Hi! Welcome Back and Stay Tune! Empat penjuru di Kuala Kangsar, termasuk calon Bebas - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Empat penjuru di Kuala Kangsar, termasuk calon Bebas

Dari kiri: Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah), Mohamad Kamil Shafie yang mewakili Mastura Mohd Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas). ― Foto BernamaKUALA KANGSAR, 5 Jun — Pilihan raya kecil (PRK) kawasan parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas.

Mereka ialah Datin Mastura Mohd Yazid daripada BN, ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, naib ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar profesor Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Nama empat calon itu diumumkan oleh pegawai pengurus PRK parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria.

Beliau berkata sebanyak empat kertas pencalonan diterima semasa proses penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi ini di Dewan Jubli Perak di sini.

“Saya  telah menyemak dan (selepas) selesai disemak, saya berpuas hati, tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya ketika mengumumkan senarai calon PRK itu pada kira-kira 11 pagi.

PRK parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Mastura, 55, yang masih dalam edah selama empat bulan 10 hari selepas kematian suaminya Wan Mohammad Khair-il Anuar tidak dapat hadir sendiri ke pusat penamaan calon.

Sebaliknya, beliau diwakili timbalan yang dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin bagi menyerahkan borang pencalonan tepat pada 9.01 pagi.

Pencadang bagi pencalonan Mastura ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong Mohd Kamil Shafie dan Adun Bukit Chandan Maslin Sham Razman selaku penyokongnya.

Keempat-empat anak Mastura iaitu Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar turut hadir di pusat penamaan calon dengan diiringi beberapa pemimpin tertinggi Umno dan BN termasuk naib presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Sementara itu, Dr Najihatussalehah, 50, tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perak kemudian menyerahkan borang pencalonan tepat pada 9.05 pagi bersama-sama pencadang Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan penyokong Rahimah Musa.

Calon Amanah pula menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai SPR tepat pukul 9.10 bersama-sama pencadang Ahmad Zubairi Yaacob dan penyokong Yahya Ariff Kamaruzzaman.

Terdahulu, ketibaan Dr Ahmad Termizi, 62, ke pusat penamaan calon diiringi beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

Izat Bukhary, 49, yang bertanding atas tiket Bebas pula menyerahkan borang pencalonan pada 9.10 pagi.

Pencalonan beliau yang menggunakan lambang pen dicadangkan oleh Mohd Khairul Izwan Mohd Ri dan disokong oleh Ahmad Hafizi Ahmed Idris.

Sebelum itu, seorang ahli perniagaan dan juga peguam Datuk Abu Backer Sidek hadir ke pusat penamaan untuk bertanding sebagai calon Bebas, namun menarik diri kerana mendakwa tidak berpuas hari dengan sistem SPR.

Susulan pengumuman senarai calon itu, kempen PRK Kuala Kangsar secara rasmi bermula hari ini sehingga tengah malam 17 Jun berikutan pengundian ditetapkan pada 18 Jun.

Pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun di Dewan Tun Salleh Ismael, kompleks perumahan polis di ibu pejabat polis daerah Kuala Kangsar bagi pengundi dari Bukit Chandan, manakala bagi pengundi Manong di bilik mesyuarat balai polis Manong.

Sebanyak 25 pusat daerah mengundi telah disediakan dengan 71 saluran iaitu di 19 buah sekolah rendah dan menengah, dua dewan orang ramai, dua sekolah agama rakyat dan dua ibu pejabat polis daerah.

Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pengundi berdaftar terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330). — Bernama



from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1t9xQWu

via Mukah Pages

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.