Had laju bas ekspres ditetap 90km sejam menjelang 2020, kata JPJ
IPOH, 29 Jul — Semua bas ekspres di negara ini akan dilengkapi alat pengehad kelajuan menjelang tahun 2020 sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Nadzri Siron berkata pemasangan alat tersebut dapat memastikan bas ekspres hanya bergerak pada had kelajuan 90 kilometer (km) sejam.
“Kita telah minta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat tersebut mulai Januari tahun depan.
“Untuk bas-bas lama kita memberikan tempoh lima tahun atau menjelang 2020 semua bas akan ada alat pengehad kelajuan kerana ia melibatkan kos,” katanya dalam sidang media mengenai sistem integrasi bersepadu agensi penguatkuasa di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengulangi seruannya terhadap syarikat-syarikat bas ekspres untuk memasang alat pengehad kelajuan dalam bas mereka.
Liow menegaskan syarikat mempunyai masa setahun untuk mematuhinya atau berdepan penggantungan.
Ketika diminta menjelaskan cara dan mekanisme alat tersebut akan berfungsi, Nadzri berkata ia sedang diteliti dan dikaji oleh pihaknya.
“Mungkin kita akan bagi bonus (bergerak laju) 10 peratus (daripada 90km/jam) bila ia ingin memotong sebelum masuk semula ke lorong yang dibenarkan,” katanya.
Ketika ini had laju kebangsaan bagi kenderaan berat di lebuh raya adalah 80 hingga 90km/jam, manakala bagi jalan persekutuan dan negeri adalah 70 hingga 80km/jam.
Selain itu, Nadzri berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) akan membantu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membangunkan satu sistem bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu.
Katanya, ketika ini JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan raya, manakala PDRM dan SPAD mempunyai sistem masing-masing.
“Oleh itu, persetujuan telah dibuat supaya sistem sedia ada yang dilaksanakan secara masa nyata (real time) ketika ini dipertingkatkan khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan,”" katanya. — Bernama
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/2aAMpyj
Today updated news promoted by Mukah Pages
>> MobiMovi also share Free Online Movies with crystal clear pictures and sound on HD Blu Ray 1080p!
Post a Comment