‘Ratu Naga’ hubungi kumpulan Azharuddin, dakwa Chegubard
KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin mendakwa ‘Ratu Naga’ menghubungi kumpulan Azharuddin Othman selepas Akuan Bersumpah (SD) Azharuddin dilaporkan media.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard turut menampilkan dua tangkap layar yang didakwa sebagai perbualan aplikasi Telegram antara Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dengan seorang pemuda bernama ‘Zaxx’.
Menerusi perbualan bertarikh 26 Mei, ‘Ratu Naga2′ bertanya kepada seorang individu bernama ‘Zaxx’ berhubung siapakah ‘Azahar’, dipercayai Azharuddin Othman.
Dalam perbualan bertarikh 27 Mei pula, Individu bernama ‘Zaxx’ itu menjawab kepada ‘Ratu Naga’ dengan berkata Azharuddin adalah ‘budaknya’, selain memohon maaf kerana gagal mengawal kemarahan Azharuddin akibat tidak menerima bayaran mengikut jumlah yang dijanjikan.
“Jelas Ema menipu kerana selepas akuan bersumpah (Azharuddin) didedahkan, Ema panik dan terus berhubung dengan kumpulan Azharuddin.
“Soalnya bukan dia kenal atau tidak Azharudin tetapi benar atau tidak kejadian ‘pembelian’ senarai nama itu berlaku,” kata ahli PKR yang digantung keahliannya itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa polis menyiasat senarai penandatangan yang terdapat dalam Deklarasi Rakyat kerana mendakwanya cuba menipu Yang di-Pertuan Agong.
“Polis perlu dapatkan senarai nama daripada Azharuddin dan bandingkan dengan senarai nama dalam Deklarasi Rakyat (jika terdapat nama yang bertindih),” katanya.
SAMM semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan tanda tangan dalam Deklarasi Rakyat.
Syarul Ema ketika dihubungi menafikan dirinya adalah ‘Ratu Naga2′ seperti yang terdapat dalam perbualan bertarikh 26 Mei itu.
“Bagi perbualan kedua (bertarikh 27 Mei), ada ‘mangkuk hayun’ telegram saya. Saya tak faham apa dia cakap jadi malas nak layan.
“Saya terpinga-pinga, sebab itu saya tanya kenapa saya perlu maki dia. Kalau anda terima mesej itu pun, anda terpinga-pinga,” katanya kepada FMT.
Beliau juga berkata sudah biasa dengan serangan seperti itu, hanya kerana beliau tidak menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Kepada Chegubard, teruskanlah usaha anda selagi boleh. Tetapi janganlah teruja sangat,” katanya.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/22EndqF
Post a Comment