Penjaga rumah urut didakwa perdagang enam wanita untuk seks
IPOH: Seorang penjaga rumah urut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan enam wanita warga asing untuk tujuan eksploitasi seksual, pada Ogos lepas.
Chong Lim Fatt, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.
Tertuduh menghadapi enam pertuduhan memperdagangkan wanita warganegara Thailand berumur antara 30 hingga 40 tahun di sebuah rumah di Taman Siswa, Kampar, dekat sini, antara 2 Ogos hingga 18 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Chong diikat jamin sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh menyerahkan pasport miliknya.
Ikmal Hishan menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof, Fadhli Ab Wahab dan Nurul Azriah Zaid manakala tertuduh diwakili peguam Bernard Francis. – Bernama
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment