Hi! Welcome Back and Stay Tune! Mahathir dalam pimpinan PH: Kenyataan Media Anwar - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Mahathir dalam pimpinan PH: Kenyataan Media Anwar

KENYATAAN MEDIA ANWAR IBRAHIM

Rakan-rakan dari SUARAM, Otai Reformasi, PSM, beberapa NGO dan badan Islam serta aktivis telah mempertikai keputusan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merangkul Tun Mahathir dalam barisan kepimpinan PH. Mereka khuatir akan berlaku penyimpangan dari landasan gagasan Reformasi dan agenda perubahan. Ada pandangan yang mencurigai muslihat sebenar yakni memadamkan keterlanjuran lalu termasuk penahanan tokoh politik dan aktivis rakyat, pelanggaran hukum dan rasuah. Paling tajam adalah dakwaan bahawa akan berlaku ikhtiar untuk memulihkan corak pemerintahan dan tatakelola era lampau yang juga autokratik seperti rejim kini.

Luahan tersebut adalah dari rakan-rakan setia dan prihatin, yang turut mengalami keperitan perjuangan dan banyak membantu melonjakkan kekuatan pembangkang. Kegusaran tersebut memang berlegar di kalangan masyarakat dan dihebah di media milik UMNO-BN.

Saya hargai teguran rakan-rakan dan menggesa pimpinan PH berlapang dada berunding dan menjelaskan kedudukan sebenarnya. Kerana sesungguhnya, politik baru yang dijana PH tidak membatasi kuasa kepada beberapa kerat pimpinan atau elit; tetapi mengambilkira rintihan, denyut nadi rakyat. Pada asasnya, PH adalah sebahagian utama dari gerakan rakyat. Malah dalam kerangka dasar Pakatan Rakyat sebelumnya - dasar bersama, manifesto dan belanjawan alternatif dilakar dan diolah setelah menimba pandangan rakan-rakan NGO, aktivis termasuk BERSIH. PH akan lebih kukuh dengan memberi ruang wacana segar; menghimpun semua tenaga progresif rakyat dengan hasrat mendamba kebebasan dan keadilan.

Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan, dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi. Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah UMNO-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil mahakaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang. PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman. Penghayatan Islam termasuk pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu dilaksanakan dengan jaminan tegas memelihara hak dan kebebasan penganut agama lainnya.

Pada hemat saya kehadiran Tun Mahathir dan Bersatu adalah dalam kerangka memperluas jaringan dukungan kepada agenda perjuangan yang lebih disepakati. Secara peribadi saya alukan kesediaan Tun untuk turun mengharungi perjuangan bersama. Keperitan peribadi dan luka yang dialami adalah kecil berbanding dengan kepentingan rakyat dan masa depan negara. Tun kini terpaksa bergelut dalam wadah berbeda dan suasana yang tertekan; dan beliau pantas bertindak aktif dan berani. Beliau harus diberikan ruang untuk membantu memperluas jaringan gerakan rakyat. Struktur PH tidak boleh disamakan dengan BN. PH adalah wadah demokratik, memimpin bersama dalam pasukan ketua-ketua parti. Kekhuatiran yang disuarakan mengenai kemungkinan seorang Pengerusi parti mengelencong dari hala tuju yang disepakati tidak mungkin dalam struktur yang wujud. Dasar bersama yang dipersetujui telah didedah kepada khalayak secara telus. Ia adalah agenda rakyat yang diusung oleh PH. Kita perhatikan saja prestasi negeri Selangor dan Pulau Pinang serta wewenang yang diberikan kepada pimpinan negeri. Yang tidak mampu disangkal adalah kejayaan program kepedulian rakyat walaupun kuasa negeri terbatas.

Rakan-rakan NGO dan aktivis berhak untuk terus memantau perjalanan dan prestasi PH dan menegur atau mengemukakan cadangan. Saya tetap berkeyakinan akan peranan mereka terus menunjangi perubahan menjelang PRU ke 14. Sistem pilihanraya yang tempang dan kecoh perlu diluruskan. Kesedaran dan kebangkitan rakyat yang resah dengan tekanan hidup dan merebaknya budaya rasuah tidak mungkin dibendung melainkan dengan tipu-helah perjalanan pilihanraya. Percubaan kerajaan khususnya Peguam Negara melindungi penjenayah skandal 1MDB tidak menghalang tujuh negara meneruskan siasatan yang mereka sebut sebagai "penipuan, rasuah, rompakan harta khazanah negara."

Penyelewengan dan rompakan tidak menemui titik noktahnya; hinggakan kepentingan peneroka, majoriti besar Melayu-bumiputera turut dikhianati. Skandal Felda-FGV berlarutan sekian lama dan kini terbongkar. Menuding peranan seorang tokoh, atau kambing hitamkan seseorang hanya helah licik mengaburi mata peneroka dan rakyat. Kecurangan berleluasa dan kerugian kedua-dua skandal besar ini mencecah puluhan bilion ringgit. Kita boleh senaraikan ratusan kisah keterlanjuran, sebahagiannya diambil tindakan, dan selainnya terus dilindungi.

Menjelang PRU ke 14, UMNO-BN seperti lazimnya akan mengerah jentera kerajaan; media milik mereka; bersama saudagar kaya mengupah pekerja politik dan mengugut rakyat.
PH dan rakan-rakan dalam gerakan rakyat perlu bangkit sebagai kekuatan raksasa, menggalas amanah menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia tercinta.

Anwar Ibrahim
30 Julai 2017


✍ Sumber Pautan : ☕ mountdweller88

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2uW6Ld4

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.