Pekin sokong terajang cermin kereta di lorong kecemasan (VIDEO)
KUALA LUMPUR, 11 Jun — Pelakon dan pengarah filem Pekin Ibrahim menyokong kempen terajang cermin sisi kereta seperti yang hangat diperkatakan di media sosial.
Pekin, nama popular Mohd Iznan Ibrahim, berkata kempen itu hanyalah coretan di laman sosial dan bukan semua penunggang motosikal tergamak untuk berbuat demikian.
“Cara itu kasar tetapi ia bagus untuk kesedaran kepada orang ramai.
“Pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan bukan saja membahayakan nyawa penunggang motosikal tetapi menyusahkan pengguna yang lain jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Hangat diperkatakan di media sosial “kempen terajang cermin sisi kereta” selepas tersebar video beberapa penunggang motosikal menerajang cermin sisi kereta yang menggunakan lorong kecemasan.
Isu salah guna lorong kecemasan diperkatakan selepas berlaku kemalangan yang mengorbankan penunggang dan pembonceng motosikal hujung bulan lalu.
Kemalangan di Kilometer 228, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Simpang Ampat, Melaka mengakibatkan dua beradik maut ekoran ambulans lewat tiba ke tempat kejadian akibat lorong kecemasan sesak dengan kereta.
Semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tidak akan berkompromi dan sedia mengheret pemandu yang menggunakan lorong kecemasan ke mahkamah serta-merta.
Ketua pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata mereka akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Kaedah 9 dan 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Peraturan itu memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.
Di Facebook, muncul laman khas “kempen terajang cermin sisi”, yang baru dikuti 13 orang sejak 24 Mei lalu, yang melontarkan kecaman terhadap pemandu yang menyalah guna lorong tersebut.
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1tiSfYF
Post a Comment