Lelaki maut rempuh hadapan lori di Jalan Pusat Hidupan Liar Matang
KUCHING: Seorang lelaki maut pada Jumaat lalu selepas motosikal yang dinaikinya hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Alexson Naga, kejadian berlaku sekitar jam 4.20 petang.
“Berdasarkan siasatan awal, lori yang dipandu seorang lelaki Iban berusia 51 tahun itu sedang menuju ke rumahnya di Kampung Rayu Iban, dari Pusat Hidupan Liar, Matang dekat sini.
“Setibanya di laluan tersebut, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kanan hadapan lori tersebut.
Penunggang motosikal tersebut katanya, mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak oleh pasukan paramedik.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kemudiannya,” katanya.
Lelaki yang maut itu kemudian dikenal pasti sebagai Rimong Janga, 21 tahun, dari Kampung Sungai Belian, Lundu.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment