Kredibiliti Seorang Pendakwah Dalam Berhujah Dengan Orang-Orang Bukan Islam
Berdakwah adalah tanggungjawab setiap orang Islam mengikut keadaan, cara, golongan sasaran dan kemampuan. Allah SWT menegaskan di dalam al-Qur’an: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan pelajaran yang baik dan berhujahlah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125).
Sejak awal kemunculan manusia di muka bumi ini, Allah SWT telah mengutuskan ratusan orang rasul dan ratusan ribu orang nabi bertujuan untuk membimbing umat masing-masing kembali kepada akidah tauhid yang sebenar iaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah SWT” dan beriman dengan semua para nabi dan rasul serta ajaran mereka. Artikel pendek kali ini memfokuskan perbincangan mengenai kredibiliti yang perlu ada pada seorang pendakwah dalam berdebat atau berhujah dengan masyarakat bukan muslim terutamanya pada zaman mutakhir ini.
Zaman mutakhir ini ialah zaman moden yang dilimpahi dengan kecanggihan teknologi maklumat yang tiada batasannya. Bak kata orang, “maklumat semua di hujung jari.” Oleh itu, seorang pendakwah itu perlu mempersiapkan diri mereka dengan segala jenis ilmu pengetahuan, ibarat mempersiapkan pelbagai jenis senjata untuk pergi berperang, tetapi bukan peperangan fizikal, melainkan “peperangan dalam berhujah.” Disebabkan itu, salah satu sifat wajib bagi seorang rasul ialah “fatonah” (bijaksana). Penulis telah menulis sebuah artikel sebelum ini bertajuk “Ciri dan Sifat Para Nabi dan Rasul Menurut Islam” siaran pada 22 Mac 2018.
Penguasaan dan pemahaman terhadap isi kandungan Kitab Suci al-Qur’an dan hadith adalah suatu pengetahuan yang wajib bagi seorang pendakwah. Untuk bendakwah dengan orang-orang non-Muslim yang beragama seperti Yahudi, Kristian, Hindu dan Buddha, adalah suatu bonus kelebihan jika pendakwah tersebut menguasai isi kandungan kitab-kitab suci agama mereka seperti Talmud, Bible, Veda dan Tripitaka. Ketika penulis pertama kali menonton video-video siri debat dan syarahan Allahyarham Shaykh Ahmed Deedat rahimullah (1918-2005), penulis berasa takjub melihat penguasaan beliau terhadap isi kandungan kitab Bible.
Legasi beliau diteruskan pada masa kini oleh Dr. Zakir Naik yang bukan sahaja menguasai isi kandungan Kitab Suci Bible, malah kitab suci agama Hindu dan Buddha. Sekadar perkongsian dengan para pembaca, para pembaca boleh muat turun secara percuma video-video dan buku-buku syarahan dan perdebatan Shaykh Ahmed Deedat dan Dr. Zakir Naik melalui laman web TruthwayTV, pautannya: https://ift.tt/2ulOrck.
Ini penting kerana supaya kita dapat mempersembahkan persamaan antara isi kandungan al-Qur’an dengan isi kandungan kitab-kitab suci yang lain selari dengan firman Allah SWT di dalam al-Qur’an yang menyuruh umat Islam menyeru golongan Ahli Kitab: “Wahai Ahli Kitab (khusus kepada Yahudi dan Kristian), marilah kamu kepada suatu kalimat yang bersamaan antara kami dan antara kamu…..” Apakah persamaan tersebut? Disambung dalam ayat tersebut: “……(iaitu) bahawa tiada Tuhan yang kita sembah kecuali Allah dan tiada kita mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun dan tiada setengah kita mengangkat yang lain menjadi Tuhan, selain, dari Allah.” (Ali Imran: 64). Bible juga menyatakannya dengan jelas sebanyak dua kali di dua tempat: “Hear, O Israel: The LORD our God is one LORD.” (Deuteronomy, 6:4 dan Mark, 12:29), bukannya tiga dalam satu, lima dalam satu atau sepuluh dalam satu.
Berhujah dengan orang-orang bukan Islam yang ateis atau agnostik pula memerlukan seseorang itu menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan sains dan ilmu-ilmu kosmologi, geologi, biologi, fizik, kimia dan sebagainya. Bagaimana peristiwa “Big Bang” telah lama disebutkan di dalam al-Qur’an, proses kejadian manusia di dalam rahim, asal-usul kehidupan, pemisahan dua jenis lautan seolah-olah ada benteng antara keduanya, gunung-ganang sebagai pasak bumi dan pelbagai lagi ilmu pengetahuan berkenaan kejadian alam dan manusia di dalam al-Qur’an. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa: “Al-Quran is a book of SIGNS & not a book of SCIENCE.” Al-Qur’an tidak menjelaskan perincian proses kejadian alam tersebut kerana al-Qur’an menggalakkan supaya manusia sentiasa mengkajinya sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (kejadian) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di muka bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kekuasaan Allah) terapung-apung antara langit dengan bumi; Sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (al-Baqarah, 164).
Antara tokoh ilmuan barat yang mengakui kagum dengan kemukjizatan al-Qur’an dari sudut sains seperti Dr. Maurice Bucaille dan Prof. Keith Moore. Mereka pakar dan amat dikenali dalam bidang masing-masing dan mengakui kebenaran al-Qur’an walaupun mereka tidak pernah menyatakan keislaman secara terang-terangan. Hidayah atau petunjuk adalah milik mutlak Allah SWT yang dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Kadang-kala, hujah akal yang logik tidak semestinya berdasarkan fakta, ia boleh berdasarkan perumpamaan, apa yang penting mesej sebenar sampai atau difahami. Sebagai contoh suatu hujah yang berlaku antara seorang shaykh muslim dengan seorang mubaligh Kristian. Ini pernah diceritakan oleh Shaykh Ahmed Deedat. Seorang mubaligh Kristian tidak berputus asa menasihati rakannya, seorang shaykh muslim supaya mempercayai bahawa Isa (Jesus) sebagai Tuhan dengan penuh kasih sayangnya telah mengorbankan dirinya sendiri supaya dapat menyelamatkan umat manusia daripada belenggu dosa. Bosan dengan nasihat tersebut sehari-harian, shaykh tersebut menyuruh seorang pembantunya berbisik sesuatu ke telinganya ketika mubaligh Kristian tersebut datang ke rumahnya.
Seperti biasa, mubaligh Kristian tersebut datang ke rumah shaykh tersebut menyampaikan ajarannya. Datang pembantu shaykh tersebut berbisik sesuatu kepada shaykh tersebut seperti yang diarahkan. Tiba-tiba shaykh tersebut menangis teresak-esak, sehingga mubaligh Kristian bertanya akan khabar berita yang diterimanya. Shaykh tersebut menjawab beliau baharu sahaja mendapat perkhabaran bahawa Malaikat Jibril telah mati. Mubaligh Kristian tersebut ketawa dan berkata mana boleh malaikat mati. Shaykh tersebut menjawab, jadi bagaimana pula kamu boleh mengatakan Tuhan boleh mati?
Terdapat juga soalan-soalan daripada non-muslim yang boleh mengelirukan seperti sekiranya Tuhan itu maha berkuasa melakukan sesuatu, mengapakah Dia tidak boleh menghasilkan anak kandungnya sendiri, atau mewujudkan diri-Nya dalam bentuk fizikal yang lain dan berbeza-beza? Oleh sebab itu, penguasaan ilmu tauhid berkenaan sifat-sifat wajib dan mustahil bagi Tuhan amat penting dan ini diterjemahkan dengan soalan kembali kepada penyoalnya seperti “Sekiranya benar dakwaan kamu mengatakan bahawa Tuhan maha berkuasa melakukan segala sesuatu, adakah Dia yang bersifat tiada permulaan sebagaimana yang saya dan kamu percaya, boleh menciptakan Tuhan lain yang juga tiada permulaan, atau membuang saya di luar kawasan kekuasaan-Nya?
Sudah tentu jawapannya tidak boleh.” Apabila Tuhan menciptakan sesuatu, maka ianya mempunyai permulaan, begitu juga tiada suatu tempat pun yang berada di luar kekuasaan-Nya. Tuhan maha berkuasa melakukan sesuatu tetapi hanya pada perkara-perkara ketuhanan. Keterbatasan tersebut bukanlah bermakna Tuhan itu lemah, tetapi keterbatasan itu adalah sifat Tuhan yang tidak menyerupai atau setara dengan mana-mana makhluk ciptaan-Nya.
Islam menganjurkan perdebatan dengan cara yang paling baik sepertimana ayat al-Qur’an Surah an-Nahl, ayat 125 di atas. Ini bermaksud seorang pendakwah perlu mengawal emosi dan etikanya walaupun ketika diprovokasi. Penulis berasa kagum dengan cara, ketegasan dan kesungguhan pendakwah-pendakwah muslim berdebat dan berhujah di Speaker Corner, Hyde Park, United Kingdom seperti saudara Mansur, saudara Hashim, saudara Muhammad Hijab, saudara Adnan Rashid, saudara Zakir Hussein dan ramai lagi. Para pembaca boleh menonton video-video perdebatan mereka dalam laman Facebook dan YouTube SCDawah Channel, pautan: https://www.youtube.com/channel/UCnZPtuya_yUUqGZGHk1nEOA/videos?pbjreload=10. Tonton bagaimana mereka berlawan hujah ilmiah dengan bijaksana dengan pelbagai latar belakang personaliti dan kepercayaan mubaligh-mubaligh, aktivis-aktivis dan pengunjung-pengunjung di sana.
Begitu juga gaya dan penyampaian para pendakwah antarabangsa yang lain seperti Shaykh Yusuf Estes, Shaykh Hamza Yusuf dan Dr. Shabir Ally. Mereka adalah tokoh-tokoh pendakwah hebat yang penulis kagumi dalam berhujah dengan orang-orang bukan Islam. Setiap mereka ada gaya penyampaian mereka sendiri seperti Shaykh Yusuf Estes sering menyelitkan unsur-unsur lucu dalam syarahan dakwahnya tetapi mesej yang ingin disampaikan jelas dan sampai kepada hadirin. Tonton video-video syarahan mereka dan lihat bagaimana mereka berhujah dengan orang-orang bukan Islam dalam sesi soal jawab.
Nabi Muhammad SAW tatkala dibaling batu sehingga luka berdarah seluruh tubuh badannya ketika berdakwah di Taif tetapi baginda masih memohon keampunan dan hidayah Allah SWT kepada penduduk Taif ketika itu. Kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam berdakwah adalah suatu ciri yang tidak dapat dipisahkan daripada para nabi dan rasul dan seharusnya kita mencontohinya. Akhlak adalah aset paling penting bagi seorang pendakwah kerana dengan akhlak keperibadian yang mulia juga mampu menarik minat orang-orang non-muslim mendekati Islam. Nabi Muhammad SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak seperti firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu Muhammad, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’, ayat 107).
Dakwah terhadap orang-orang bukan Islam tidak hanya disampaikan melalui majlis-majlis dan video-video rakaman syarahan dan perdebatan, dakwah juga boleh disampaikan melalui pena iaitu penulisan dan penerbitan buku dan risalah mengikut audien dan kumpulan sasaran. Oleh itu, penguasaan pelbagai bahasa juga memainkan peranan utama dalam berdakwah terutamanya bahasa Inggeris. Kebiasaannya, tajuk yang ringkas dan menarik serta isi kandungan yang bersifat “straight to the point” dan tidak panjang lebar seperti karya-karya Shaykh Ahmed Deedat: “Is The Bible God’s Word?” “What The Bible Say About Muhammad (pbuh)?” dan “Al-Qur’an, The Miracle of Miracles” semuanya nipis, (kecuali magnum opus beliau: “The Choice”) menarik minat dan memudahkan pembacaan orang awam.
Islam tidak memaksa orang-orang bukan muslim menerima Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 156: “Tidak ada paksaan untuk (memeluk) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat, kerana barangsiapa yang ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Tujuan utamanya adalah untuk menyampaikan, berhujah dengan bijaksana, berakhlak dan penuh ilmiah, supaya orang-orang non-muslim memahami ajaran sebenar agama Islam. “Agree to disagree.” Sebaik sahaja mereka memahami dengan jelas mesej yang telah disampaikan, terpulang pada mereka untuk membuat keputusan sama ada menerima mahupun menolak, sepertimana firman Allah SWT: “Bagi kamu agamamu, bagiku agamaku.” (al-Kafirun, ayat 4).
Ini bertujuan supaya mereka tidak menghina Islam atau bersangka buruk terhadap ajaran Islam disebabkan fitnah-fitnah terhadap Islam dan umatnya yang disebarkan oleh kebanyakan media Barat dan golongan anti-Islam yang berusaha menanamkan ideologi “Islamophobia” dalam pemikiran masyarakat bukan Islam.
✍ Sumber Pautan : ☕ Macam Macam hal laaaa... Anda patut tahu!!!
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2upTNTX
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment