Wujud elemen sabotaj dalam pelaksanaan myIMMS – Zahid
IPOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya percaya wujud perbuatan sabotaj dalam pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) oleh Jabatan Imigresen.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata beberapa nama dikenal pasti dan akan diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi serta PDRM.
“Tetapi jangan ingat tindakan itu dinoktahkan (selepas pengumuman nama), sebaliknya pemantauan sedang dilakukan sebab asasnya adalah jangan berlaku penyalahgunaan kuasa dan rasuah serta melakukan sabotaj terhadap sistem sedia ada.
“Saya mempunyai pendirian daripada dulu hingga sekarang, jika ada permasalahan yang dilakukan orang dalaman serendah dan setinggi mana pun (pangkat), tidak akan pernah terlepas daripada tindakan perundangan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Membincangkan Program-Program Pembangunan Daerah Kuala Kangsar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.
Zahid mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 pada 18 Mei lalu yang menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas.
Menurut laporan itu, kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta dibekalkan dan dibayar, tetapi tidak dipasang dan diguna pakai di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan juga rakyat Malaysia.
Zahid berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat secara menyeluruh teguran itu termasuk membuat audit pengurusan dan audit forensik.
“Jika sistem salah, maka pembekal akan diambil tindakan tetapi jika ada kesilapan manusia, maka tindakan ‘menyemak semula’ untuk sebarang pendekatan operasi akan dilakukan,” katanya.
— BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1WLsOLz
Post a Comment