Lima trend kecantikan badan yang menjadi kegilaan dunia (VIDEO)
MELBOURNE, 11 Jun — Perubatan kosmetik, kini mencecah berbilion-bilion dolar, berkembang pesat sejak tiga dekad lalu.
Kegagalan pembedahan implan payudara, meratakan perut, mencantikkan muka dan mengecilkan kelopak mata yang sering didengar dulu tidak lagi menghantui ramai.
Lagi pun, kini beberapa negara menawarkan khidmat pembedahan plastik yang lebih murah.
Negara-negara baru yang sedang dikenali dengan industri ini termasuklah Emiriah Arab Bersatu, Thailand, Korea Selatan, Mauritius, India dan juga Iran.
Berikut beberapa pembedahan kosmetik yang mengejutkan kita, menurut portal berita yang bersumberkan komuniti ahli akademik Conversation, yang berpejabat di sini:
1 India: Memanjangkan kaki
Dengan harapan peluang lebih cerah dalam kerjaya dan perkahwinan, pembedahan untuk memanjangkan kaki, sehingga tiga inci, semakin meningkat di India.
Walau teknik ini masih baru, menyakitkan dan tanpa pengawasan profesional, ia tetap menjadi pilihan di negara ini agar seseorang nampak lebih tinggi.
Teknik ini memotong tulang kaki dan memasukkan tulang tambahan di celah potong tersebut mengambil masa rawatan selama beberapa minggu.
2 Iran: Hidung lebih mancung dan tirus
Pembedahan mencantikkan hidung semakin popular dan bergaya di negara ini sehingga berada dalam permintaan yang tertinggi di dunia.
Selain itu, menyedut lemak dan memasang bulu kening palsu menggunakan teknik tatu juga kian popular.
Walau negara ini dianggap konservatif dan berpegang kuat pada agama, Persatuan Pakar Bedah Plastik dan Kosmetik Iran menyatakan 40,000 prosedur diadakan setiap tahun. Jumlah ini tidak termasuk prosedur yang tidak didaftarkan.
Lebih 60 pembedahan kosmetik ini bertujuan mengindahkan batang hidung, termasuk di kalangan lelaki.
Tanda balutan di hidung, digelar “bandages of honor”, menjadi fenomena di Tehran bagi menggambarkan seseorang telah menjalani rawatan tersebut.
3 Negara-negara Barat: Mengindahkan alat sulit
Pembedahan ini selalunya untuk membentuk kemaluan yang dihajati, dengan membuang kulit yang berlebihan di tepi alat kelamin.
Namun kini pembedahan rawatan ini melibatkan benjolan yang dianggap terlalu ketara di bahagian ari-ari wanita akibat proses penuaan, kegemukan atau selepas bersalin.
Akibatnya, sesetengah wanita berasa tidak yakin terutamanya ketika memakai pakaian renang. Namun ia boleh dirawat sama ada dengan cara menyedut lemak atau memotong kulit.
4 Korea Selatan: Menukar raut muka secara radikal
Industri pembedahan kosmetik di Korea Selatan betul-betul pesat, menjadi tarikan di dalam dan luar negara. Pembedahannya murah dan cekap, dengan kemudahan yang sangat bagus.
Negara ini mempunyai penduduk yang paling ramai, per kapita, menjalani pembedahan plastik di dunia sehingga ia dilabel pusat pembedahan plastik dunia.
Pembedahan mencantikkan raut muka termasuklah membentuk bujur sirih dengan dagu seakan-akan bentuk V, hidung lebih tirus dan mengurangkan kesan mata sepet.
5 Brazil: Punggung, perut dan payudara
Brazil muncul sebagai negara kedua terbesar di dunia yang menjalankan rawatan badan secara kosmetik, termasuk prosedur yang tidak melibatkan pembedahan kecantikan pada 2014.
Majoriti pelanggan yang menerima rawatan mahu “menambah baik” saiz payudara, perut dan punggung.
Menurut data Persatuan Pembedahan Kecantikan Plastik Antarabangsa (ISAPS), Amerika Syarikat menjalankan 4,064,571 prosedur (20.1 peratus), diikuti Brazil (2,058,505 atau 10.2 peratus), Jepun (1,260,351 atau 6.2 peratus), Korea Selatan (980,313 atau 4.8 peratus) dan Mexico (706,072 atau 3.5 peratus).
Brazil juga mendahului idea dan perkembangan pembedahan kecantikan dunia, bermula jenis-jenis baharu implan payudara hingga kepada membuang lebihan daging di bahagian perut.
Ia terkenal dengan teknik “mengentalkan punggung”, termasuk latihan menegangkan otot-otot di bahagian tersebut, selain menanam implan dan memindahkan lemak.
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1XNdwHr
Post a Comment