Sarawak-Sambas jalin kerjasama bina kemudahan pelancongan – Abang Jo
SAMBAS: Kerajaan Negeri Sarawak dan pentadbir Kalimantan Barat akan bekerjasama untuk membangunkan produk pelancongan di sekitar jajaran Biawak-Sambas.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ini sejajar dengan potensi yang wujud di kedua-dua lokasi itu yang memiliki hubungan simbiotik dari aspek sejarah, budaya dan ikatan geografi.
“Justeru itu, kita sedang memikirkan bentuk dan kaedah pembangunan yang sesuai di wilayah perbatasan ini agar ia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan yang berterusan, seterusnya membuka kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang indah dan tersusun.
Katanya, keindahan alam semula jadi yang menggabungkan gunung-ganang, pantai dan laut menjadikan kawasan Sambas, Lundu dan Sematan sebagai lanskap yang berpotensi menjadi tarikan antarabangsa.
“Oleh itu, ia harus dilestarikan untuk manfaat kedua-dua belah pihak,” kata Timbalan Ketua Menteri itu selepas menghadiri Festival Wondeful Indonesia di Sajingan Aruk, di sini semalam.
Antara pembangunan yang dikenal pasti termasuklah kemudahan perhotelan dan panduan perjalanan.
“Ini bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung seterusnya menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Untuk itu kata Abang Johari, pihaknya menggalakkan penglibatan pihak swasta untuk membangunkan kawasan ini, termasuk lokasi-lokasi berhampiran.
“Penglibatan mereka akan dapat mewujudkan iklim perniagaan seterusnya mrmpercepat pembangunan terancang di kedua-dua daerah ini,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan Indonesia, Edi Susilo, Bupati Kabupaten Sambas, Atbah Romin Suhaili, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Datuk Ranum Mina.
Program tahunan pelancongan Indonesia itu berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 September bagi peringkat Kabupaten Sambas. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment