Hi! Welcome Back and Stay Tune! 5 helah yang pedofil guna untuk memerangkap anak-anak korang - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

5 helah yang pedofil guna untuk memerangkap anak-anak korang

5 helah yang pedofil guna untuk memerangkap anak-anak korang

Beberapa bulan lepas, kita telah dikejutkan dengan kes pencabulan kanak-kanak oleh seorang lelaki warga Britain, Richard Huckle dengan 71 pertuduhan. Sasarannya adalah kanak-kanak miskin berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Klik untuk baca artikel kami pasal ‘child grooming’, iaitu macam-mana pedofil dekati anak-anak melalui social media

Tak lama lepas tu, kecoh pula pasal insiden cabul di sebuah maahad tahfiz kat Perak. Tapi kes pedofilia kat Malaysia bukan setakat ini je tau, sebenarnya banyak je lagi! Untuk mengikuti kes pedofilia yang lain, korang boleh  follow FB aktivis sosial, Syed Azmi.

Macam yang korang tahu, Malaysia memang ada Akta Kanak-kanak 2001, tapi ia takde pun perlindungan khusus untuk melindungi kanak-kanak daripada jenayah pedofilia. So untuk atasi perkara ni, parents sendiri perlu tau apa modus operandi yang pedofil ni selalu guna untuk memerangkap kanak-kanak, barulah kita boleh membanteras masalah ni.

So apa helah yang pedofil guna? Ia bermula dengan…

1. Dorang tau yang anak-anak malu/tak tahu nak sebut pasal anggota sulit badan

Perasan tak, sejak kecil lagi kita diajar oleh ibu bapa untuk guna ‘kod-kod rahsia’ atau gelaran lain untuk namakan alat-alat sulit pada tubuh badan kita. Contohnya, dalam masyarakat Melayu, perkara tentang bahagian sulit ni adalah tabu dan kalau boleh dorang nak perhalusi lagi perkataan tersebut agar kedengaran lebih sopan.

Perkara ni bukan je berlaku dalam kalangan budaya kita, malah ia turut diamalkan oleh orang Barat supaya ia lebih ‘selesa’ diajar kepada anak-anak. Tapi korang tahu tak, sebenarnya mengajar anak-anak istilah yang tepat untuk bahagian anatomi badan boleh menyelamatkan anak-anak daripada menjadi mangsa pedofil. Hmm macam mana tu?

Dah kenal badan sendiri, barulah boleh kenal orang sekeliling. Imej dari amazon.com

Ok macam ni, kalau korang dah ajar anak dengan istilah yang betul untuk bahagian sulit, ia akan lebih senang untuk anak bercerita jika ada perkara yang diorang rasa tak selesa atau bahaya. Contohnya, apabila ada orang yang sentuh kemaluan diorang, diorang boleh beritahu bahagian sebenar yang disentuh itu dengan lebih tepat. Bukan menggunakan nama-nama pelik yang keluarga korang saja faham.

Keadaan ni secara tak langsung juga memberitahu pemangsa supaya menjauhi anak-anak korang kerana anak korang telah dididik mengenai seksualiti dan keselamatan dengan baik.

Satu lagi, korang boleh soal anak-anak apabila korang terdengar diorang guna gelaran atau nama pelik untuk bahagian alat sulit. Tentu ada orang lain yang dah ajar diorang nama-nama tu sedangkan diorang dah ajar menggunakan istilah yang betul dari rumah. Dari situ dah boleh kesan ada unsur-unsur tak selamat dalam kalangan anak-anak korang.

Imej dari memegenerator.net

2. Dorang akan jadikan anak-anak biasa dengan sentuhan

Apa yang bahayanya, pedofil ni mempunyai ‘kebolehan’ untuk mengelirukan mangsa. Diorang akan berlakon baik dan beramah mesra dengan kanak-kanak yang ditarget untuk dapatkan kepercayaan bahawa mereka ni tak bahaya. Selalunya, diorang ni memang pandai bergaul dengan kanak-kanak dan akan cari pekerjaan atau jadi sukarelawan yang melibatkan kanak-kanak.

Apabila dirasakan yang kanak-kanak ni dah mesra dengan diorang, pedofil ni akan mula jalankan misi menyentuh secara fizikal. Antara cara diorang beri sentuhan pada kanak-kanak adalah dengan cara menggeletek, mendukung, mengurut, menggosok, mencium, berpegangan dan pelbagai cara lagilah. Tujuannya, untuk hilangkan kepekaan kanak-kanak ni terhadap sentuhan. Jadi, kanak-kanak ni akan terbiasa dengan sentuhan-sentuhan tersebut tanpa rasa takut atau tak selesa.

Kanak-kanak selalunya tak mengenali mana satu sentuhan selamat atau mana satu sentuhan yang dilarang pada bahagian tubuh badan diorang. Waktu nilah korang kena beritahu anak-anak yang sentuhan-sentuhan di bahagian sulit adalah dilarang sama sekali oleh sesiapa pun.

Jadi, adalah sangat penting untuk kita ajar anak-anak untuk mengatakan “tidak” dengan tegas jika ada sesiapa yang ingin menyentuh bahagian sulit diorang melainkan atas sebab-sebab tertentu, misalnya pemeriksaan oleh doktor.

Muka kena garang sikit. Imej dari memegenerator.net

Ajar juga anak-anak bahawa bahagian sulit diorang adalah hak dan kepunyaan sendiri. Jadi, diorang ada hak untuk menolak sebarang sentuhan jika rasa tak selesa walaupun ia datang daripada keluarga sendiri.

Pastikan anak-anak korang selesa untuk memeluk, mencium, bersalam atau melambai tangan dengan orang sekeliling.

Kalau korang nak tahu, ada 3 jenis sentuhan, iaitu sentuhan selamat, sentuhan tak selamat dan sentuhan yang tidak diingini oleh kanak-kanak. Dengan mengajar anak korang 3 jenis sentuhan ni, tak mustahil ia boleh meningkatkan kepekaan anak tentang keselamatan diri terutamanya daripada pedofil.

3. Dorang pura-pura ambil berat pasal masalah peribadi anak-anak

Cara utama pedofil memerangkap mangsa adalah dengan child grooming kanak-kanak yang diorang dah target. Kanak-kanak akan mudah rasa selesa dengan diorang. Bukan je kanak-kanak, malah diorang turut berkebolehan mempengaruhi ibu bapa dengan mempamerkan imej baik dan suci di hadapan ibu bapa kanak-kanak tersebut.

Imej dari memegenerator.net

Selalunya kanak-kanak yang terlibat dengan child grooming ni tak sedar yang diorang ni dah jadi mangsa kepada pedofil. Pada mulanya, hubungan antara mangsa dan pemangsa sekadar hubungan platonik. Tapi, lama-kelamaan ia menjadi hubungan fizikal seperti sentuhan dan akhirnya melibatkan hubungan seks.

Contohnya, ada beberapa kes pedofilia ni melibatkan hubungan guru dan anak murid. Anak murid mempercayai guru diorang dan banyak berkongsi masalah dengan guru tersebut sehingga akhirnya terlanjur melakukan hubungan seks.

Status pedofil ni sebagai seorang dewasa juga memberi kelebihan kerana kanak-kanak lebih mudah dipengaruhi oleh orang dewasa. Selalunya sasaran pedofil ialah kanak-kanak yang datang daripada keluarga bermasalah ataupun kurang perhatian daripada ibu bapa. Pedofil akan lebih mudah untuk ambil kesempatan ke atas kanak-kanak seperti ini sebab kanak-kanak macam ni memerlukan seseorang yang boleh menyokong dan beri perhatian pada diorang.

“Siapalah yang sudi dengar rintihanku ini.” Imej dari malecodependence.com

Sebagai ibu bapa, pastikan korang ambil berat tentang kebajikan anak-anak. Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak juga ada perasaan takut dan tak selesa. Korang boleh kesan perkara yang tak kena jika anak korang tetiba rasa tak selesa dengan orang-orang tertentu. Jadi sebagai ibu bapa, korang berhak untuk hormat dan dengar apa yang anak-anak korang cuba beritahu. Secara tak langsung, korang sebenarnya dah beri signal pada anak-anak yang korang ni ibu bapa yang boleh diharap dan dipercayai.

Seperti kata pujangga lama Barat; ‘Never get between a mother bear and her cubs’. Pendek kata, jadilah seperti mama bear yang sanggup lakukan apa saja untuk pertahankan anaknya daripada diserang musuh.

Imej dari memegenerator.net

4. Dorang ajar anak-anak supaya menyimpan rahsia

Sebelum melangkah ke hubungan seksual, pedofil akan mencipta satu perhubungan erat dengan mangsa. Salah satu caranya adalah dengan menyimpan rahsia. Pedofil akan memilih kanak-kanak yang senang untuk simpan rahsia. Misalnya, ada pedofil yang sengaja bercakap lucah depan kanak-kanak dan menyuruh kanak-kanak tersebut untuk simpan rahsia daripada ibu bapa diorang pasal perbuatan tersebut. Jadi, dari situ pedofil boleh dapat tahu siapa yang akan ikut arahan dia.

Proses menyimpan rahsia ni adalah satu proses berterusan untuk memanipulasi minda kanak-kanak. Pedofil akan mengugut dan melakukan keganasan supaya kanak-kanak tersebut tidak membocorkan rahsia diorang. Antara ugutan yang pedofil ni gunakan adalah seperti:

  • “Tak ada yang akan percaya kau.”
  • “Tu semua salah kau.”
  • “Kau akan buat aku masuk penjara.”
  • “Aku akan cederakan ahli keluarga kau.”
  • “Aku akan bunuh haiwan kesayangan kau.”

So sebagai parents, korang kena ajar anak-anak mana satu rahsia yang selamat untuk disimpan dan mana satu rahsia yang tak selamat untuk disimpan.

Imej dari memegenerator.net

Antara rahsia yang tak boleh simpan daripada pengetahuan korang adalah:

  • Masalah yang dihadapi.
  • Sentuhan daripada orang lain.
  • Hadiah yang diberi oleh orang lain.
  • Gambar-gambar atau video.
  • Dengan siapa diorang berkawan/berkenalan.

Tugas anak-anak adalah memberitahu rahsia-rahsia tu pada korang walaupun orang yang berkongsi rahsia dengan anak-anak korang tu akan marah atau malu.

Maknanya, tugas korang sebagai ibu bapa adalah untuk menjadi pendengar yang setia. Sebelum nak berleter atau marah atas kesalahan yang dilakukan, korang tetap kena beri ruang pada dorang untuk terangkan perkara sebenar dulu.

Tak rugi pun dengar cerita anak-anak.

Lagi satu, selalulah ingatkan anak-anak jikalau anak-anak ada buat salah atau kesilapan, korang akan tetap selalu menyayangi dan bersedia untuk membantu diorang.

5. Rupa paras dorang sama je macam orang lain!

Kalau korang bayangkan yang pedofil ni seorang yang bermuka hodoh, jahat dan banyak kes jenayah, korang silap. Pedofil ni kadang-kadang ada di sekitar kita dan tak mustahil daripada orang-orang yang rapat dengan kita.

Diorang boleh terdiri daripada lelaki atau perempuan, miskin atau kaya, bekerja atau penganggur, orang biasa atau agamawan, berpelajaran atau street smart, tanpa mengira bangsa atau agama. Yang paling penting, pedofil ni memang arif dan mampu untuk mempengaruhi mangsa dengan cara halus.

Pedofil memang pakar umpan kanak-kanak. Imej dari manolaw.blogspot.com

Antara cara lain nak kesan pedofil  ni adalah dengan percaya pada gerak hati sendiri kerana ia merupakan satu sistem perlindungan semula jadi untuk manusia dan menjadikan kita lebih peka. Ajar juga anak-anak untuk percaya pada gerak hati.

Jadi, sebagai orang dewasa yang dah boleh berfikir matang, memang tanggungjawab kita untuk ajar anak-anak memahami fungsi gerak hati ni. Sebagai contoh, kalau anak-anak korang rasa tak selesa atau takut terhadap situasi tertentu, ajar diorang untuk keluar dari situ. Dan, kalau anak-anak korang taknak ikut dengan orang-orang tertentu, jangan dipaksa kerana dorang mungkin ada sebab tersendiri.

Kalau korang syak sesuatu, cepat-cepat laporkan!

Imej dari keepcalmandposters.com

Agak sukar sebenarnya untuk mengesan kehadiran pedofil dalam kalangan kita. Hal ni disebabkan pedofil ni selalunya tiada rekod jenayah dan dilihat seperti orang-orang biasa saja. Jadi, langkah berjaga-jaga perlu diambil berat oleh ibu bapa. Lebih-lebih lagi sekarang ni zaman lambakan media sosial dan pedofil sangat mudah nak akses terus kepada mangsa.

Selain korang bertanggugjawab mengawal aktiviti anak-anak di media sosial, korang juga perlu menghadkan aktiviti yang boleh mengundang pedofil seperti terlalu kerap post gambar anak-anak di media-media sosial.

Tengah korang syok upload gambar anak-anak korang, ada mata jahat yang memerhati. Imej daripada freemalaysiatoday.com

Jika korang ada kenal atau terjumpa mana-mana mangsa pedofilia, korang boleh ambil tindakan segera dengan hubungi Talian Nur di 15999 yang beroperasi 24 jam seminggu. Korang boleh juga dapatkan maklumat undang-undang dan kaunseling dengan menghubungi Telenita Helpline di 03-7877 0224

Pendek kata, keselamatan anak-anak adalah perkara nombor satu sekali!



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2jJdYFq

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.