Menteri Kesihatan, Riek Gai Kok berkata, siasatan menunjukkan pegawai-pegawai tempatan gagal mematuhi garis panduan imunisasi semasa kempen empat hari untuk memberikan vaksin kepada lebih 300 penduduk di Kapoeta pada Mei lalu.

Malah, beliau turut mengesahkan bahawa kerja-kerja penyimpanan vaksin yang sepatutnya dilakukan oleh pegawai terlatih, telah diserahkan kepada dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun.

“Pasukan yang menyuntik vaksin kepada kanak-kanak dalam kejadian tragis ini tidak berkelayakan dan tidak dilatih untuk memberikan imunisasi. Mereka gagal untuk mengikuti protokol penyejukan apabila vaksin disimpan di dalam sebuah bangunan yang tidak mempunyai kemudahan peti sejuk selama empat hari berturut-turut.

“Picagari sama juga telah digunakan dalam pelbagai botol vaksin bagi keseluruhan empat hari kempen dan bukannya dibuang setiap kali selepas penggunaan. Tindakan ini menyebabkan berlaku pencemaran dan kanak-kanak yang menerima suntikan dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun, Riek tidak memberi maklumat lanjut tentang penggunaan tenaga kerja kanak-kanak untuk kerja pen­yimpanan vaksin tetapi sebaliknya hanya menjelaskan perkara itu tidak boleh diterima dan menjalankan siasatan lanjut.

Siasatan itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Seramai 32 lagi kanak-kanak di perkampungan Nachodepele turut menjadi mangsa apabila dilaporkan mengalami gejala demam, muntah-muntah dan cirit-birit yang teruk selepas menyertai kempen suntikan vaksin tersebut, tetapi telah berjaya di­pulihkan.

Menurut Pengarah WHO Sudan, Abdulmumin Usman, vaksin campak sepatutnya disimpan di tempat gelap dan dingin antara dua hingga lapan darjah Celcius dan selamat untuk diberikan kepada kanak-kanak jika pegawai kesihatan mengendalikannya mengikuti garis panduan yang ditetapkan. – AFP