Henti Sebar Maklumat Salah Ekonomi Negara – Rahman Dahlan
PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan menggesa rakyat Malaysia dan pihak tertentu supaya berhenti menyebar perkara yang boleh menimbulkan rasa bimbang berkaitan kedudukan ekonomi negara.
Menerusi laman media sosial, Facebook beliau pada Khamis, Abdul Rahman menafikan dakwaan yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan amaran kemungkinan hutang negara meningkat susulan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
“Kebimbangan dan persoalan yang timbul adalah nisbah kita mencapai hampir 55 peratus untuk had yang ditetapkan kerajaan Barisan Nasional dan jika gagal mematuhinya akan menimbulan masalah kepada negara.
“Malahan ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan mesej mendakwa Malaysia akan muflis jika gagal mencapai tahap 55 peratus itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa, semua perkara negatif yang disebarkan berkaitan negara ini adalah tidak benar.
Menurutnya, nisbah hutang negara berbanding KNDK masih dapat diurus dan Malaysia masih merasai perkembangan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia berkembang 17 kali ganda sejak 1986 dan adalah sesuatu yang munasabah iaitu dengan peningkatan pendapatan, negara ini akan lebih selesa dan mampu untuk menanggung lebih hutang berbanding sebelum ini.
Beliau menambah, nisbah hutang berbanding KDNK sekarang adalah 53.4 peratus adalah rendah berbanding 103.4 peratus antara 1980 dan 1985 lalu.
“Jika kita tidak bankrup ketika mencatat kadar 103.4 peratus pada 1985, jadi mana mungkin kita akan mengalaminya pada 55 peratus,?” soalnya.
Abdul Rahman berkata, tahap hutang negara perlu dilihat daripada segi pendapatan, bukannya berasaskan terma mutlak.
Terdapat 70 negara dengan nisbah hutang dan KDNK lebih tinggi berbanding Malaysia, katanya termasuk negara membangun seperti Jerman, Kanada, Amerika Syarikat dan Singapura.
“Rakyat Malaysia dan parti politik tertentu sepatutnya mengelak daripada menyebar maklumat tidak benar yang boleh menakutkan rakyat, sekali gus menyebabkan pelabur dan pengguna hilang keyakinan kepada ekonomi negara.
“Tindakan ini seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara,” katanya. – Mstar
.
Contributer : Malaysia Chronicle http://ift.tt/2bXPSqA
Post a Comment