Kejadian itu berlaku selepas Aaron memberi kenyataan yang dia tidak akan mempertikaikan kemampuan Fattah mencantas popularitinya dalam melakonkan adegan romantik kepada wartawan baru-baru ini.

Apa-apa pun dalam soal ini, masing-masing mempertahankan hujah menegakkan kebenaran yang pelakon kegemaran mereka itu mempunyai kelebihan tersendiri untuk mencairkan hati wanita melakonkan watak romantik.

Sampai bergaduh-gaduh jugalah masing-masing di laman sosial! Pening kepala baca satu demi satu luahan kurang puas hati peminat Aaron dan Fattah ini.

Ada yang kata aura Aaron semakin tenggelam sejak kebelakangan ini. Walaupun Aaron sudah membuktikan kehebatannya memegang watak itu dalam drama Nora Elena dan filem Ombak Rindu tapi kemunculan Fattah berjaya menenggelamkan kemampuan sebenarnya.

Sementara Fattah sudah membuktikan kehebatannya melakonkan babak romantik menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot dan terbaru, Hero Seorang Cinderella. Pencapaian dua drama itu yang mendapat perhatian ramai itu sudah cukup untuk membuktikan kehebatan Fattah.

Disebabkan Aaron tiada produk terbaru dalam genre tersebut, terus peminat membuat dakwaan yang Fattah sudah berjaya mencantas populariti pelakon kelahiran Singapura berkenaan.

Rasanya tak payahlah kalau nak bergaduh disebabkan nak tegakkan benang masing-masing. Nak canang kepada semua kehebatan pelakon kesayangan mereka itu. Lagipun perlu ke bergaduh dalam soal remeh temeh ni sedangkan ada lagi banyak perkara yang wajar diberi perhatian.

Yang penting kita sama-sama beri sokongan padu kepada karya seni yang baik, bukan memuja orang tak tentu pasal. Jadilah peminat yang menyokong industri untuk berkembang, bukan berbalah hanya kerana siapa popular.