Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming. Bukan itu sahaja, Ong juga rajin menyemak kelayakan akademik keseluruhan Kabinet Datuk Seri Najib Razak ketika itu dan menggesa mereka yang memilik kelayakan ijazah yang tidak memenuhi kualiti yang dituntut beliau dipecat serta-merta.
Selepas PH berkuasa, malangnya Ong tidak lagi serajin dulu. Malah, Ong tidak sedar ada anggota Kabinet PH yang memiliki ijazah yang menimbulkan keraguan dan matlumat kelayakan akademik yang tidak betul di ruang awam. Netizen lebih rajin daripadanya. Lebih menyedihkan, netizen perlu mendesak beliau untuk mengeluarkan kenyataan dan kenyataan yang dikeluarkan Ong pun tidak setegas dulu berbanding beliau berada di kerusi pembangkang.
Kompas moral PH nampaknya berada di dalam keadaan kucar-kacir. Apa yang penting, apa yang tidak penting, apa yang betul dan apa yang salah kini semuanya bercelaru. Prinsip mereka berbeza-beza mengikut… tak pasti mengikut apa.
Tapi dalam keadaan mereka kucar-kacir dan kebuntuan, mereka menunjukkan satu sikap konsisten yang mengagumkan. Mereka menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan.
Dan nampaknya, hanya Tun sahaja kompas mereka. Dan diharap kompas ini dapat menunjukkan kepada PH, ada isu yang lebih besar perlu diberi perhatian segera.
– FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2WWwIFo
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment