Menghayati ibadah haji dan korban pada Aidiladha
Hari ini, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Hari Raya ‘Eidul Adha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban.
Dalam menyambut lebaran ini, seluruh kaum Muslimin di seantero dunia dan di mana jua berada akan menyambutnya dengan takbir, tahmid dan tahlil, sebagai ungkapan rasa syukur dan sukacita atas pelbagai nikmat yang telah Allah SWT anugerahkan.
Pada masa yang sama di Mekah, tiga juta umat Islam sedang meraikan ibadah Rukun Islam Kelima.Ibadah ini merupakan satu manifestasi iman.
Mereka sedang berhimpun melakukan ibadat untuk taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT, Pencipta sekalian makhluk yang ada di muka bumi ini.
Semoga mereka semua mendapat Haji yang Mabrur yakni diterima oleh Allah SWT. Semestinya berbahagialah mereka yang dijemput oleh Allah SWT mengerjakan Haji kerana ganjaran bagi Haji yang Mabrur itu adalah Syurga.
Ia sebagaimana sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud daripada Abu Hurairah r.a: bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan umrah sehingga umrah seterusnya adalah penghapus dosa di antara keduanya. Haji Mabrur tidak terbalas melainkan Syurga.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Banyak iktibar daripada hikmat ibadat Haji yang boleh kita ambil dan pelajari. Contohnya, pemakaian ihram dan tawaf memberi gambaran bahawa setiap manusia itu semuanya sama taraf di sisi Allah.
Hanya taqwa yang dicerminkan melalui kesungguhan dan mutu ibadah masing-masing yang akan memberi perbezaan antara sesama manusia. Wukuf di Arafah pula memberi gambaran suasana Mahsyar yang bakal dilalui oleh setiap manusia.
Pada saat setiap manusia berkumpul di satu kawasan yang luas terbentang, masing-masing menadah tangan memohon doa ke hadrat Ilahi.
Secara jelas, manusia itu hanya insan kerdil yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Maka semua ini dan setiap ibadah yang dilakukan di sepanjang musim Haji wajar menimbulkan rasa keinsafan dalam diri kita dalam meneruskan kehidupan di dunia ini.
Selain ibadah Haji, sempena ‘Eidul Adha, umat Islam juga disyariatkan untuk melaksanakan ibadah Korban, yang mana menurut jumhur ulamak adalah sunnah muakkadah iaitu yang sangat dianjurkan.
Dalil hukum kepada pensyariatannya boleh dirujuk di dalam Kitab Suci Al-Quran, Surah Al-Kautsar, ayat 1-3; “Sesungguhnya Kami telah memberimu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus (dari rahmat Allah)”.
Ibadah Korban ini adalah manifestasi keimanan, kebertanggungjawaban dan kepekaan sosial.
Menurut sejarah, ibadah Korban mengingatkan kita mengenai nilai-nilai pendidikan dari keteledanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimussalam dalam ketaatan kepada perintah Allah SWT secara total.
Justeru, ibadah Korban memberikan pelajaran bagi kita betapa jika ingin diredhai dan dicintai oleh Allah Azza Wajalla, maka hendaklah kita membuktikan pengorbanan dan perjuangan dalam ketaatan melaksanakan perintahNya, dengan sami’na wa atha’na (kami mendengar dan kami taat). Semangat inilah yang wajar kita fahami dalam mengikuti syari’at Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tanpa keraguan dan keengganan dalam semua perkara.
Selain itu, semangat ibadah Korban juga hendaklah membentuk dan membawa kepada lahirnya insan-insan dan masyarakat yang berempati sosial yang tinggi.
Ia juga akan melahirkan struktur masyarakat dalam negara yang saling bertolong-bantu sehingga persoalan kemiskinan, jurang strata perkekonomian dan taraf sosial yang berbeza tidak menjadi penghalang untuk saling berkasih sayang.
Dengan berempati dan mempunyai sifat peduli, kita akan mampu merasai denyut penderitaan dan kesusahan orang lain. Akhirnya akan terbentuklah keperibadian insan kamil, yang membangun keseimbangan hubungan kepada Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).
Ia sekali gus menumbuhnya ketajaman hati, keluwesan fikiran dan membangkitkan perasaan saling memerlukan.
Sebagai ahli Gerakan Islam, pengorbanan atau tadhiyah merupakan salah satu juzuk penting dalam perjuangan menegakkan syiar dan syariat Allah SWT. Imam Hassan Al-Banna menyebut: “Rukun Bai’ah kita ada sepuluh, hafalkanlah: Fahm (pemahaman), Ikhlas, Amal (aktiviti), Jihad, Tadhiyah (pengorbanan), Taat (kepatuhan), Tsabat (keteguhan), Tajarrud (kemurnian), Ukhuwwah dan Tsiqah (kepercayaan).”
Maka, dalam kita beristiqamah menuju kemenangan, salah satu elemen penting yang membawa kepada kejayaan Islam sejak zaman-berzaman ialah adalah tadhiyah iaitu pengorbanan. Imam Hassan Al-Banna dalam memperincikan makna Tadhiyah menyatakan:
“Yang saya maksudkan dengan tadhiyah (pengorbanan) adalah pengorbanan jiwa, harta, waktu, kehidupan dan segala sesuatu yang dipunyai oleh seseorang untuk meraih tujuan.
“Tidak ada perjuangan di dunia ini kecuali harus disertai dengan pengorbanan. Demi fikrah kita, janganlah engkau mempersempit pengorbanan, kerana sungguh ia memiliki balasan yang agung dan pahala yang indah.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Kitab Suci Al-Qur’an:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At Taubah, ayat 111).
“Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” (Surah At-Taubah, ayat 24)
Dengan demikian engkau mengetahui makna slogan abadimu: “Al-mautu fi sabilillah asma amanina”, “Gugur syahid di jalan Allah adalah setinggi-tinggi cita-cita kami”.”
Begitulah sewajarnya, iktibar ibadah Haji dan ibadah Korban ini mestilah meningkatkan semangat juang dan iltizam kita menuju kemenangan dunia dan Akhirat. Semoga usaha kita untuk memartabatkan Islam mendapat keredhaan daripada ALLAH S.W.T.
* Muhtar Suhaili As-Sarawaki merupakan AJK PAS Pusat dan Setiausaha PAS Sarawak
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment