PRK: Antara puasa dan kuasa
Bebrapa hari yang lalu, dalam laporan agensi berita nasional, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah ditanya mengenai PRK yang akan dijalankan pada bulan Ramadan.
Beliau menjawab ia bukan kali pertama pilihan raya diadakan ketika umat Islam berpuasa malah sudah beberapa kali dalam sejarah PRK diadakan pada bulan puasa dan yang terbaharu di Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013).
Dalam laporan yang sama ada disebut supaya bulan puasa dihormati dengan harapan agar perbuatan keji mengeji, kata mengata dikurangkan.
Tetapi sejauh mana kempen-kempen yang dijalankan sempena PRK kali ini menghormati bulan puasa?
Pada hemah saya, kuasa lebih dominan daripada menghormati bulan puasa apabila persaingan kali ini bukan sekadar pilihan raya kecil yang biasa.
Penglibatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen yang menyebelahi pembangkang, perbalahan antara PAS dan DAP, persengketaan PAS dan parti serpihannya Amanah yang mahu menunjukkan taringnya serta serangan yang dilakukan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan calon pilihan raya itu sendiri, khususnya Datin Mastura Mohd Yazid, semuanya menyingkap pelbagai perasaan negatif antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, selain penglibatan secara langsung ahli politik dan parti, kita juga melihat bagaimana pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan badan politik pula yang tampil fitnah-memfitnah antara satu sama lain demi manfaat peribadi dan politik.
Apabila bercakap mengenainya, teringatkan kepada NGO yang mengeluarkan risalah mengenai Najib dan sejarah hidupnya. Bukan sahaja menyerang Perdana Menteri, malah mereka turut mengecam isteri beliau!
Setiap isu dan tindak-tanduk sepanjang kempen cuba dijadikan bahan kecaman.
Tak tahulah betapa meriah juadah berbuka puasa mereka, tetapi juadah kecam-mengecam, mengata dan memfitnah agak ‘berselera’ juga sepanjang pilihan raya kali ini.
Guna jet kena serang, guna kapal terbang yang di’sponsor’ juga dipersoal, dan persoalan yang dilemparkan tiada bezanya pada bulan mulia ini.
Saya juga sensitif apabila ada pihak yang memperkecilkan kemampuan seorang wanita bertanding dalam pilihan raya. PRK kali ini menjadi medan perang sehingga mereka sanggup mengeluarkan kata-kata yang dianggap tidak adil bagi wanita.
“Lelaki perlu menjadi pemimpin, bukan wanita. Kalau memimpin keluarga pun tidak mampu, bagaimana mereka hendak memimpin sesuatu yang lebih besar?” persoalan seperti ini bukan sahaja tidak menghormati wanita tetapi keadapan bulan Ramadan sekali gus.
Walaupun diminta mengelakkan perkara yang boleh kurangkan pahala puasa dan berkempen dengan cara berhemah tanpa melakukan fitnah yang boleh mencemarkan ibadat puasa, nampaknya nasihat itu langsung tidak diendah.
Demi kuasa, mereka sanggup berbuat apa sahaja!
Mujur menjelang malam ini semua drama tuduh fitnah serta serangan tidak bertamadun akan berakhir.
Tidak kira siapa yang kembali berkuasa, parti mana yang akan duduk di kerusi Parlimen, moga semua cercaan diberi titik noktah sekurang-kurangnya demi menghormati bulan ini.
Cukuplah.. mari kita ketepikan perbezaan dan raikan Hari Raya Aidilfitri dengan semangat perpaduan. Kalau tak puas hati juga, tunggulah pilihan raya utama nanti.
Mujur juga kemunculan burung unta, Chickaboo sedikit sebanyak meleraikan kita daripada berita berkisar politik yang sangat menekankan dan serius.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1W3iWfB
Post a Comment