Satu dalam sejuta: Muhammad Ali yang saya kenal
PETALING JAYA: Muhammad Ali, lincah langkahnya sepantas asakan tumbukannya, memang menjadi impian wartawan sukan untuk menemuinya, kata bekas pengarang meja sukan NST, Tony Francis yang membuat liputan berita ketika bekas juara tinju dunia itu berada di Kuala Lumpur pada 1975.
Bercakap kepada FMT, Tony berkata semua wartawan sukan akan pergi menyaksikan Ali berlatih di trek litar lumba di Jalan Ampang (kini KLCC) ketika dia dalam persediaan mempertahankan kejuaraannya menentang Joe Bugner.
Tony berkata Ali akan memulakan latihannya sebelum subuh, setiap hari hampir sebulan lamanya sebelum tiba pertarungan hebat itu.
Pada 30 Jun 1975, perlawanan merebut Tali Pinggang Tinju Heavyweight Sedunia (World Heavyweight) diadakan di antara dua legenda tinju antarabangsa iaitu Ali dan Joe Bugner.
Pertarungan bersejarah di Stadium Merdeka itu disaksikan kira-kira 22,000 penonton secara langsung di seluruh tanah air (menerusi RTM) dan 59 negara lain.
Selepas perlawanan bersejarah ini, Ali buat kali pertama menyatakan hasratnya untuk bersara.
“Dia sangat profesional, anda boleh lihat daripada cara dia berlatih. Dia selalu beri 100%, Ali tahu untuk kekal juara, dia kena selalu dalam keadaan terbaik dan berada satu langkah ke hadapan berbanding yang lain,” kata Tony.
Bukan hanya sekadar peninju, Tony berkata Ali, yang menggelar dirinya “Terhebat Sepanjang Zaman” itu seorang yang kelakar.
Ada satu ketika, Ali ditanya seorang wartawan Amerika adakah dia akan berlawan di China. Pada masa itu, tindakan itu nampak hebat kerana China masih belum membuka pintunya kepada dunia.
“Ali tanya wartawan mana dia dapat idea itu, dan wartawan berkenaan kata ia dilaporkan di Malay Mail oleh wartawan Malaysia Francis Emmanuel. Ali kata ‘Jika Francis Emmanuel cakap saya akan ke China, maka saya akan ke China’,” kata Tony.
Bukan hanya memori indah mengenai legenda tinju itu yang Tony kenang sehingga kini kerana dia mempunyai sepasang sarung tangan tinju milik Ali – hadiah paling berharga dimilikinya sepanjang menjadi wartawan sukan.
“Ali sangat istimewa. Dia memang seorang yang paling hebat, sebagai ahli sukan dan penghibur. Tidak ada peninju yang sehingga kini layak disamakan dengan Ali.
“Ali benar-benar terhebat. Saya tidak percaya ada orang lain yang boleh jadi sehebat dia,” katanya.
Ali meninggal dunia semalam selepas 32 tahun bertarung dengan penyakit Parkinson, dikatakan ada kaitan dengan ribuan tumbukan diterimanya sepanjang kerjayanya. Sejak itu, beliau mengehadkan acara dan berucap di hadapan umum selama bertahun-tahun.
Ali dikenali di seluruh dunia bukan saja kerana kehebatan kerjayanya di gelanggang tinju, tetapi dia juga terbabit dengan aktiviti memperjuangkan hak asasi manusia. Beliau dimasukkan ke hospital beberapa kali pada tahun-tahun akhir hayatnya.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1Xr1dAq
Post a Comment