DAP: 6 kemungkinan bakal berlaku terhadap usul PAS
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyenaraikan enam kemungkinan sekiranya berlaku berkaitan Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat.
Kit Siang menerusi catatan di blognya berkata, antaranya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi akan membentangkan dan membahas mengenai RUU pada minggu pertama pembukaan sidang Parlimen, sama ada pada hari Isnin, Selasa atau Rabu dan diluluskan dengan sokongan majoriti mudah.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung dari 17 Oktober hingga 24 November depan.
“Kemungkinan kedua pula RUU itu dibahaskan pada minggu pertama di Parlimen dan ditolak dengan undi majoriti mudah,” katanya.
Kit Siang seterusnya berkata kemungkinan seterusnya, Hadi tidak membahaskan RUU pada minggu pertama sidang Parlimen bermula dan ditangguhkan sehingga selepas perbahasan Bajet 2017, dan kemungkinan akan dibahaskan pada minggu akhir sidang Parlimen pada November nanti (21-24 November).
Ujar Kit Siang, kemungkinan keempat ialah perbahasan dilakukan pada minggu terakhir dan diluluskan dengan keputusan majoriti mudah.
“Kemungkinan perbahasan dilakukan pada minggu terakhir dan ia ditolak dengan majoriti mudah,” tambahnya.
Kemungkinan terakhir ialah RUU tidak dibahaskan dan akan ditunda pada persidangan Parlimen tahun hadapan.
Hadi dalam kenyataannya menyatakan kesedian untuk membentangkan RUU 355 pada bulan ini.
Mei lalu, Presiden PAS itu telah membentangkan RUU untuk meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat. – Sarawak
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment