‘Transformers: The Last Knight’ Serba-Serbi Tidak Kena
SETENGAH tahun pertama 2017 nampaknya telah memberikan gambaran yang kurang memberangsangkan buat Hollywood.
Mana tidaknya satu demi satu filem yang dicanang dan dijangka mampu meledakkan industri perfileman terkemuka itu terutama filem blokbuster dalam slot musim panas tahun ini tersasar jauh daripada jangkaan.
Bukan hanya dari sudut kutipan yang menyedihkan di Amerika Syarikat (AS) sendiri, tetapi, ulasan yang diberikan juga rata-rata negatif lalu membuatkan ramai yang bertanya apakah Hollywood kini melalui zaman kegelapan.
Untuk Hollywood jatuh merudum itu mungkin tidak tetapi sudah banyak petanda yang membuktikan bahawa Hollywood yang pada satu ketika dahulu dianggap industri perfileman terhebat dunia itu semakin hilang kuasanya.
Perihal ini lebih merujuk kepada keghairahan Hollywood yang sejak 10 tahun kebelakangan ini lebih gemar membikin karya reboot (pembikinan semula), adaptasi komik dan sekuel yang mereka lihat mampu menjana keuntungan berlipat ganda.
Perkara itu ada benarnya tetapi tanpa mereka sedari, pola penontonan peminat juga mula berubah. Buktinya, apabila francais filem terutamanya yang pada awalnya gah semakin kurang memberikan impak.
Salah satunya adalah francais filem Transformers yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 dan kini menduduki tangga ke-10 dalam carta francais filem terlaris di dunia dengan kutipan melebihi AS$4.04 billion (RM17.3 billion) menerusi lima filemnya.
Angka itu juga termasuk dengan kutipan yang dicatatkan oleh filem kelima dan terbaharu dalam francais itu, Transformers: The Last Knight atau Transformers 5 yang baru sahaja ditayangkan lebih kurang seminggu lalu.
Namun, malang buat Transformers 5 apabila ia menerima nasib serupa seperti mana empat filem terdahulu yang terus dikritik hebat sehingga mendapat ulasan negatif daripada sebahagian besar pengkritik filem.
Sehinggakan, kutipan pembukaan untuk Transformers 5 juga adalah yang paling rendah dalam francais itu lalu membuktikan bahawa ia seharusnya diberhentikan sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun.
Penulis yang berkesempatan menonton Transformers 5 di pawagam IMAX semalam harus mengatakan bahawa semuanya serba-serbi tidak kena dengan filem arahan Michael Bay ini.
Lakon layarnya bercelaru, tidak kemas dan begitu longgar sehinggakan teknik suntingan juga tidak mampu menyelamatkan Transformers 5 daripada menjadi sebuah filem blokbuster terhebat tahun ini.
Bahkan, ia turut menyumbang ke arah kegagalan itu dan membuatkan penulis sebagai penonton tidak dapat merasai kehebatan filem ini yang seharusnya mampu menebus kembali atau setidak-tidaknya menjadi filem terbaik dalam francais filem ini.
Kelemahan ketara Transformers 5 terletak kepada jalan ceritanya yang tidak masuk akal, dialog picisan dan hanya sekadar mengitar semula apa yang pernah dipersembahkan dalam filem-filem Transformers sebelum ini.
Dalam erti kata lain, ia dibikin sekadar melengkapkan francais filem ini dan matlamatnya hanyalah untuk mengaut keuntungan.
Kalau hendak merapu sekalipun, bikinlah dengan bijak kerana penonton hari ini semakin bijak untuk menilai walaupun mereka menonton filem hanyalah sekadar untuk berhibur dan laluan untuk lari seketika daripada dunia realiti.
Menyentuh bab lakonan pula, tiada apa yang boleh dibanggakan. Seperti mana plot dan jalan ceritanya, begitulah juga aspek lakonan yang penulis anggap juga dikitar semula.
Penulis melihat watak Cade Yeager (lakonan Mark Wahlberg) itu sendiri seperti mengulangi watak Sam Witwicky yang pernah dibawakan oleh Shia LaBeouf dalam tiga filem terawal Transformers. Cumanya, Cade adalah versi dewasa kepada Sam.
Begitu juga dengan kehadiran watak protagonis wanita Viviane Wembly (Laura Haddock) yang penulis sifatkan tidak ubah hanyalah sebagai objek seksual kepada penonton lelaki terutamanya.
Viviane digambarkan sebagai seorang profesor tetapi imejnya lebih kepada perempuan murahan menerusi bahasa tubuh dan pemakaiannnya.
Watak Autobots baharu, Cogman (suara oleh Jim Carter) mencuri perhatian dengan keletah bersahaja dan lucunya.
Tidak keterlaluan dikatakan, penulis melihat watak Viviane itu sendiri diwujudkan untuk mengembalikan ingatan penonton terhadap watak Mikaela Banes (Megan Fox) yang seksi, menggoda dan menggiurkan.
Tetapi percayalah, apa sahaja kritikan yang diberikan terhadap Transformers 5, ia hanyalah sekadar mencurah air di daun keladi. Mengapa? Selagi ia boleh dibikin untuk memberikan keuntungan, selagi itulah ia akan diteruskan.
Tidak percaya? Memang kena percaya kerana projek filem keenam Transformers pun sudah bermula dan dijangka tayangannya pada tahun 2019 walaupun Bay selaku pengarah untuk lima filem Transformers sebelum ini sudah pun mengibarkan bendera putih.
Bukan itu sahaja, filem spin-off Transformers berjudul Transformers Universe: Bumblebee yang dibintangi bekas calon Oscar, Hailee Steinfeld juga akan menjalani penggambaran Julai ini untuk tayangan tahun hadapan.
The post ‘Transformers: The Last Knight’ Serba-Serbi Tidak Kena appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2tbzHLo
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment