Hi! Welcome Back and Stay Tune! Betulkah sentimen anti-Semenanjung semakin kuat sekarang? - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Betulkah sentimen anti-Semenanjung semakin kuat sekarang?

Selepas 59 tahun  Merdeka dan 53 tahun pembentukan Malaysia, bagaimanakah tahap kesepaduan sosial, perpaduan dan integrasi nasional di negara kita?  

Bolehkah kita  dengan pasti mengatakan bahawa kita sudah mencapai perpaduan dan integrasi nasional?  Atau sebaliknya, semangat kita semakin terpisah dari segi hubungan etnik, termasuk sentimen rakyat Sarawak, Sabah dengan Semenanjung?

Adakah slogan Sarawak for Sarawakian  dan Sabah for Sabahan mendatangkan keuntungan? Atau ia lebih banyak membawa kemudaratan dan sikap kebencian terhadap Semenanjung?

Jawapan yang jujur, ikhlas dan objektif amat dituntut. Jangan memberi jawapan yang emosional.

Sesetengah pihak merujuk  kepelbagaian etnik di negara ini sebagai many colours, once race.  Di Indonesia kesatuan dalam kepelbagaian atau Binneka Tunggal Ika menjadi mantra atau tonggak kesatuan bangsa.  

Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) telah mengitari 18 buah bandar utama di seluruh negara dalam sesi Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi tidak lama dahulu.

Apakah pandangan, komen dan cadangan yang telah dikemukakan oleh rakyat pelbagai etnik, agama dan budaya dari pelbagai negeri itu?

Adakah terdapat sesuatu yang berbeza daripada pandangan arus perdana? Mendengar suara akar umbi, rakyat di peringkat bawahan daripada pelbagai latar belakang berbeza tentu satu daripada pendekatan terbaik dan pragmatik untuk menyelami perkara yang terbuku di hati mereka selama ini.

Setiap etnik dan agama, serta rakyat di pelbagai negeri mempunyai perspektif  dan aspirasi masing-masing, serta saranan untuk memantapkan kesepaduan dan perpaduan.

Polarisasi kaum dan negeri tidak baik untuk  masa depan Malaysia yang sekian lama bangga dengan hubungan etnik yang aman dan harmoni, serta integrasi nasional yang telah dipupuk untuk lebih setengah abad.

Ramuan terbaik perlu dicari bagi mengelakkan polarisasi etnik dan negeri.  

Dengan landskap sosiopolitik yang sudah berubah, ekoran peningkatan kadar celik huruf dan celik politik, pendedahan kepada media baharu, pertambahan golongan kelas menengah, serta kadar perbandaran yang meningkat, keadaan ini memberi kesan kepada bagaimana sesuatu kaum dan rakyat di sesebuah negeri menanggapi sesuatu isu yang berkembang dalam masyarakat dan negara.

Apakah kesannya terhadap hubungan rakyat ekoran tuntutan hak dan autonomi oleh Sabah dan Sarawak?

Bagaimana kesannya dengan permintaan dan desakan agar keutamaan diberi kepada rakyat Sarawak sebagai guru dan juga peluang untuk bekerja dengan Petronas? Wajarkah tuntutan itu? Bagi anak negeri, mereka berhak diberi lebih banyak peluang kerana minyak berkenaan terdapat di negeri mereka, dan mereka juga layak dari segi pengalaman, ilmu dan kemahiran.

Perbincangan tentang pelbagai isu yang dahulu dianggap sensitif tidak lagi dapat dikawal atau sekadar menjadi hak media arus perdana.

Namun, isu membabitkan kepentingan negeri,  kaum, bangsa, agama, budaya, perlembagaan, ekonomi dan beberapa lagi jika tidak dikawal boleh membakar hati dan negara kita.

Kita tidak boleh membiarkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memusnahkan negara ini dengan komen-komen yang tidak mengambil kira sensitiviti etnik dandan negeri.

Rakyat di negara ini perlu belajar untuk menghargai dan menerima kewujudan etnik dan rakyat pelbagai negeri sesuai dengan hakikat kita hidup di bawah langit yang sama.

Sesungguhnya, perpaduan tidak harus membabitkan soal dasar yang dipaksakan dari atas. Rakyat sebagai pihak yang secara langsung merasai keadaan dan kesan keadaan hubungan etnik  dan negeri perlu dibabitkan dalam dasar yang hendak dilaksanakan.

Justeru, pendekatan dari bawah ke atas merupakan strategi terbaik untuk benar-benar mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, baik membabitkan soal kemudahan asas, ekonomi, tadbir urus atau media massa.

Tanpa sikap toleransi, perpaduan, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan rakyat di negara ini, sudah tentu rakyat tidak dapat menikmati kehidupan dalam suasana harmoni serta rukun damai.

Kita sedar bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini adalah berkat kestabilan sosial dan politik dalam tempoh sejak kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Percakaran memang berlaku, sesuai dengan hakikat sedangkan lidah lagi tergigit. Namun, percakaran tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana bagai api yang marak, pergaduhan yang  tidak dkawal, sukar ditangani. Membina masyarakat yang teguh dari segi kesepaduan sosial dan integrasi nasional memakan masa yang panjang.

Kerajaan hendaklah mengutamakan perpaduan dan kepentingan rakyat dengan memastikan rakyat pelbagai etnik di negara ini dapat menikmati kekayaan negara hasil pembangunan dan perancangan yang dilaksanakan.

Kesepaduan sosial dan perpaduan nasional dapat dicapai jika rakyat faham akan sejarah negara, memahami budaya dan agama masing-masing, dan menerima etnik dari negeri  lain seadanya.

Hanya dengan kesepaduan sosial dan perpaduan nasional yang utuh, rakyat kita dapat hidup aman damai. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.