Hi! Welcome Back and Stay Tune! Maksud genggaman tangan Mahathir, Anwar - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Maksud genggaman tangan Mahathir, Anwar

KUALA LUMPUR: Apakah maknanya apabila dua pemimpin yang sudah hampir dua dekad berseteru, tiba-tiba berjabat tangan, bertegur sapa dan saling bertukar fikiran?

Kita boleh membaca lebih sekadar Tun Dr Mahathir ingin berjumpa dan berjabat tangan dengan musuh politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memang ada yang mempertikaikan keikhlasan Dr Mahathir dan menyifatkan ciuman beliau sebagai ciuman maut.

Tidak kurang pula yang cuba mengingatkan Anwar tentang perkara yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu 18 tahun lalu sehingga beliau meringkuk di dalam penjara.

Penganalisis politik menjangkakan peristiwa itu mungkin menjadi titik perubahan landskap politik dalam kalangan pembangkang dan politik tanah air.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata titik sejarah itu perlu dipandang serius oleh Barisan Nasional (BN) kerana pertemuan itu bukan sekadar untuk menghantar mesej kepada kepemimpinan dalam pembangkang tetapi juga amaran kepada kerajaan.

Tentu tidak mudah bagi Dr Mahathir untuk membuat keputusan berjumpa dengan Anwar yang dipecatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Peristiwa itu telah mencetukan gelombang protes dan demonstrasi jalanan sehingga ada pihak ketika itu menjangka Dr Mahathir tumbang daripada kerusi Perdana Menteri. Namun, akhirnya beliau kekal di kerusi itu selama 22 tahun.

Anwar yang didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes liwat akhirnya disumbatkan ke dalam penjara.

“Sebelum mereka bertindak untuk bertemu, pastinya mereka sudah membuat suatu perkiraan yang menyeluruh. Untuk itu BN perlu berhati-hati dan melihat perkembangan tindakan selanjutnya oleh kedua-dua pemimpin ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

“Jelas bukan mudah untuk Mahathir sendiri mengunjungi, bersalaman dan berbicara dengan seteru politiknya selepas 18 tahun Anwar dipecat,” jelas Dr Jeniri lagi.

Tambah beliau: “Maksudnya, pasti ada sesuatu yang menggerakkan beliau untuk meleburkan ego politiknya sehingga bersedia membuka hatinya kepada orang yang pernah dimasukkannya ke penjara…sesuatu yang amat penting dan kuat.”

“Ini mungkin titik tolak yang memberi sinar baru kepada masa depan politik Malaysia dan menjurus ke arah kerjasama politik lebih bermakna dalam kalangan pembangkang bagi berdepan dengan BN dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Kelmarin, kehadiran Dr Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak.

Namun, ketika diminta media mengulas soal kehadirannya itu, Dr Mahathir menafikan soal berbaik-baik,  tetapi mengulang beberapa kali kehadirannya ada kaitan dengan akta tersebut.

Dalam pada itu, menurut laporan itu lagi, Jeniri akui masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian namun sama ada pertemuan itu bakal mencoret sejarah baharu dalam landskap politik tanah air atau tidak, ia bergantung kepada perkembangan selanjutnya pasca pertemuan tersebut.

“Bergantung pada bagaimana perkembangan politik atau tindakan yang akan diambil Mahathir dan kumpulan Anwar dalam minggu-minggu yang akan datang.

“Kalau ada sesuatu yang konkrit berlaku dari segi kerjasama dalam kalangan parti politik pembangkang ini, kemungkinan kita dapat mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna kerana mereka tidak ada pilihan sebenarnya jika betul-betul nak menumbangkan BN kecuali bersatu dari segi hati dan strategi. Ini juga termasuk dengan memastikan Pas berada di pihak mereka,” katanya. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.