Terputus bekalan elektrik jadi drama bersiri di Kabong
KABONG: Daerah Kabong terus dicengkam masalah gangguan bekalan elektrik dan mengundang pelbagai reaksi penduduk.
Seperti drama bersiri, awal pagi tadi bekalan elektrik terputus kira-kira jam 4.10 pagi dan berlarutan sehingga jam 7 pagi hari ini.
Gangguan bekalan elektrik berkenaan seperti biasa tidak diketahui punca sebenar ia terjadi.
Ekoran daripada masalah berkenaan seorang penduduk, Ghazali Daud, 52, menyarankan agar pihak yang berkenaan mengambil langkah segera dengan menempatkan kakitangan atau juruteknik elektrik untuk berada di kawasan Kabong bagi memastikan setiap kali berlaku terputus bekalan elektrik tindakan dapat diambil segera.
” Apabila berlaku bekalan elektrik terputus maka penduduk terpaksa membuat aduan ke pejabat pihak berkenaan di Saratok yang jaraknya dalam 60 kilometer.
“Pergerakan pihak petugas ke tempat yang terlibat akan mengambil masa yang lama untuk mengesan punca masalah. Jika pihak terlibat berada di Kabong maka mereka akan lebih cepat bertindak.
” Kadang-kadang penduduk sukar untuk menghubungi pihak yang bekenaan kerana apabila tiada bekalan elektrik, rangkaian telefon selular juga tidak berfungsi. Ini akan membuatkan proses memulihkan bekalan elektrik yang terputus menjadi lebih lama,” ujarnya.
Gangguan bekalan elektrik yang berlaku awal pagi turut mengganggu murid sekolah yang membuat persiapan untuk turun awal ke sekolah bagi menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari terakhir hari ini .
Turur terjejas petugas peperiksaan yang berada di bilik kebal tempat di mana kertas soalan ujian UPSR di tempatkan dan diagihkan kepada para pengawas peperiksaan. Kertas-kertas soalan berkenaan perlu dikeluarkan seawal jam 5.30 pagi.
Apa yang pasti sepanjang bulan Ogos dan kini memasuki bulan September masalah bekalan elektrik terputus di kawasan ini seakan seiring dengan kerancakan sambutan meraikan bulan kemerdekaan.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment