Termizi nafi bermusuh dengan adiknya
KUALA KANGSAR: Calon AMANAH, Dr Ahmad Termizi Ramli menafikan dakwaan beliau mempunyai masalah dengan adiknya Dzorif Ramli yang juga ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar.
Termizi berkata walaupun berbeza pandangan politik, namun keluarganya sentiasa mengamalkan politik sihat.
“Kita tidak ada masalah. Sebab kita memang sudah tahu dari awal lagi. Ini kerana kita sudah sedia maklum daripada kami 12 adik beradik semua oren (AMANAH) kecuali dia (Dzorif Ramli).
“Dzorif juga ada anak dan saya layan anak dia sama saja. Tidak kerana ayah dia PAS, kita bermusuh. Tidak. Kami sekeluarga mengamalkan politik sihat dalam hubungan kekeluargaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AMANAH Kuala Kangsar.
Beliau berkata demikian susulan sebelum ini terdapat laporan mengatakan PAS Perak menggunakan adik bongsu Termizi untuk berkempen menentang calon AMANAH itu.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mendedahkan Dzorif berkempen menentang Termizi dalam PRK Parlimen tersebut.
“Dr Ahmad Termizi anak sulung, tetapi adik bongsunya, ustaz Dzorif Ramli, adalah ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar,” katanya.
Sementara itu, Termizi turut mengemukakan lima agendanya untuk rakyat Kuala Kangsar.
“Agenda itu adalah memastikan pelaksanaan janji oleh kerajaan seperti pembinaan jambatan Manong, menaiktarafkan hospital dan peningkatan kemudahan awam sesuai dengan status Bandar Diraja.
“Memastikan berlakunya penambahan peluang pekerjaan melalui pengembangan industri asas tani, industri persisiran sungai dan industri pelancongan.
“Mendesak kerajaan membina laluan keluar tol untuk memberi kemudahan kepada penduduk sekitar Manong serta merancakkan pembangunan dan industri setempat,” katanya.
Termizi berkata dua lagi agenda yang ingin dibawanya jika menang di PRK Kuala Kangsar ialah menuntut agar diwujudkan pusat latihan kemahiran.
“Kita juga akan menyuarakan penentangan terhadap semua tindakan kerajaan yang merugikan negara dan memudaratkan rakyat seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/25Zf6Xx
Post a Comment