Gempa bumi lemah, batal hasrat daki Gunung Kinabalu
KOTA KINABALU: Susulan kejadian gempa bumi lemah berukuran 2.3 pada skala Richter di Ranau pada 5.18 pagi tadi, ada beberapa kumpulan pendaki membatalkan hasrat meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu atas faktor keselamatan.
Seorang malim gunung Wilson Latius berkata beliau difahamkan beberapa kumpulan pendaki yang sepatutnya melakukan aktiviti Via Ferrata memilih untuk membatalkan aktiviti tersebut.
“Saya merasai gegaran susulan pagi tadi kerana ketika itu saya berada di Laban Rata. Rakan malim gunung dan para pendaki yang berada di puncak Gunung Kinabalu juga merasainya dan segera turun dari puncak,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pusat gempa itu terletak di 6.0 darjah utara dan 116.6 darjah timur, 11km barat dari Ranau dan gegaran dirasai di kawasan itu.
Wilson berkata gegaran susulan seumpama itu merupakan keadaan yang sudah biasa dialami selepas kejadian gempa bumi pada 5 Jun tahun lalu.
“Sejak peristiwa itu, gegaran susulan sering berlaku. Semalam, kira-kira 11.40 malam, saya turut menyedari ada gegaran kecil tetapi tidak sekuat pagi tadi,” katanya, yang berpengalaman sebagai malim gunung selama lima tahun.
Menyedari ia akan berlaku dalam tempoh panjang, Wilson berkata beliau termasuk rakan malim gunung yang lain akan sentiasa mengingatkan para pendaki supaya sentiasa tenang dan tidak panik jika ada gegaran susulan berlaku ketika sedang melakukan pendakian.
Pandangan sama turut diberikan seorang lagi malim gunung Junaydie Sihan yang berkata perasaan panik hanya akan memudaratkan diri memandangkan risiko mendapat kecederaan adalah lebih tinggi.
“Setiap kali memulakan pendakian yang bermula di Timpohon Gate, saya sentiasa mengingatkan diri saya dan para pendaki supaya tidak panik dan perlu bertenang jika ada berlaku gegaran,” katanya.
Mengenai gegaran susulan pagi tadi, Junaydie berkata dia berada di rumah bersama keluarga dan sedang bersiap untuk melakukan pendakian ke Gunung Kinabalu pada hari ini.
— BERNAMA
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1rhNPjp
Post a Comment