Hi! Welcome Back and Stay Tune! Dana mudah cara Teraju lonjak syarikat bumiputera - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Dana mudah cara Teraju lonjak syarikat bumiputera

PEKAN: Penubuhan Dana Mudahcara oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah membantu syarikat Bumiputera berkembang sehingga dapat bekerjasama dengan syarikat antarabangsa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelaburan syarikat Bumiputera dalam syarikat besar juga akan dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Tanpa dana itu pelaburan tidak akan jadi kenyataan, namun apabila ada platfom seperti ini, kita hendak pastikan kesannya juga dapat dirasai oleh rakyat dan negara. Kita tidak mahu hanya kilang sahaja yang mengaut keuntungan.

“Apabila ada pelaburan langsung asing (FDI), ia membantu mengembangkan ekonomi tempatan dan beri peluang kepada rakyat dan syarikat tempatan, saya kira pelaburan ini akan beri keuntungan yang baik,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan kemudahan gudang pemasangan tempatan Mercedes-Benz yang dibina oleh syarikat Bumiputera, Nilai Mahir (M) Sdn Bhd (NMSB) di Taman Automotif, di sini, hari ini.

NMSB, anak syarikat Kumpulan Harmodal Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 19 Jun, 1989, menerima Dana Mudahcara berjumlah RM4.76 juta bagi tujuan pembinaan itu.

Najib bagaimanapun menegaskan, inisiatif kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera tidak bermakna kerajaan tidak membantu ekonomi kaum lain kerana matlamat utama adalah untuk melihat sebuah negara yang berkongsi kekayaan secara saksama.

“Kita juga mahu melihat kawasan yang dahulunya kurang maju seperti Pekan yang hari ini sudah bertukar wajah menjadi kawasan yang pesat membangun, lebih-lebih lagi apabila kita mengklasifikasikannya sebagai hab automotif untuk negara.

“Bertitik tolak daripada keputusan itu, kita lihat bagaimana pelbagai syarikat mula bertapak kukuh dan menarik pelabur-pelabur luar negara dengan jenama yang amat tersohor seperti Mercedes-Benz untuk bertapak di sini,” katanya.

Perdana Menteri menambah kerancakan ekonomi itu tidak akan berlaku tanpa bantuan kerajaan yang telah menyusun pelbagai dasar dengan begitu rapi dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan rapi.

“Kita sebagai sebuah kerajaan bukan hanya pandai bercakap tetapi boleh buat, melaksanakan sebagai sebuah kerajaan. Inilah yang patut dinilai rakyat. Bukan siapa yang boleh cakap sahaja, tapi siapa yang boleh buat perubahan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama NMSB dengan Mercedes-Benz, Najib menyifatkannya sebagai pencapaian amat baik dan akan memberi keuntungan jangka panjang memandangkan Mercedes-Benz merupakan sebuah jenama yang amat kukuh dan dikenali di peringkat antarabangsa.

“Kalau nak kira satu jenama yang berjaya, amat sukar untuk menandingi Mercedes-Benz yang telah berjaya sebagai sebuah kereta idaman, jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Al-Meiraj berkata syarikat tersebut tidak mampu melaksanakan projek berkenaan tanpa sokongan dan kerjasama daripada agensi Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang, Teraju dan ECER.

“Menerusi geran yang disumbangkan Teraju, kami mampu melaksanakan projek ini dengan kos yang lebih rendah. Geran yang diterima disalurkan untuk meringankan perbelanjaan modal infrastruktur.

“Ini secara langsung memberi manfaat kepada gudang ini dengan penjimatan struktur secara keseluruhan dan sekali gus membantu menikmati pengurangan overhed sewa pajak. Justeru, kehadiran di sini amat berbaloi dan memberi manfaat kepada ekonomi setempat,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan ini, peluang dan penyertaan vendor, kontraktor dan perunding Bumiputera terbuka luas dan syarikat itu akan memilih usahawan yang berkelayakan untuk menjadi sebahagian daripada ‘winning team’ projek berkenaan.

Kemudahan gudang seluas 185,000 kaki persegi itu dibangunkan bertujuan untuk simpanan komponen dan bahagian-bahagian kereta, kata Al-Meiraj. – Bernama



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.