Hi! Welcome Back and Stay Tune! Kempen PRK lenyapkan berkat Ramadan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Kempen PRK lenyapkan berkat Ramadan

pilhan raya Kuala Kangsar

Pesanlah banyak mana pun, tidak akan ada yang dengar. Alahai, ibarat mencurah air ke daun keladi. Nasihat macam mana sekalipun, maki hamun tetap ada. Balas membalas kata penuh amarah dan cacian terus bersulam. Lebih menyedihkan kata-kata fitnah terus dilempar.

Begitulah suasana kempen dalam PRK berkembar yang masih berbaki empat hari lagi. Baik di Sungai Besar atau Kuala Kangsar, bahan kempennya lebih kurang sama saja. Dia kata dia, dia balas dia. Dia kata dia rasis, dia balas dia tu pun rasis juga.

Jenuh sudah ramai yang nasihat. Jaga mulut, jaga adab, jaga bahasa. Kempen baik-baik terutama sekali pada bulan Ramadan yang mulia ini, tetapi semuanya tidak ada telinga, tak dengar. Paling menyentuh perasaan, semua yang bertanding adalah orang Islam yang sewajibnya memahami tuntutan bulan Ramadan.

Sama ada Islam atau bukan Islam, sama galak mereka saling mengata sedangkan sebagai orang Islam, mereka seharusnya menunjukkan teladan dan panduan hidup sebenarnya kepada bukan Islam. Namun yang berlaku dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar sejak awal Ramadan lalu, semuanya sama daripada peringkat pemimpin paling atas hingga ke terbawah.

Bukan hendak kata pada PRK kali ini saja, sebenarnya setiap kali pilihan raya memang beginilah hingarnya. Mungkin sudah tidak boleh diubah lagi, ia tradisi orang kita berkempen. Bak kata orang, ia penyakit tanpa penawar.

Tahun ini lebih hebat lagi apabila caciannya jadi lebih jelas, tidak ‘cover-cover’ dengan ada pihak yang tergamak menempah billboard besar terpampang grafik menghina dengan bait-bait kata mencerca, menyentuh unsur paling sensitif – tentang kaum dan agama. Lebih hina lagi ialah mereka memasangnya tanpa rasa bersalah.

Alasan yang diberi, sebab orang yang itu mula dulu. Dia yang kata kami dulu, jadi sekarang kami balas pula. Sungguh kebudak-budakan. Seperti mana aksi dalam Dewan Rakyat yang sering bergaduh atas sebab bodoh, bukannya membawa suara rakyat ke Dewan yang mulia itu dan itulah sikap dipamerkan sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Kali ini, tidak juga berubah walaupun diadakan pada bulan Ramadan. Mengapa agaknya orang kita atau lebih tepat lagi pemimpin kita tidak boleh berkempen dengan tatasusila yang profesional penuh adab kesopanan. Sampai bila hendak menggunakan pendekatan berkempen seperti orang tidak ada pendidikan dan hingga bila agaknya anda, calon dan wakil rakyat mahu gunakan kelemahan dan perbezaan yang ada pada orang lain sebagai modal kempen?

Kempennya dua minggu tetapi tidak ada yang benar-benar ikhlas memperjuangkan kehendak dan keperluan rakyat. Dua, tiga, empat ekor gergasi politik ‘bergaduh’ ‘bertumbuk-tumbuk’, rakyat jelata yang jadi mangsa. Ironinya, rakyat jelata inilah sebenarnya tuan mereka. Di jari dan di hati rakyat inilah, undi yang amat berharga itu letaknya.

Kadangkala pihak-pihak yang bertanding ini macam syok sendiri. Bukannya hendak pertahankan rakyat tetapi lebih kepada melindungi perkara asas mereka iaitu kepentingan.

Lebih tragik dalam PRK kali ini, calon bertanding mungkin tidak segalak parti kerana nampaknya parti yang terlebih ke depan. Lebih sudu daripada kuah.

Pusing mana pun, rakyat tetap kalah kerana terpaksa memilih dengan senarai pilihan yang sangat terhad.

Rakyat terpaksa reda kerana mereka tahu hanya pada musim pilihan raya, semua permintaan mereka dilayan. Sama ada ia akan dilaksanakan mengikut janji ditaburkan atau tidak, itu belum pasti lagi. Tapi sekurang-kurangnya inilah masanya ada orang besar sanggup jejak kaki masuk kampung mereka. Kalau hari-hari biasa, rasanya telefon ke pejabat pun tak pernah diangkat.

Masa seperti inilah, jutaan ringgit kedengaran seperti nilainya ratusan ringgi saja kerana terlalu mudah dan murah hati orang yang memberi kononnya demi penambahbaikan sana sini di kawasan mengundi. Kadangkala mungkin jijik mereka melihat orang yang datang berkempen, berbekalkan air muka ‘fake’, pura-pura simpati dengan nasib malang rakyat.

Tetapi, apa boleh buat, hidup perlu diteruskan. Dan kuasa ada di tangan mereka yang datang berkempen untuk beri apa yang rakyat perlukan. Simbiosis antara pemimpin dan rakyat memang tidak pernah adil. Hidup juga tidak adil. Yang adil hanya Tuhan.

Sebenarnya, siapa pun wakil yang dipilih untuk menjadi kerajaan mentadbir tempat mereka, nasib tidak akan berubah untuk rakyat. Siapa pun juga di tampuk kuasa, dia yang memegang dana dan terpulang kepada fitrah dan budi bicaranya untuk membantu si marhaen di bawah jajahannya.

Kepada pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar, semoga Tuhan menghantar wakil rakyat yang terbaik untuk anda. Tanya hati dan pilihlah dengan adil serta bertanggungjawab.

 





Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1UMUlcj

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.