Jawab DOJ ‘subjudis’, DAP mahu fail usul keputusan speaker
DAP mahu memfailkan usul berhubung keputusan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menegaskan menteri tidak perlu menjawab soalan berkaitan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) atas alasan subjudis.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, usul itu akan difailkan di bawah Peraturan Mesyuarat 43 supaya keputusan Speaker dapat disemak semula.
Sehubungan itu, Lim berkata pihaknya akan menunggu hansard parlimen semalam sebelum mengemukakan usul berkenaan.
“Kita akan memfailkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43 bagi mengkaji semula keputusan Speaker dan berharap masa (untuk debat) akan ditentukan.
“Kerana semalam ketika kami tanya Speaker bila akan tentukan masa (untuk didebatkan), beliau diam.
“Jadi kami menanti handsard semalam sebelum usul dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Pandikar menegaskan bahawa menteri tidak perlu menjawab soalan yang dikemukakan mengenai saman DOJ yang difailkan di mahkamah California Julai lalu.
Saman itu adalah berhubung dengan apa yang digambarkan oleh DOJ sebagai antara tindakan terbesar yang pernah dibuat mengikut Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi, yang membabitkan kira-kira AS$1 bilion aset berkaitan 1MDB yang didakwa diselewengkan.
Bagaimanapun, keputusan Pandikar itu dipertikaikan apabila bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus mempersoalkan alasan subjudis berkenaan.
Menurut Mohd Hishamudin, isu subjudis tidak timbul kerana perbicaraan mengenai saman DOJ merupakan perbicaraan asing manakala peraturan subjudis terpakai berhubung perbicaraan di mahkamah Malaysia.
– M’kini
.
Penyumbang : Malaysia Chronicle http://ift.tt/2efzHTP
Post a Comment