Limpahan air kumbahan hantui penduduk setiap hari
KLANG: Jijik dan meloyakan! Itulah keadaan yang terpaksa dilalui penghuni kira-kira 6,000 kediaman di Bandar Ambang Botanik setiap hari sejak lapan tahun lalu gara-gara limpahan air dan sisa kumbahan di dalam serta luar rumah mereka.
Difahamkan, bau busuk daripada limpahan air dan sisa kumbahan yang menghantui penduduk setempat itu bertambah serius sejak kebelakangan ini.
Lebih membimbangkan apabila hujan lebat air limpahan bersama najis akan memasuki perkarangan rumah penduduk.
Seorang penduduk, Dr Ko Chung Beng, 30, berkata sisa kumbahan juga melimpah daripada lubang tandas rumahnya sehingga membanjiri lantai bilik air.
Katanya, keadaan bertambah buruk ketika hujan lebat kerana beliau sekeluarga tidak boleh tidur lena disebabkan terpaksa menghidu bau busuk selain khuatir air limpahan dan najis memasuki ruang tamu dan dapur.
“Saya telah tinggal di sini selama tiga tahun dan sejak kebelakangan ini apa yang lagi teruk adalah saya tidak dapat menggunakan tandas saya sepenuhnya. Ini kerana jika saya guna, air kumbahan akan keluar daripada lubang tandas.
“Lebih teruk air kumbahan itu telah melimpah sehingga ke dapur saya dan keadaan rumah saya berbau sangat busuk dan ini tidak baik untuk kesihatan penduduk.
“Keadaan ini sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila mengadakan rumah terbuka kerana rakan-rakan yang datang ke rumah tidak selesa dengan bau busuk dalam rumah akibat limpahan air kumbahan itu,” katanya kepada FMT selepas sesi perbincangan penduduk setempat berhubung Projek Menaik Taraf Sistem Kumbahan pada malam Selasa.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Caroline Chin, 28, turut kecewa dengan keadaaan rumahnya semakin teruk akibat limpahan air kumbahan dan sikap sambil lewa pemaju yang dilihat tidak mengendahkan masalah dihadapi penduduk yang terpaksa berdepan keadaan yang menjijikkan setiap hari.
“Akibat limpahan air kumbahan ini, saya tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti orang lain. Ini kerana saya tidak dapat gunakan air di dalam rumah terutama di dapur dan saya juga tidak dapat membasuh pakaian saya akibat air kumbahan yang melimpah di kawasan dapur. Ini sangat teruk,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Bandar Ambang Botanik, Caleb Khoo berharap pertemuan antara SPAN, pemaju dan penduduk setempat yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini akan membuahkan hasil.
Menurutnya, SPAN sebelum ini telah melantik konsultan untuk menjalankan kajian mengenai masalah dan penyelesaian bagi masalah penduduk itu.
Ekoran itu, konsultan terbabit tampil dengan dua cadangan, iaitu membaiki sistem vakum sedia ada dan kedua menggantikan sistem vakum itu kepada sistem septik konvensional.
“Daripada dua pilihan itu, konsultan mengesyorkan pilihan pertama iaitu memperbaiki sistem vakum sedia ada, disebabkan kos lebih murah dan cara lebih cepat,” katanya yang berharap cadangan itu dapat dilaksanakan segera.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1WoGNHB
Post a Comment