Benarkah orang Kelantan dan Johor terlalu kenegerian?
KUALA LUMPUR: Kita kerap melihat pelekat kereta dengan perkataan atau emblem melambangkan negeri asal pemandu itu, dan simbol Kelantan dan Johor antara paling ketara.
Malah, di Lembah Klang, ramai yang berasal dari kedua-dua negeri ini masih memilih plat pendaftaran kenderaan bermula dengan huruf “D” untuk Kelantan dan “J” untuk Johor, bagi melambangkan asal usul mereka.
Tetapi apa yang ditampilkan di bahagian belakang kenderaan hanya elemen kecil daripada apa yang ditakrifkan sebagai semangat kenegerian.
Ia lebih menonjol di stadium bola, dirasai di pusat pengajian tinggi di kalangan mahasiswa, dan diserlahkan dengan kewujudan pelbagai “persatuan anak negeri” di perantauan.
Faktor TMJ?
Kajian rambang FMT di media sosial mendapati mereka yang berasal dari Johor dan Kelantan lebih menonjol dalam sentimen kenegerian.
Apa tidaknya, Johor semakin menarik minat media tempatan berikutan kelantangan putera mahkotanya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam menyuarakan pendapat tentang isu semasa.
Awal Jun lalu, Tunku Ismail yang dikenali dengan singkatan TMJ menyenaraikan sebab ramai tidak menyukai Johor.
“Jangan salahkan Johor. Anda boleh beramai-ramai berjumpa dengan YAB perdana menteri di Putrajaya untuk mengusulkan satu deklarasi kepada beliau untuk mengeluarkan Johor dari Malaysia,” katanya.
Semangat kenegerian yang menebal di kalangan orang Johor memang “sedia ada dalam diri”, menurut seorang anak Johor ditemui FMT.
“Menjadi anak Johor adalah satu kebanggaan. Sekiranya ada pihak yang mengusik negeri ini, kami sedia mempertahankannya,” kata Setiausaha Persatuan Anak Melayu Bersatu Johor (PENENTU), Zainal Abdul Majid.
“Semangat itu wujud secara semula jadi. Identiti negeri kami memang terkenal dalam banyak segi seperti budaya, adat dan makanan yang memang tiada tandingan. Kami sedia membantu anak Johor lain sekiranya mereka dalam kesusahan,” katanya penuh bangga.
‘Cecah budu bersama’
Bagi Setiausaha Agung Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) Azman Awang, tidak salah memiliki sifat cintakan negeri asalkan tidak melampau.
“Kita juga hormat dengan pendirian rakyat negeri lain. Siapa yang tidak cintakan tempat kelahiran sendiri? Bak kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang apatah lagi negeri sendiri.
“Istimewa mengenai orang Kelantan, kami bukan saja mahu dilihat waktu senang bersama malah ketika waktu susah juga. Saya bagi contoh macam makan budu. Orang Kelantan sanggup cicah budu dalam pinggan guna tangan ramai-ramai. Sikit pun kami tak rasa geli. Ini baru dikatakan perpaduan,” katanya sambil ketawa.
PERAKAN mempunyai 45 cawangan di seluruh Malaysia, dengan jumlah keahlian sekurang-kurangnya 100 orang di setiap cawangan.
Pensyarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Mansor Mohd Noor berkata sifat berpuak-puak rakyat Kelantan dan Johor adalah fitrah manusia.
Katanya, rakyat di negeri itu masih mengekalkan pembentukan awal identiti berdasarkan sejarah sosial mereka.
Orang Kelantan, katanya mudah membina hubungan sesama mereka apabila di perantauan.
“Semangat kenegerian rakyat Kelantan dan Johor mungkin lain dengan negeri lain, sebagai contoh Kelantan kebanyakan mereka Melayu, sebab itu kita tengok rakyat Kelantan hubungan mereka mudah terbina sebab majoriti mereka satu kelompok saja.”
Bahana politik
Bagaimanapun, beliau tidak setuju sifat sedemikian membawa kepada perpecahan antara rakyat negeri lain.
“Walaupun orang Kelantan dan Johor dilihat lebih mengutamakan rakan senegerinya, dia tidak sesekali mengabaikan rakyat negeri lain,” kata Mansor.
Yang perlu dielak, katanya, ialah unsur politik.
“Kita risau jangan dipolitikkan, kita ini rakyat Malaysia di bawah satu unit politik, nak berpuak boleh tetapi jangan sampai membakar semangat sejarah kita hingga merasakan kita lebih hebat, lebih mulia, jangan sampai terlalu mengangkat bangsa sendiri sehingga ingin keluar dari Malaysia.
“Itu akan menimbulkan masalah, jangan sampai membelakangkan negara,” katanya.
Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Ramlah Adam berpendapat, sikap berpuak yang dibawa rakyat Kelantan bukannya asabiyyah (semangat kebangsaan sempit), sebaliknya lebih kepada ingin memperkenalkan identiti mereka.
“Orang Kelantan bila berjumpa sesama mereka dia akan terus cakap Kelantan, dibuat macam itu sebab mereka nak memperkenalkan identiti mereka dan lebih kepada kenegerian, tidak ada pula kita dengar orang Kelantan bergaduh, bermusuh, berperang, sikap itu bukan asabiyyah, sebab asabiyyah ini wujud sewaktu zaman jahiliah,” kata Ramlah.
“Orang Kelantan memang mementingkan sesama dia dari dulu, itu memang tak boleh nafi,” katanya.
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/2azhCQx
Post a Comment