Pelakon ‘Appalam’ kena denda RM800, amuk hingga kerusi pecah
PETALING JAYA, 12 Ogos ― Seorang pelakon lelaki popular filem Tamil tempatan didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini gara-gara mengamuk dan memecahkan sebuah kerusi plastik bernilai RM35, minggu lepas.
Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Gana Pragasam, atau lebih dikenali sebagai Gana, 48, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada empat anak lelaki itu dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Gana merupakan penerbit, pengarah dan pelakon terkenal menerusi beberapa filem antaranya Appalam arahan Afdlin Shauki dan Naan Oru Malaysian (I am Malaysian) arahan Panchacharam Nalliah atau dikenali sebagai Pansha.
Dia didakwa melakukan perbuatan khianat dan telah menyebabkan kerosakan pada kerusi plastik di pondok pengawal keselamatan Taman Perumahan Atillia dan Allisia, Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara, di sini pada pukul 10.20 malam, 4 Ogos lepas.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Salamiah berkata mahkamah menjatuhkan hukuman itu bukan semata-mata nilai kerugian yang hanya bernilai RM35, tetapi sebaliknya bagi memberi pengajaran supaya tertuduh mengawal kemarahan.
“Kenapa perkara semudah (arahan pengawal keselamatan) itu tidak boleh dipatuhi, kenapa merosakkan seumur hidup dengan mempunyai rekod jenayah, umur sudah 48 tahun terpaksa masuk mahkamah. Kerana kesalahan ini, ia akan direkod atas nama kamu selamanya. Reputasi baik yang kamu jaga selama ini telah pun terpalit,” katanya.
Gana yang menganggukkan kepalanya kemudian memberitahu dia sudah 10 tahun tinggal di kawasan perumahan itu dan melakukan perbuatan itu kerana tertekan dengan tindakan pengawal warganegara Nepal yang menghalangnya selain tidak dapat berbincang dengan baik kerana masalah komunikasi bahasa.
Pelakon itu yang diwakili peguam Puvarasan B R didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Gana telah ditahan oleh seorang pengawal keselamatan yang menyuruhnya menggunakan laluan pelawat kerana Gana tidak membawa kad akses untuk masuk ke perumahan itu.
Gana yang berang dengan arahan itu telah memarahi pengawal keselamatan sebelum keluar dari kenderaannya dan memecahkan sebuah kerusi plastik yang berada di pondok pengawal.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya. — Bernama
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/2b39abg
Today updated news promoted by Mukah Pages
Post a Comment