Ahli politik Hungary dibidas cadang letak babi halang pelarian
BUDAPEST: Seorang anggota Parlimen Eropah dari Hungary menimbulkan kemarahan selepas mencadangkan kepala babi disusun di sepanjang pagar sempadan negara itu sebagai langkah menghalang pelarian masuk.
Gyorgy Schopflin, bekas kakitangan badan penyiaran Britain BBC dan profesor berpengkalan di London, berkata meletakkan kepala babi di sepanjang pagar itu berkesan dalam menghalang pelarian masuk, menurut laporan Reuters.
Kenyataan itu dipercayai dibuat kerana latar belakang agama Islam pelarian yang kebanyakannya dari Timur Tengah.
Ia mengundang kecaman pengarah media Human Rights Watch di Brussels, Andrew Stroehlein, yang membidas kenyataan bersifat perkauman itu.
“Kamu memalukan Hungary, Eropah dan seluruh umat manusia,” kata Stroehlein
Di bawah pentadbiran konservatif Perdana Menteri Viktor Orban, Hungary mengambil pendirian paling tegas berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain bagi menghalang kebanjiran pelarian.
Tahun lalu, negara itu memasang pagar berduri di sepanjang bahagian selatan negara itu dengan dikawal beribu-ribu anggota tentera.
Hungary akan mengadakan pungutan suara pada 2 Oktober bagi menilai sokongan umum terhadap dasar EU mewajibkan penempatan pelarian.
Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today
Post a Comment