Ulasan ASUS ROG STRIX Scar II – Adakah Berbaloi Membeli Laptop Dengan Fungsi Raytracing?
Di acara Consumer Electronics Show di Las Vegas pada awal bulan ini, NVIDIA bukan sahaja memperkenalkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060, tetapi juga mengumumkan bahawa akan terdapat komputer-komputer riba gaming yang menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce RTX yang terbaru.
Kami baru-baru ini telah diberi sebuah komputer riba gaming oleh ASUS yang dilengkapi dengan sebuah kad grafik ini yang dinamakan ASUS ROG STRIX Scar II.
Adakah berbaloi untuk anda membeli laptop dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX? Di dalam ulasan ini kita akan melihat sama ada berbaloikah anda membeli komputer riba gaming yang mempunyai kad grafik dengan fungsi Ray Tracing ini?
Spesifikasi
ASUS ROG Strix SCAR II | ||
---|---|---|
Skrin | 17.3 inci Full HD | |
Pemproses | Intel Core i7-8750H | |
RAM | 16 Gigabyte DDR4 | |
Muatan Dalaman | SSD PCIe 500GB | |
Kamera | 5MP | |
USB | USB 3.0 Type=A x4, USB 3.1 Type-C x1 | |
HDMI | Ada | |
Pembaca Kad | Pembaca kad SD | |
Kad Grafik | NVIDIA GeForce RTX 2070 8GB GDDR6 | |
Harga Jualan | RM9299 |
Komputer riba ASUS ROG STRIX Scar II ini hadir dengan spesifikasi yang hampir serupa dengan model tahun lepas, dengan satu atau dua perbezaan yang ketara sahaja.
Laptop ini hadir dengan beberapa model berbeza yang hadir dengan paparan skrin hampir nirbingkai bersaiz 15.6 dan 17.3 inci pada resolusi Full HD 1920×1080 pixel semuanya hadir dengan kadar segar semula 144Hz.
Dari segi spesifikasi dalaman, ASUS ROG STRIX Scar II ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 dari 8GB hingga ke 16GB dan storan SSD PCIe bersaiz 512GB.
Pengguna pula boleh memilih untuk mendapatkan dua buah kad grafik NVIDIA GeForce RTX di dalam laptop mereka. Ini termasuklah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 6GB dan NVIDIA GeForce RTX 2070 8GB yang menggunakan memori DDR6.
Model laptop yang dihantar kepada kami ialah ASUS ROG STRIX Scar II GL704G yang dilengkapi dengan memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070. Dalam pada itu ia turut hadir dengan paparan skrin bersaiz 17.3 inci dengan resolusi Full HD 1920×1080 dan kadar segar semula 144Hz seperti yang kami nyatakan sebelum ini.
Rekaan Dan Ciri-Ciri
Jika anda pernah melihat rekaan laptop ASUS ROG STRIX Scar II sebelum ini, komputer riba ini hadir dengan rekaan yang boleh kami katakan serupa dengan model sebelum ini.
Dari rangka polikarbonat dengan corak gentian karbon dan rangka aluminum industrial di bahagian belakang paparan, satu-satunya benda yang membezakan model Strix SCAR II tahun ini dan tahun lalu ialah pelekat NVIDIA RTX yang boleh dilihat di bahagian tepi bawah komputer riba ini.
Terima kasih kepada teknologi paparan nirbingkai ASUS, komputer riba STRIX Scar II ini hadir dengan paparan yang sangat cantik dan rekaan yang sedikit lebih padat berbanding dengan komputer-komputer riba dengan paparan dengan saiz yang sama.
Dari segi I/O, komputer riba ini turut hadir dengan pilihan palam yang banyak, seperti tiga palam USB 3.0 Type-A, satu palam USB 3.1 Type-C, satu palam HDMI bersaiz penuh, satu palam Mini DisplayPort, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad SD.
Papan kekunci merupakan salah satu daripada bahagian yang penting untuk sebuah komputer riba, dan ASUS memperkenalkan semula teknologi papan kekunci HyperStrike Pro yang memberikan komputer riba Strix SCAR II ini sebuah papan kekunci yang bukan sahaja selesa digunakan, malah mempunyai rekaan yang dibina khusus untuk penggemar permainan FPS seperti Counter Strike, PUBG, Fortnite dan sebagainya.
Komputer riba ini juga dilengkapi dengan sistem nyalaan RGB AuraSync di beberapa bahagian, termasuklah papan kekunci, bahagian bawah laptop dan juga pada logo ROG di belakang paparan.
Dari segi teknologi penyejukan pula, komputer riba ini menggunakan teknologi penyejukan HyperCool Pro yang menyejukkan kedua-dua komponen CPU dan juga kad grafik laptop ini. Di bahagian pengalaman pengguna, saya akan terangkan prestasi sistem penyejukan tersebut.
ASUS menggantikan perisian ROG Game Centre mereka dengan ROG Armory Crate yang hadir dengan rekaan yang lebih bersepadu dan mudah dinavigasi, dan hadir dengan beberapa ciri termasuklah pembaca suhu CPU dan kad grafik, pembaca peratusan penggunaan CPU dan memori,
Pengalaman Pengguna
Perlu saya katakan bahawa dari segi prestasi grafik sahaja, komputer riba ASUS ROG STRIX Scar II ini boleh memainkan semua permainan-permainan komputer yang baru pada resolusi Full HD dan lebih tinggi dari kadar bingkai 60FPS.
Kami mencuba pelbagai permainan komputer baru pada komputer riba ini, seperti Battlefield V, Resident Evil 2 dan juga demo permainan Anthem, dan kesemua permainan-permainan ini nampak sangat cantik dan boleh digerakkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang masalah.
Malah, dengan permainan Battlefield V, saya boleh menggunakan tetapan High pada semua tetapan grafik, dan menggunakan ciri DXR (DirectX Raytracing) dan masih mendapatkan mutu permainan yang sangat bagus pada kadar bingkai sekitar 60FPS tanpa sebarang isu.
Menyejukkan cip pemprosesan Intel Core i7 dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 ini ialah sistem penyejukan HyperCool Pro yang hadir dengan rekaan dwi-kipas baru dengan jumlah bilah kipas yang lebih banyak.
Penggunaan CPU dan GPU pada tetapan yang tinggi sudah pastinya akan menghasilkan haba dengan banyak. Di sini, sistem penyejukan HyperCool Pro memutarkan kipas penyejuk dengan laju dan mengalirkan haba keluar daripada rangka komputer riba Strix SCAR II ini dengan pantas.
Selain daripada memastikan CPU dan kad grafik ini sentiasa berfungsi dengan optimal, sistem penyejukan ini juga bertugas untuk memastikan bahawa bahagian papan kekunci komputer riba ini tidak terkesan oleh haba yang dihasilkan oleh komponen-komponen tersebut.
Pada pendapat saya, sistem penyejukan HyperCool Pro ini menjalankan tugas dengan baik, dengan kebanyakan bahagian papan kekunci hanya terkesan secara sedikit sahaja oleh pancaran haba CPU dan kad grafik.
Walaubagaimanapun, kami harus mengatakan bahawa satu kekurangan yang harus diakui disini ialah bunyi kipas yang dihasilkan adalah cukup kuat sekali, malah, boleh didengari walaupun anda memasang pembesar suara pada tahap bunyi yang tinggi.
Satu isu yang dirisaui oleh ramai orang pastinya mengenai haba yang akan pastinya merebak ke kawasan papan kekunci apabila mereka sedang bermain permainan komputer.
Sewaktu saya menguji laptop ini bahagian atas komputer riba ini memang boleh dikatakan sangat panas. Akan tetapi, bahagian papan kekunci hanya mencapai tahap suam sahaja, dan masih selesa digunakan walaupun anda sedang bermain permainan komputer yang sangat tinggi keperluan grafiknya.
Walaubagaimanapun, untuk saya ini bukanlah isu yang begitu serius, kerana saya lebih rela mampu bermain permainan pada tetapan tinggi dengan kipas yang bising daripada bermain dengan tetapan sederhana dengan kipas yang senyap. Akan tetapi saya akui ini mungkin bukan untuk semua orang.
Paparan hampir nirbingkai besar bersaiz 17.3 inci adalah paparan yang terbaik untuk permainan-permainan komputer ini, dan juga untuk menonton video-video dan siri-siri televisyen di YouTube dan Netflix.
Walaupun ia tidak hadir dengan sokongan NVIDIA GSYNC, jika anda masih mempunyai wang selepas membeli komputer riba ini, anda boleh membeli paparan sekunder yang mempunyai sokongan tersebut, kerana 0palam Mini DisplayPort pada Strix SCAR II ini menyokongnya.
Ujian Penanda Aras
Ujian penanda aras yang dijalankan kali ini hadir dengan satu ujian tambahan, iaitu 3DMark Port Royal yang menguji kebolehan Raytracing sesebuah kad grafik.
3DMark Port Royal
3DMark Time Spy Extreme
3DMark Fire Strike Ultra
3DMark Fire Strike Extreme
PCMark 10
Unigine Superposition
Cinebench
Crystal Disk Mark
Adakah Ray Tracing Berbaloi?
Diantara perkara pertama yang saya fikirkan apabila saya menerima komputer riba ASUS ROG Strix SCAR II ini ialah adakah berbaloi untuk memasukkan sebuah kad grafik yang berkuasa seperti NVIDIA RTX 2070 ini ke ddalam sebuah komputer riba?
Kebanyakan ulasan yang ada saya baca mengatakan bahawa ciri Ray Tracing ini, yang meningkatkan kualiti bayang-bayang dan pantulan cahaya dan objek pada permukaan adalah sebuah ciri yang terlalu baru dan hanya disokong oleh beberapa permainan komputer, dan malah prestasi dari segi grafik dikatakan menurun dengan mendadak apabila menggunakannya.
Saya sempat menguji beberapa permainan komputer terbaru yang baru sahaja keluar di pasaran, dan diantaranya ialah Battlefield V, salah satu permainan komputer yang menyokong teknologi Ray Tracing ini.
Dari segi prestasi, siri ujian yang kami jalankan pada komputer riba yang dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 ini cukup menarik sekali. Pada resolusi Full HD dan tetapan grafik yang tinggi, komputer riba ini mampu menggerakkan permainan tersebut pada kadar bingkai purata setinggi 60-70FPS secara stabil dengan ciri DXR (DirectX Raytracing) dipasang.
Ini bukanlah sesuatu yang saya akan panggil game-changing kerana sepanjang saya bermain Battlefield V, saya biasanya tidak akan melihat benda-benda seperti bayang-bayang ataupun pantulan objek pada permukaan yang berkilat.
Tetapi, apabila saya melihat benda-benda sebegitu, ia membuatkan saya rasa gembira kerana dalam masa beberapa tahun lagi, kita akan dapat melihat teknologi ini berkembang dan boleh digunakan dengan lancar pada kad-kad grafik pada harga yang lebih mampu milik.
Satu lagi ciri yang hadir pada kad grafik NVIDIA RTX ialah Deep Learning Super Sampling (DLSS). Penjelasan asas mengenai ciri ini ialah ia sebuah ciri anti-aliasing yang menggunakan teras Tensor untuk mengolah grafik permainan pada resolusi yang rendah, kemudiannya menambahkan pembaikan grafik, dan seterusnya mengolah semula grafik tersebut pada resolusi asal.
NVIDIA melakukan ini dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatannya dan “memasukkan” maklumat grafik mengenai permainan-permainan komputer, dan kemudiannya mengolah grafik tersebut kepada saiz yang jauh lebih besar daripada apa yang boleh disokong oleh paparan-paparan hari ini.
Maklumat grafik yang diterima ini kemudiannya dihantar melalui kemaskini permainan ataupun kad grafik, dimana pengguna kemudiannya boleh bermain permainan komputer yang menyokong teknologi DLSS tersebut.
Teknologi DLSS ini pada asalnya hadir untuk membolehkan kad-kad grafik NVIDIA RTX ini untuk menggerakkan permainan komputer pada resolusi yang lebih tinggi seperti 1440p dan 4K dengan lebih cekap, tetapi masih mengekalkan kualiti grafik sebanyak yang mungkin.
Sayangnya teknologi DLSS ini pula masih hanya hadir pada permainan komputer Final Fantasy XV. manakala paparan Strix SCAR II ini hanyalah setinggi Full HD. Mungkin jika anda ada wang berlebihan selepas membeli laptop ini, anda boleh juga membeli paparan skrin dengan resolusi 1440p ataupun 4K dan sokongan GSYNC untuk memaksimakan kad grafik RTX 2070 ini dengan sepenuhnya.
Patutkah Saya Membelinya?
Ini adalah soalan yang sedikit sukar untuk dijawab. Jika anda seorang gamer yang mementingkan “future-proofing” untuk peranti-peranti anda, ASUS ROG Strix SCAR II dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2070 ini mungkin sesuai untuk anda, jika anda ingin bermain permainan komputer dengan teknologi Raytracing dan DLSS.
Jika tidak, model dengan kad grafik generasi sebelum ini mungkin lebih sesuai untuk anda, dan anda akan menjimatkan wang anda untuk membeli peranti-peranti gaming lain seperti papan kekunci dan juga tetikus gaming.
Pada resolusi Full HD 1080p, menggunakan komputer riba gaming dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 ataupun GTX 1060 lebih dari memadai walaupun untuk permainan komputer AAA hari ini.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, terdapat juga model dengan paparan bersaiz 15.6 inci yang lebih padat jika paparan 17.3 inci terlalu besar untuk anda. Terdapat juga model ASUS ROG Strix HERO II yang mempunyai spesifikasi sama dengan model ini, tetapi hadir dengan rekaan papan kekunci yang lebih disesuaikan untuk permainan MOBA berbanding dengan FPS.
Penutup
Dari segi prestasi, komputer riba ASUS ROG Strix SCAR II ini mampu menggerakkan semua permainan-permainan komputer moden pada kadar semula yang cukup tinggi, dan jika anda mempunyai paparan skrin dengan resolusi 4K, anda juga boleh menyambungnya ke palam HDMI atau mini DisplayPort dan gunakannya dengan sokongan G-SYNC.
Pada pendapat saya, walaupun laptop ini, dan laptop-laptop dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX ini cukup berkuasa sekali, ia adalah cukup sukar untuk disyorkan kerana jumlah permainan komputer yang menyokong fungsi-fungsi Raytracing dan DLSS boleh dibilang dengan satu tangan sahaja.
2019 bakal melihat lebih banyak permainan komputer yang akan menyokong teknologi-teknologi ini. Akan tetapi, kebarangkalian ciri-ciri tersebut akan meningkatkan mutu permainan anda adalah sangat tipis kerana bayang-bayang dan pantulan cahaya melalui Raytracing jarang diambil perhatian, manakala sokongan DLSS akan lebih berbaloi hanya untuk mereka yang mempunyai paparan 1440p ataupun 4K.
Pro Dan Kelebihan
- Prestasi yang sangat berkuasa
- Sokongan Raytracing dan DLSS
- Sokongan untuk paparan sekunder 4K dan GSYNC
- Papan kekunci yang selesa
- Palam I/O mencukupi
- Paparan hampir nirbingkai
Kontra Dan Kekurangan
- Tanda harga yang mahal
- Panas apabila bermain permainan komputer
- Bunyi kipas penyejuk yang bising
- Tidak banyak permainan komputer yang menyokong Raytracing dan DLSS buat masa ini
- Resolusi paparan masih pada tahap Full HD sahaja
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://bit.ly/2UU7Ps1
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment