"Fesyen Cari Penyakit. Nak Harga Murah Sanggup Menerima Rawatan Dengan 'Doktor Jadian Youtube' Akhirnya Menerima Padah..
PEMAKAIAN pendakap gigi kini bukan lagi menjadi satu keperluan tetapi kehendak untuk tampil bergaya. Ia dijadikan medium sesetengah individu yang obses dengan trend sebagai salah satu cara untuk berfesyen.
Jika dahulu, ramai yang malu untuk memakainya, namun kaedah pemakaian pendakap gigi berubah mengikut zaman apabila kini ia menjadi satu kegilaan.
Pendakap gigi yang dahulunya hanya besi titanium biasa, kini tampil pelbagai corak dan warna sekali gus mewujudkan ramai ‘doktor gigi ‘ bidan terjun yang menjual dan menawarkan pemasangan pendakap gigi secara tidak sah.
Walau bagaimanapun, kecantikan itu bersifat sementara apabila ada si pemakai dilaporkan terpaksa menerima rawatan susulan selepas gigi mereka terkena jangkitan dan rosak disebabkan pemakaian dan material bukan disyorkan oleh pakar atau doktor bertauliah.
Dapatkan khidmat pergigian bertauliah, elak komplikasi kesihatan
Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dalam memilih klinik serta doktor bagi mendapatkan rawatan pergigian, kata Ketua Jabatan Orthodontik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Rohaya Megat Abd Wahab.
Ini kerana, pemilihan rawatan yang diragui kepakarannya hanya mendedahkan diri kepada risiko dan komplikasi kesihatan.
Berkongsi pengalaman, Dr Rohaya berkata, terdapat pesakit yang datang ke Klinik Pergigian UKM bagi mendapatkan rawatan terdiri dalam kalangan mereka yang menggunakan perkhidmatan pergigian haram.
“Ada yang datang setelah menyedari pendakap gigi (braces) yang dipakai menyebabkan komplikasi. Namun keadaan mereka ketika itu belum terlambat untuk mendapatkan rawatan.
“Dan, apabila ditanya, mereka mengatakan mendapatkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi itu yang menyediakan rawatan di hotel dan rumah. Malah dengan mudah mendapatkan pendakap gigi itu melalui Facebook,” katanya.
Menurutnya, amat memeranjatkan seseorang itu dengan mudah mempercayai rawatan pemasangan pendakap gigi, tanpa meragui kelayakan mereka itu.
“Tidak sepatutnya mendapatkan rawatan seperti itu di hotel-hotel atau rumah. Seharusnya rawatan pergigian perlu dilakukan di klinik bertauliah, sama ada klinik kerajaan mahupun swasta.
“Bagi rawatan ortodontik, setiap pesakit itu ada masalah yang berlainan. Dan seorang pakar bertauliah tahu bagaimana untuk kendalikan setiap pesakitnya,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu menunjukkan sikap orang ramai yang kurang menitikberatkan soal kepentingan mendapatkan rawatan dengan doktor bertauliah.
“Rawatan gigi seperti pemakaian braces ini memerlukan kepakaran pakar. Perlukan khidmat konsultasi dan pemeriksaan rapi khususnya jenis braket yang perlu digunakan.
“Perlu dipastikan juga material dan dawai apa yang digunakan, kerana material itu ada fungsinya dalam memastikan pergerakan gigi tersusun,” ujarnya.
Justeru katanya, adalah disyorkan kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan di klinik bertauliah.
“Mereka boleh menyemak status doktor terbabit di laman web Majlis Pergigian Malaysia untuk memastikan kesahihannya,” katanya.
Pendakap gigi palsu berisiko
Pendakap gigi palsu (fake braces) yang dijual sememangnya murah tetapi membawa padah.
Memetik dari laman Facebook, Medical Mythbusters Malaysia (MM), Dr Firdaus Hariri berkata, mereka yang menggunakan fake braces ini berdepan risiko yang lebih buruk.
Ini kerana menurutnya, mereka yang melakukannya itu tidak bertauliah.
“Mereka bukan doktor pergigian. Tiada asas bidang perubatan dan pergigian. Memberikan rawatan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.
“Tiada ilmu pengetahuan yang mendalam untuk ambil berat tentang kesihatan orang yang dirawat. Risiko yang boleh terjadi akan menyebabkan keadaan yang lebih teruk. Bila keadaan menjadi teruk, mereka hilang begitu saja,” katanya.
Selain itu, Dr Firdaus berkata, mereka yang menggunakan fake braces juga berdepan risiko gangguan pada gusi dan tulang gusi.
“Hanya kerana mahu meluruskan gigi dalam masa yang singkat, gigi digerakkan terlalu cepat, bukan setakat sakit, malah menyebabkan gangguan pada gusi dan tulang gusi.
“Akibatnya, gigi menjadi longgar selepas fake braces dicabut, penyakit gusi yang serius, jangkitan teruk dan gigi terpaksa dicabut akibat tidak dapat diselamatkan. Daripada nak luruskan gigi, terus hilang gigi,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, sikap segelintir pengamal fake braces yang ‘memandai-mandai’ menggerakkan gigi sehingga menyebabkan cabutan gigi salah, aturan gigi yang tidak betul dan akhirnya gangguan pada fungsi mengunyah dan sendi tulang rahang.
“Kesimpulannya, kalau ada masalah gigi tidak lurus, jumpalah doktor pergigian yang diiktiraf. Fake braces, murah tapi membawa padah,” katanya.
Menyentuh soal caj rawatan di klinik swasta yang mahal, Dr Firdaus berkata, harga mahal kerana tiada subsidi berbanding klinik kerajaan.
Walau bagaimanapun, bayaran adalah secara berkala dan tidak perlu dibuat sekali gus. Ada juga klinik yang menyediakan pakej-pakej khas untuk meringankan beban kewangan pesakit.
“Di klinik kerajaan dan swasta yang berdaftar, rawatan dibuat oleh pakar ortodontik atau doktor pergigian berdaftar yang terlatih. Berapa lama mereka belajar untuk jadi mahir dan tahu asas pergigian? Sekurang-kurangnya 5 tahun, ada yang nak jadi pakar braces sambung lagi 4 tahun.
“Yang buat di rumah dan di hotel pula, belajar mungkin 10 minit saja. Daripada mana? YouTube dan laman internet yang tak diiktiraf. Tak ada asas kesihatan mulut, gusi dan gigi. Yang penting, gerakkan gigi sampai lurus. Risikonya tidak payah fikir,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
✍ Sumber Pautan : ☕ Sehinggit Media News
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2qAzZKp
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment