Ada Nabi Dari Kalangan Wanita?
PANGKAT Nabi atau Rasul tidak boleh dilobi atau dibeli. Ini kerana ia adalah amanah yang berat lagi mencabar. Jawatan ini tidak sesuai untuk wanita sebagaimana sesetengah peranan yang tidak mampu dilakukan oleh lelaki. Apabila prinsip ini difahami, tidak timbul lagi cemuhan bahawa Islam mendiskriminasikan wanita apabila pangkat nabi dan rasul tidak diberikan kepada mereka.
Begitu juga dengan lelaki, jangan sesekali marahkan Allah SWT jika fisiologi tubuh mereka ‘tidak istimewa’ seperti kaum wanita yang dijenterakan untuk mengandung atau melahirkan anak. Usahlah kerana tiada keistimewaan seperti wanita, maka lelaki menubuhkan persatuan ‘Brothers In Islam’ yang cuba menuntut hak sama rata dengan wanita!
Sudah jelas lagi nyata bahawa Allah SWT hanya melantik para nabi dan rasul dalam kalangan lelaki manusia. Lelaki jin atau manusia wanita tidak dipilih untuk menjadi nabi. Allah sangat sayangkan wanita kerana tugas dan tanggungjawab utusan-Nya itu sangat mencabar minda serta fizikal.
WANITA DIDATANGI JIBRIL
Pun begitu, jika dijelajahi ayat-ayat al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menunjukkan seolah-olah wanita juga mendapat wahyu atau didatangi Malaikat Jibril a.s. Jika sudah didatangi Jibril, pasti wanita istimewa itu seorang nabi! Perhatikan kisah Maryam:
“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikanmu, dan memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu),” (Ali ‘Imran [3:42]).
Juga firman Allah: “Dan bacakan (wahai Muhammad) dalam Kitab al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya daripada mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh daripada Kami (Jibril) lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya,” (Maryam [19:16-17]).
Tambah ketara apabila Allah menggunakan perkataan “Kami wahyukan kepada ibu Nabi Musa a.s.” dalam ayat berikut:
“Dan Kami wahyukan (ilhamkan) kepada ibu Musa: Susukan dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (daripada angkara Firaun), maka (letaklah dia dalam peti dan) lepaskan dia ke laut; dan janganlah engkau rasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi seorang daripada para rasul Kami,” (al-Qasas [28:7]).
JANGAN MUDAH PERASAN!
Orang awam yang tidak mahir dengan seni bahasa Arab, tafsir al-Quran atau rahsia agama pasti keliru dengan ayat yang disebut. Oleh itu, isu ini wajib dirungkai supaya jangan ada wanita pelik di luar sana membuat sidang akhbar mendakwa baru mendapat ‘watikah wahyu atau didatangi Jibril a.s.’ kerana melihat ayat tersebut daripada teropong nafsu yang ditunggang syaitan.
Secara tuntas, prinsip kerasulan seseorang manusia dinyatakan jelas oleh Allah dalam ayat ini.
“Dan Kami tidak mengutus Rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki dari penduduk bandar yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang kafir yang terdahulu daripada mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?,” (Yusuf [12:109]).
Apabila al-Quran berbicara tentang kedatangan Jibril a.s. kepada wanita maka ia bukan merujuk kepada pangkat kenabian sebaliknya kedudukan mereka yang mulia. Buktinya Rasulullah SAW mengukuhkan kisah kunjungan Jibril a.s. dengan sabda yang menobatkan kedudukan tinggi Maryam di seluruh alam:
“Ramai lelaki mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian tanpa pangkat kenabian atau kerasulan), akan tetapi tidak (ramai) mencapai tahap sempurna (dalam kerohanian) selain Maryam binti ‘Imran dan Asiyah isteri Firaun. Dan sesungguhnya kelebihan Aisyah berbanding sekelian wanita seperti daging yang terbaik berbanding semua jenis makanan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
Dalam kerohanian, wanita memang tidak dapat mencapai pangkat nabi tetapi mereka boleh mencapai tahap Wali Allah dan Siddiqah (wanita yang benar imannya). Maryam dinobatkan pangkat tertinggi ini oleh Allah dalam firman-Nya:
“Tiadalah al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu),” (al-Ma’idah [5:75]).
Dalam kes ibu Nabi Musa a.s. pula, perkataan Kami wahyukan itu lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘Kami ilhamkan’. Jika masih ada yang degil mahu mengatakan ia adalah wahyu hakiki dan bukannya ilham, maka sudah pasti ‘lebah dan bumi’ juga selayaknya menjadi nabi kerana Allah turut menggunakan perkataan ‘wahyu’ kepada kedua-duanya:
“Dan Tuhanmu memberi wahyu (ilham) kepada lebah, hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok kayu, dan juga di bangunan yang didirikan oleh manusia,” (al-Nahl [16:68]).
Lihat juga firman Allah pada bumi ketika ia bergegar pada saat kiamat berlaku: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya dan bumi itu mengeluarkan segala isinya, dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: bahawa Tuhanmu telah mewahyukan padanya (memerintahnya berlaku demikian),” (al-Zalzalah [99:1-5]).
Mudahnya, apabila al-Quran menggunakan perkataan wahyu dalam bicaranya kepada makhluk selain para nabi, maka ia membawa maksud ilham atau fitrah yang dicipta pada makhluk itu. Marilah kita dalami al-Quran menurut laluannya yang betul bagi mengelakkan sebarang pemesongan daripada maksud sebenar yang mahu disampaikan Allah.
Ya Allah! Berikan kami semua ketepatan dalam memahami kalam-Mu!
✍ Sumber Pautan : ☕ KAKI PALU
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2C3fWgW
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment