Nazri: PM betul, pesawat baharu tambah jumlah pelancong
KUALA LUMPUR, 16 Sept — Sokongan kerajaan persekutuan untuk Malaysia Airlines membeli 16 lagi pesawat daripada Boeing akan memberi impak positif kepada kemasukan pelancong asing ke negara ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata, Memorandum Persefahaman pembelian masing-masing lapan pesawat 787 Dreamliner dan 737 MAX, yang baru-baru ini dimeterai antara Boeing dan MAB di Washington DC, dijangka akan membuka kembali laluan-laluan antarabangsa yang telah ditutup sebelum ini, sekali gus menjamin pertambahan pelancong asing dari Eropah dan Amerika.
“Sebagai menteri pelancongan, adakah anda tahu bagaimana sukarnya (kepada industri pelancongan) apabila syarikat penerbangan negara terpaksa mengehadkan laluannnya sebelum ini? Masa MAS terpaksa menutup laluan mereka ke Los Angeles, Amsterdam, Frankfurt, Stockholm, dan sebagainya.
“Apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) umumkan mengenai pembelian itu adalah tepat, kerana saya perlukan Malaysia Airlines untuk terbang ke mana sahaja, untuk membawa lebih banyak mereka yang berpotensi sebagai pelancong ke negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keretapi Sarong #SayangMalaysia Peringkat Kuala Lumpur dan Selangor, di sini hari ini.
Mohamed Nazri berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri sewaktu lawatan kerja beliau ke bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini, mengenai pembelian tambahan pesawat berkenaan.
Ditanya mengenai pandangan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa lawatan kerja perdana menteri ke AS tidak mendatangkan hasil, Mohamed Nazri berkata, tidak ada apa yang mengejutkan mengenai pandangan itu kerana Dr Mahathir sentiasa mencari jalan untuk memberi pandangan negatif kepada apa jua usaha kerajaan.
“Amat mudah… dahulu semasa PM ke China, dia (Dr Mahathir) mengecam Najib meniaga dengan China saja.
“Sekarang Najib pergi ke US, nak berniaga dengan US, pun salah juga. Perdagangan kita bukan dalam satu bakul sahaja,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program Keretapi Sarong #SayangMalaysia itu, Mohamed Nazri berkata, ia merupakan anjuran kementerian untuk meningkatkan lagi promosi penggunaan MRT kepada pelancong luar dan dalam negara, di samping mempromosi identiti kebudayaan Malaysia iaitu kain sarong.
“Kementerian mahu menjadikan MRT sebagai produk pelancongan terutama di kalangan 75 peratus pelancong asing yang datang dari negara-negara Asean.
“Diharap dengan promosi berterusan, kita dapat mencapai sasaran 31 juta pelancong asing untuk tahun ini,” katanya lagi.
Program berkenaan, yang mula diperkenalkan sejak tahun 2012, merupakan program “flash mob” yang mana peserta-peserta terdiri daripada penggiat pelancongan, sukarelawan dan pelajar sekolah, termasuk pelancong luar dan dalam negara, memakai kain sarong menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
Program itu bertujuan memupuk dan menyemai semangat #SayangMalaysia menerusi promosi penggunaan produk pengangkutan awam terkini Malaysia iaitu MRT serta pemakaian sarong yang juga merupakan salah satu identiti kebudayaan Malaysia.
Sumber :
– http://ift.tt/1aoZXzE
✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2fcwTv7
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment