BN tidak lupa Cina dan India di Sungai Besar – Zahid
SUNGAI BESAR: Pengundi Cina dan India di Sungai Besar disarankan melihat prestasi BN menggunakan fakta dan bukannya mengikut emosi sewaktu mengundi.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berjanji akan mengambil kira kepentingan semua bangsa dan bukannya kepada satu bangsa saja.
“Kita akan ambil kira pengundi Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita rasakan kerana BN parti untuk semua apa yang dicatatkan dalam rekod selama ini perlihatkan keadilan yang diterjemah BN.
“Kita harap pengundi Sungai Besar dapat lihat ini. Bukan dengan emosi tapi dengan kenyataan daripada rekod cemerlang yang ditunjukkan wakil rakyat terutamanya ahli Parlimen BN,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada masa sama, timbalan perdana menteri memuji sikap penyokong parti yang bertanding kerana suasana harmoni dapat dikekalkan sehingga majlis penamaan calon selesai.
“Era kematangan politik sudah bermula. Saya harap di Kuala Kangsar juga begitu. Buat pertama kali kita lihat ketenangan berlaku di antara ketiga-tiga parti. Yang pasti, calon juga berada dalam keadaan sama.
“Apa yang berlaku tadi kepimpinan ketiga-tiga parti dapat bertemu dengan baik. Bukan hanya sekadar berbicara soal politik tetapi kita makan bersama,” katanya.
Selain itu, Zahid menyatakan BN tidak akan masuk campur mengenai masalah dalaman yang berlaku antara PH dan PAS.
“Masalah timbul adalah di kalangan mereka. Jadi kita tidak mahu campur masalah mereka. Kita jaga rakyat. Kita tak nak layan perbezaan begitu. Harap rakyat bagi kepercayaan pada BN,” katanya.
tags: bahasa, sungai besar, Ahmad Zahid Hamidi,
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/28ctQ7n
Post a Comment