Hi! Welcome Back and Stay Tune! Prinsip Asas Memahami Berita dan Artikel Sains - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Prinsip Asas Memahami Berita dan Artikel Sains

Sejajar dengan pembangunan sains dan teknologi masa kini, laporan perkembangan sains semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat kita. Namun begitu, kami mendapati ada antara kita senang menjadi keliru dan sering terdedah kepada maklumat yang tidak tepat setelah membaca berita dan artikel berkaitan sains di laman sesawang. Kekeliruan dan kecelaruan maklumat sebegini lebih kelihatan terutama sekali dalam bidang sains perubatan dan pemakanan.

Kecelaruan sebegini boleh diatasi apabila pembaca mengambil langkah-langkah proaktif untuk memahami kandungan berita dan artikel sains. Empat langkah berikut boleh dijadikan sebagai garis panduan asas untuk menjadikan anda menjadi seorang pembaca yang lebih kritis.

Tajuk Sensasi

Prinsip pertama yang perlu diambil kira ketika mengolah berita dan artikel sains adalah dengan mengenalpasti tajuknya: adakah ia sengaja disensasikan atau tidak. Para pembaca mungkin boleh mengenalpasti tajuk-tajuk yang sengaja disensasikan seperti “makanan ajaib ini merawat penyakit kencing manis dalam masa tiga hari”. Namun begitu, tajuk yang sengaja disensasikan boleh juga muncul dalam bentuk yang sukar untuk dikenalpasti jika dibaca sepintas lalu.

Sebagai contoh, tajuk seperti “saintis telah menemui penawar bagi barah di dalam tumbuhan herba zafaran” mungkin boleh dicalonkan sebagai tajuk yang disensasikan. Kenapa? Ringkasnya, barah (kanser) merupakan penyakit berbilang faktor dan bentuk serta sangatlah kompleks dari sudut biologi.

Sebagai contoh, barah payudara sendiri mempunyai lima belas jenis. Setiap jenis barah payudara yang tersenarai memerlukan kepada protokol rawatan yang berbeza yang bergantung kepada lokasi, saiz, faktor genetik, dan lain-lain. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah apabila anda membaca berita yang mendakwa makanan tertentu boleh menyembuhkan penyakit yang kompleks seperti barah, anda perlu membuat pertimbangan untuk beredar dari laman tersebut serta merta.

Selain itu, tajuk yang disensasikan mungkin digunakan untuk melariskan jualan produk pemakanan. Jika anda ada terbaca tajuk seperti “suplemen semulajadi ini boleh merawat penyakit buah pinggang”, anda dinasihatkan supaya membaca dengan berhati-hati ataupun terus meninggalkan laman berkenaan.

Untuk melindungi pengguna di Malaysia, portal perkhidmatan farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa pengiklanan produk kesihatan dan kecantikan dilarang membuat tuntutan perubatan terhadap 20 penyakit seperti yang terdapat pada infografik di bawah ini. Jika anda terserempak dengan iklan ubat atau rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit-penyakit kronik dalam masa yang agak singkat, sila laporkan kepada KKM serta merta bagi mengelakkan pengguna-pengguna lain dihujani dengan harapan palsu yang mungkin membunuh.

Sumber Asal

Kualiti berita dan artikel sains berkait rapat dengan sumber asalnya. Secara amnya, berita yang berkaitan dengan kajian sains perlu disertakan dengan sumber asal dari jurnal saintifik. Apabila anda membaca berita sains di laman sesawang, apa yang anda perlu lakukan sebaik sahaja membaca tajuknya ialah mencari pautan ke sumber asal kajian.

Sebagai contoh di laman sesawang Science Daily, pasukan editorial pada laman berkenaan menyertakan sumber asal dari jurnal saintifik pada hampir setiap berita yang diterbitkan. Ini membolehkan para pembaca membuat dua rumusan. Pertama, ia memberikan isyarat kepada pembaca akan kesahihan penemuan yang dilaporkan. Kedua, kajian yang diterbitkan sebagai jurnal tersebut telahpun melalui proses saringan dan pengesahan oleh komuniti sains.

Jika anda berminat untuk melakukan pengesahan yang lebih lanjut, kami mempunyai beberapa petua tambahan. Petua pertama ialah setelah anda berjaya mendapatkan salinan jurnal saintifik tersebut, anda perlu mengenalpasti dimanakah jurnal saintifik itu diterbitkan. Jika ia diterbitkan oleh kumpulan penerbit seperti Nature, Science, The Lancet, New England Journal of Medicine (NEJM) dan yang sewaktu dengannya, ia merupakan hasil kajian yang berkualiti tinggi.

Petua tambahan yang terakhir ialah mengenalpasti pengkaji-pengkaji yang terlibat. Mengikut kepada kebiasaan dan format penulisan jurnal, nama pertama pada senarai penulis lazimnya (tetapi tidak semestinya) merupakan pelajar ijazah falsafah (Ph.D.) manakala nama terakhir merupakan penyelia kepada pelajar berkenaan. Nama-nama lain yang turut serta mungkin pelajar-pelajar Ph.D. dan ahli fakulti yang turut sama menyumbang data dan analisa ketika proses kajian itu dijalankan dan didokumentasikan.

Di sini anda ingin memberikan tumpuan yang lebih kepada nama terakhir iaitu penyelia kerana beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menyelia proses kajian tersebut. Ini kerana lazimnya reputasi sesebuah kajian itu mempunyai kaitan yang agak rapat dengan individu yang menyelia kajian berkenaan.

Organisma Model Bukanlah Manusia

Lazimnya di dalam bidang biologi/bioteknologi, proses untuk membangunkan rawatan dan bahan ubatan baru perlu melalui proses yang sangat lama. Sebagai contoh, vaksin untuk virus denggi mengambil masa lebih 20 tahun untuk dibangunkan. Ketika artikel ini ditulis, vaksin tersebut (Dengvaxia) masih lagi melalui proses percubaan untuk memastikan ia betul-betul efektif dan kesan sampingannya didokumenkan secara rapi dan terperinci.

Apabila pasukan pengkaji menjalankan kajian untuk membangunkan rawatan baru untuk penyakit tertentu, peringkat awal kajian selalunya menggunakan sel-sel manusia atau haiwan tertentu di dalam makmal. Sebagai contoh, kajian untuk membangunkan rawatan kanser (kemoterapi) dijalankan ke atas sel-sel kanser di dalam piring pada peringkat permulaan. Kemudian, kajian tersebut mungkin akan dijalankan ke atas organisma model seperti tikus makmal ataupun cacing bulat.

Apakah maksud yang tersirat disebalik ini? Ringkasnya, apabila anda ada membaca berita yang memaklumkan bahawa sekumpulan saintis telah menemui agen rawatan terbaru untuk penyakit tertentu, anda perlu memberikan lebih perhatian kepada subjek kajian mereka: adakah kajian tersebut dijalankan ke atas manusia atau haiwan?

Sebagai petua ringkas, jika kajian yang diterbitkan itu dijalankan ke atas organisma model seperti tikus makmal, anda boleh membuat jangkaan kasar bahawa rawatan yang sedang dibangunkan itu mungkin mengambil masa 10 hingga 30 tahun untuk dipasarkan ataupun digunakan sebagai protokol rawatan piawai di pusat perubatan. Jangkaan ini realistik dan akan dihuraikan lebih lanjut pada masa akan datang.

Kuasa Statistik

Jika sekalipun kajian berkenaan dijalankan ke atas manusia dan mencatatkan hasil yang positif, kita masih perlu berhati-hati. Proses kajian yang rapi sangat menitikberatkan elemen statistik.

Sebagai contoh, kajian yang diterbitkan oleh Andrew Wakefield pada tahun 1998 hadir dengan kesimpulan bahawa vaksin MMR (measles, mump, rubella) mempunyai kaitan dengan penyakit autisme dan penyakit usus. Namun begitu, kajian yang dilakukan oleh Wakefield menerima kritikan dan reputasi buruk disebabkan oleh dua aspek utama: Wakefield hadir dengan kesimpulan berkenaan berdasarkan kepada 12 orang pesakit sahaja dan Wakefield didapati menjalankan prosedur kajian keatas pesakitnya tanpa mendapatkan kelulusan etika terlebih dahulu.

Jika 12 orang subjek sahaja tidak boleh diterima pakai sebagai bukti kajian, maka berapakah jumlah yang sepatutnya kita perlukan? Jawapannya ialah sebanyak yang mungkin mengikut kesesuaian dan matlamat kajian. Sebagai contoh, untuk melakukan kajian ke atas penyakit yang kompleks seperti darah tinggi memerlukan kepada jumlah sampel dalam lingkungan ribuan dan ke atas. Sebagai contoh, kajian genetik darah tinggi yang dijalankan oleh pasukan pengkaji di Maryland (Amerika Syarikat) menganalisa data daripada 1,017 orang subjek. Walaupun dengan jumlah subjek yang sebegitu ramai, mereka melaporkan bahawa hasil kajian mereka memerlukan tindakan susulan yang lebih terperinci.

Bahkan, kajian yang menggunakan jumlah subjek sekitar ratusan ribu sekalipun jauh daripada keputusan yang benar-benar konklusif. Sebagai contoh, satu kajian penyakit darah tinggi yang diterbitkan pada tahun 1999 ini menganalisa data daripada jumlah subjek melebihi 200,000 orang. Melalui kolaborasi di antara pasukan pengkaji di Cina dan Amerika Syarikat, kajian bagi penyakit darah tinggi ini berjaya mengenalpasti punca-punca darah tinggi dari sudut genetik. Namun begitu, hasil kajian berkenaan hadir dengan persoalan-persoalan yang lebih banyak daripada misteri yang berjaya dirungkaikan.

Tambahan kepada itu, para pembaca perlu diingatkan bahawa korelasi (hubungkait) tidak bermaksud penyebab. Sebagai contoh, apabila anda diberitahu bahawa saintis menemui hubungan di antara tabiat pemakanan daging lembu dan kambing dengan kebarangkalian penyakit kanser kolorektal (colorectal cancer), saintis tidak bermaksud daging lembu dan kambing adalah penyebab utama.

Apa yang disampaikan di sini ialah saintis mungkin berpendapat bahawa daging lembu dan kambing berpotensi menjadi penyumbang kepada peningkatan kes-kes kanser tersebut. Mungkin juga terdapat faktor-faktor penyumbang yang lain yang bertindak secara serentak seperti merokok, makanan ringan, dan lain lain.

Kesimpulannya, kami berharap agar tips dan petua yang kami sediakan ini boleh menjadi panduan ketika anda menyelusuri laman sesawang. Kami sangat menggalakkan agar pembaca-pembaca kami berhati-hati ketika membaca dan menghadam artikel-artikel yang berkaitan dengan sains. Semoga bermanfaat!



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2JBOQga

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.