Hi! Welcome Back and Stay Tune! 80 peratus pengusaha industri halal adalah bukan Islam, umat Islam di Sarawak perlu lebih proaktif – Abang Johari - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

80 peratus pengusaha industri halal adalah bukan Islam, umat Islam di Sarawak perlu lebih proaktif – Abang Johari

BANJARMASIN, Indonesia: Sekitar 80 peratus industri makanan halal, baik di negeri Sarawak mahupun di peringkat global berada di tangan orang bukan Islam.

Sehubungan itu kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, umat Islam di Sarawak diseru untuk melibatkan diri secara serius dalam industri ini.

“Ia boleh bermula dengan tindakan secara individu, secara berpersatuan mahupun melalui agensi-agensi kerajaan. Kita semua adalah pengguna tegar barangan dan perkhidmatan halal.

“Namun bukan semua kita adalah penyedia, atau pembekal, atau pembuat barangan dan perkhidmatan halal tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucap tama bertajuk “Melestari Halal Di Borneo: Perspektif Sarawak” di Konferansi Antarabangsa Islam Borneo ke-9 (KAIB), di Universitas Lambung Mangkurat, dekat sini, semalam.

Perkara ini katanya mungkin berpunca daripada kekangan tertentu baik dari segi kewangan mahupun kekuatan ekonomi.

Tambahnya, dalam kes rumah penyembelihan binatang ternakan misalnya, tidak semua kita (masyarakat Islam) yang empunya. Tidak semua kita mampu mengoperasikannya.

“Bahkan kita bergantung banyak hal kepada golongan bukan Islam terhadap sumber tersebut.

“Begitu juga halnya dengan binatang untuk sambutan raya korban. Hampir tiap tahun kedengaran rungutan dan kritikan terhadap sistem penyampaian dan penyediaan haiwan ternakan korban tersebut.

“Belum lagi isu ketidakcukupan sumber binatang ternakan tersebut di pasaran.

Umat Islam katanya, hanya hebat mengheboh-hebohkan isu dan masalah ini. Namun belum ada keputusan dan tindakan penyelesaian konkrit dilakukan.

“Justeru itu, pada hemat saya, Majlis Islam Sarawak (MIS) tidak dapat tidak perlu mengorak langkah dan mengambil tindakan proaktif dalam menangani dan menyelesaikan isu-isu berbangkit tentang halal ini.

“MIS tidak dapat bertindak berseorangan, tetapi memerlukan rakan kongsi dalam mengorak langkah dan menyusun pelan perancangan strategik pembangunan halal untuk negeri Sarawak.

Rakan-rakan kongsi ini katanya, ialah agensi-agensi Islam yang bernaung di bawah payung MIS sama ada secara hubungan pentadbiran mahupun hubungan perundangan; serta institusi-institusi Lembaga Amanah Khairat, institusi Lembaga Kebajikan Amanah Masjid, dan Lembaga Tabung Baitulmal Sarawak.

“Dengan berbekalkan aset dan sumber kewangan yang sedia ada, kemampuan sumber guna tenaga yang terlatih, dan bimbingan serta panduan daripada agensi-agensi yang berkaitan halal, amat pasti peranan dan penglibatan kita sebagai pemain industri halal akan lebih berkembang.

“Malah mereka ini dapat menyuntik dana pusingan dalam pelaburan untuk industri halal Sarawak, sesuatu yang boleh diibaratkan sebagai menunaikan tanggungjawab fardhu kifayah bagi umat Islam di negeri ini.

Inisiatif ini jelasnya amat penting kerana potensi industri halal di negeri ini memang tidak boleh dinafikan lagi.

“Produk halal dalam apa jua jenis sekalipun adalah diiktiraf sebagai produk yang selamat dan mempunyai jaminan kualiti.

“Kerana itulah pemain-pemain industri halal dari seluruh pelosok dunia, daripada syarikat besar multinasional hinggalah ke syarikat kecil, berlumba-lumba untuk merebut peluang ekonomi dalam bidang pasarannya yang semakin berkembang dan meningkat,” katanya lagi. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.